BALIK ke kampung dengan alasan nak mengambil berkat emak sebelum menduduki peperiksaan akhir semester pertama. Aku tahu, aku berlakon lagak anak mithali. Tapi, bila dah sampai ke kampung, aku kembali dengan perangai menyakitkan hati emak.
Melepak di luar sampai ke senja. Orang dah bersiap-siap nak melaungkan azan maghrib, aku baru nak menjejak kaki balik ke rumah. Emak memang bising tak kira. Lagi pula dia dah tahu perihal aku tak pernah tolong mak su sepanjang persinggahan aku di sana. Kantoi!
Tapi, itu sudah dijangka. Dan aku juga tak berapa nak kesah. Kalau emak dah tahu, lagi baguslah. Langsung tak ada rasa bersalah. Kalau emak tahu monolog dalaman aku ini, entah berapa hari dia nak menangis pula mengenangkan perangai aku macam buluh yang sudah tidak mampu dilenturkan.
Aku melangkah masuk ke dalam rumah dengan muka selamba. Emak dah bercekak pinggang dengan batang penyapu di sebelah. Situasi itu memang agak menyeramkan, tapi aku cuba meredakan perasaan dan berlagak biasa.
"Hang ni kan, Wawa... Nak kata budak kecik, tak sangat dah. Ini apa yang merayap sampai ke maghrib baru nak balik rumah?" Emak dah mula marah.
"Wawa saja ambil angin kampung, mak. Segarkan otak, senang nak jawab periksa," jawabku selamba. Aku macam kurang peka, wajah emak memang dah memerah.
Tanpa sempat aku mengelak, batang penyapu singgah ke betis aku yang dibaluti seluar trek. Terjerit aku di situ. Terus Dahlia pun datang jadi pahlawan yang menyelamatkan aku daripada kekejaman Puan Salimah. Kenapa aku kena 'belasah' ni?
"Mak, awat yang duk pukul dia pulak?" Dahlia terus menolak bahu aku lembut. Aku faham isyarat itu. Laju aku berlari masuk ke bilik. Emak dah bising dari ruang tamu.
"Mak ingat dia pi belajaq tu, nanti insaflah... Ini tak, sama jugak perangai. Tak berubah sikit pun. Mak su hang tu baik punya duk list kat mak perangai tak semenggah Si Wawa ni! Sakit pula telinga mak ni duk dengaq."
Itu adalah bicara emak dengan Dahlia. Tapi sampai ke bilik kuatnya. Bergegar juga gegendang telinga aku. Power tidak terkata volume suara emak saat ini. Gaya dah macam nak buat pengumuman dekat satu kampung mengenai perangai aku yang malas tahap babun. Mungkin babun pun lagi rajin daripada aku.
"Alah... Wawa tu bukan pemalas mana sangat pun. Mak ni, janganlah nak marah dia sangat. Nanti dia berubahlah..." Dahlia membela aku.
Aku tersenyum, terharu. Betapa aku bersyukur dikurniakan kakak sebaik dia. Terus aku mengesat kelopak mata. Padahal air mata pun tak ada. Drama saja lebih!
"Sebab hang duk support dia, tu yang dia naik kepala!"
Sekali, Dahlia pun kena sound dengan mak.
"Lepas ni, mak tak mau dah duk tengok, hang duk tolong basuh kain baju dia, kemas bilik dia, tolong duk buat bagi ayaq... Biaq dia belajaq buat sendiri!"
Arahan mandatori emak kepada Dahlia, yang turut membuatkan aku tercekik dalam bilik. Semacam ekstrem pula aku mendengarnya. Kalau nak ubah pun relaks-relaks la, mak... Perkara ini boleh dibawa berbincang lagi.
Tapi buat masa ini, aku hanya mampu berbincang dengan hati sendiri. Janganlah nak berani bermulut lancang dan melawan bait kata emak saat ini.
Nampak gaya, malam ni tak keluar biliklah aku. Aku risau penyapu emak tu, mendarat dekat badan aku pula. Tapi... Hakikatnya emak tak pernah sekejam itu. Walaupun salah laku aku terhadap emak dah terlalu banyak kalau hendak disenaraikan.
Tidak mahu memanjangkan lagi senarai tabiat buruk yang sudah mencetuskan kemarahan emak, aku segera mencapai tuala pada penyangkut. T-shirt dan seluar tidur aku capai dari almari dan laju menapak ke bilik air.
YOU ARE READING
BYLINE CINTA WARDAH
General FictionTajuk: Byline Cinta Wardah Penulis: Umi Kalsom Penerbit: Penulisan2u Harga: RM23 (Semenanjung) // RM26 (Sabah & Sarawak) Terbitan: November 2017 ******* AKU, Wardah atau popular dengan nama glamour, Wawa. Aku dan cinta bukanlah satu topik hebat unt...