SATU bagasi penuh dengan baju kurung yang dijahit oleh emak, selamat mendarat ke dalam perut kereta pak su. Wajah aku sudah cemberut dengan hakikat bahawasanya aku kena sarung baju kurung setiap hari ke kuliah. Ditambah dengan sebaris lagi amanat emak yang tak boleh blah.
Pak su sudah melirik senyum melihat wajah masam buah cermai yang aku pamerkan sejak tadi. Dahlia pula tidak putus-putus menasihatkan aku supaya istiqamah. Emak lagilah, siap buat solat hajat. Nak bagi aku lembut hati katanya. Over sangat tau!
Tudung bawal berwarna peach tersarung di kepalaku sejak tadi. Panas sangat, aku selempangkan hujung kedua-dua belah tudung ke belakang. Emak sudah menjegilkan biji mata. Aku tahu, dia marah.
"Nak pakai tudung tu, biaq betul-betul. Tak payah nak sibuk silang-silang tunjuk dada. Tak payah sibuk nak buat gaya Ali Baba, berserban segala. Pakai macam biasa... Tak mampu nak labuh sangat, biaq yang asas ni pegang kuat-kuat. Labuhkan melepasi dada... Bahu tu pun wajib terlindung, belakang pun jangan singkat sangat."
Berdengung telinga aku mendengar nasihat emak berjela-jela tempoh hari. Yang takkan dilupakan...
"Kalau mak dengaq tudung hang terbang melayang... Siap! Penyapu rumah ni nanti melayang cari hang. Jangan ingat mak main-main!"
Air liur pun terasa kesat mendengar ayat ugutan emak itu.
Aku tahu, emak sekalipun tak pernah main-main dengan apa yang dia cakap. Lagi-lagi kalau dengan aku. Terbukti secara praktikal, peratusan pengadaptasian kata-kata menjadi action realiti. Uolsss jangan main-main dengan Puan Salimah. Silap hari bulan, aku sekali terbang dengan penyapu.
"Wawa... Ada barang apa lagi? Muat lagi ni kalau nak masuk lagi dua beg pun." Pak su berkata. Entah dia sengaja hendak mengusik atau sememangnya serius dengan soalan itu. Tapi reaksi di wajah aku terus bercahaya. Ada ruang kosong? Dua beg lagi? Dua guni pun aku sanggup bawa!
"Ada lagi satu beg, jean dengan T-shirt," jawabku ceria.
Tapi, bunga-bunga ceria itu terpaksa layu di pusara saat suara Puan Salimah mencantaskan angan-angan aku untuk berseluar.
"Anak-anak jin tu tak payah nak diangkut ke sana. Hang tu kena masuk kuliah, belajaq. Bukan kena buat kerja kontrak sampai nak bersarung baju macam laki." Sedas lagi aku kena balun dengan emak. Dari seminggu lalu, itu saja ayat penyata yang aku terima. Paksa rela, aku telan semuanya. Emak siap berjanji untuk mentransformasikan 'anak jin' itu kepada kain lap kaki. Sedih hati aku mendengarnya.
"Kalau ada aktiviti lasak, Wardah kena sarung seluar jugak, kak long. Kalau pakai kain, dah pelik sangat nanti. Tak sesuai dengan keadaan..." Pak su bersuara sopan. Yang penting, dia backup aku. Itu yang aku sayang sangat dengan pak su.
"Kalau keadaan tak mendesak pun, aku tau sangat dia mesti cari alasan nak bagi terdesak..." Emak membidas.
Aku tahan senyum tawar sambil mengulang kata hikmat dalam hati. Usahlah bibir menjadi lancang dengan emak sekarang ini. Mujur, hati menurut dengan baik. Mata mula mengerling ke arah Dahlia pula. Sepasang mata bundar itu bermain isyarat dengan aku. Bibirnya menjuih ke arah sesuatu.
"Seluar ada dalam beg ni," ucapnya tanpa suara.
Terus aku tersenyum lega melihat beg itu dimasukkan ke dalam bonet kereta.
"Okey pak su, dah boleh gerak rasanya..." Aku tersengih memandang pak su. Kaki terus bergerak menegak di hadapan emak. Buat drama 'hari raya'. Bersalam dan bercium laga pipi. Emak kesat hujung mata yang mula berair.
"Jaga diri elok-elok. Jangan nak buat perangai macam-macam dekat sana. Nanti ada masa, mak mai jenguk hang."
Dalam sekelip mata, aku tenggelam dalam pelukan emak. Tidak sedar, mataku juga mula berair.
Cehhh... Berjiwa halus juga rupa-rupanya aku ni!
DAFTAR dah. Dapat roommate dah. Dah selesai orientasi pun. Esok dah mula kuliah. Memang cepat dan lebih pantas daripada apa yang aku jangka. Memikirkan kuliah yang akan bermula esok, terasa sedikit gelabah.
Sepanjang minggu orientasi saja, sudah dua kali aku terlajak tidur. Fikirkan kejadian ngeri yang tidak aneh itu, membuatkan aku berpeluh laju. Wajah si roommate yang 90 peratus membisu daripada bercakap, aku kerling sekilas.
Kepala ligat memikirkan ayat untuk memulakan perbualan antara kami. Aku tak mahu otak aku meletakkan setting bisu pula pada teman sebilikku itu.
"Auni... Esok dah mula kelas ke?" soalku hendak memulakan topik berbicara.
Tapi Auni, si gadis aneh yang hanya pernah menyebut sebaris namanya kepadaku, membalas dengan anggukan sahaja.
"Kelas dekat mana esok?" soalku lagi. Masih lagi dalam usaha untuk mendengar suara 'emas' Si Auni Aulia Ishak, pelajar kursus sains kimia ini. Mujur juga soalanku itu tidak dapat dijawab dengan anggukan.
Tapi sangkaan aku meleset. Dijawab soalan itu dengan mengisyaratkan ke arah jadual dengan saiz font 24 itu kepadaku.
LKM400 – BT4500
Itulah data dan fakta jadual Auni. Terus lepas itu, aku seal mulut. Tak mahu tanya apa dah. Kalau ditanya pun, jawapannya melalui isyarat yang membuatkan aku jadi lemah. Sudah tidak betah aku melayan roommate yang langsung tidak mahu bersuara. Baru seminggu, aku sudah tidak tahan. Macam mana lagi setahun?
Selimut aku tarik kuat dan terus menutup muka. Auni yang sedang sibuk mengemas di tempatnya tidak aku peduli. Aku nampak pandangan Auni yang tersentak dengan bunyi tarikan selimut yang agak kasar itu. Sorry la, Auni.
Selimut menyelubungi seluruh wajah aku. Gelap dan panas!
Namun sayup di sebalik keadaan itu, aku mendengar alunan suara yang begitu lemah gemalai.
"Wardah, sorry. Aku memang macam ni, tak banyak cakap dan susah nak cakap."
Penjelasan pendek daripada Auni untuk kebisuan yang dicipta sejak seminggu lalu. Sepi antara kami seketika. Terasa direnung oleh Auni di sebalik wajahku yang berselimut ini, lantas aku tarik selimut untuk menampakkan muka. Melemparkan sekuntum senyuman kepada si sahabat baru, berwajah polos itu.
"No problem, Auni. Aku boleh ajar hang, bercakap... Dengan banyak. Tapi, esok pagi tolong kejut aku sekali, ya? Kelas aku lapan pagi. Risau pulak kalau terbabas tidur. Hang pun dah tengok kan tahap kebolehan bangun pagi aku. Memang teruk sungguh! Itu yang mak aku risau sangat masa aku nak datang belajar sini..."
"Wardah, tidur!" Auni mengarah pendek.
Sekaligus menoktahkan bebelan panjang lebar aku itu. Banyak pula aku bercakap. Aku nampak wajah Auni yang seakan letih mendengar bebelan aku.
Aku tersengih.
"Okey, selamat malam."
YOU ARE READING
BYLINE CINTA WARDAH
General FictionTajuk: Byline Cinta Wardah Penulis: Umi Kalsom Penerbit: Penulisan2u Harga: RM23 (Semenanjung) // RM26 (Sabah & Sarawak) Terbitan: November 2017 ******* AKU, Wardah atau popular dengan nama glamour, Wawa. Aku dan cinta bukanlah satu topik hebat unt...