KAMI, maksud aku... Aku dan Johan sampai ke rumah pak su tepat jam empat petang. Lagi 20 minit saja nak masuk waktu solat asar. Mujur juga tadi Johan buka mulut cakap nak singgah masjid untuk solat zohor dulu sebelum dia selesaikan kerja yang masih berbaki.
Sampai saja di pintu pagar rumah pak su, aku sudah terdengar suara yang sangat dikenali deria pendengaran ini sejak kecil lagi. Emak. Oh, man... Nahas juga ke aku hari ni?
Sebelum sempat aku buka pintu pagar, emak sudah terlebih dulu membukanya. Siap berdiri bercekak pinggang. Dengan jelingan tajam dan lagi mengancam Puan Salimah hadiahkan kepada anak kesayangannya ini. Aku sengih, cuba mempamerkan kecomelan tahap maksima biarpun tidak menjadi sangat.
"Keluar sampai ke petang, hang pi mana, Wawa?" Emak sudah mengambil tugas sebagai warden asrama. Menyoal dengan lagak polis penjara.
"Saya yang ajak Wawa keluar tadi, mak cik. Saya minta maaflah, mak cik... Patut minta izin dulu, tapi ada kerja nak kena hantar cepat." Johan muncul dari belakang, tak sempat aku nak bersuara, dia sudah mengambil alih tugas untuk berbual dan mendamaikan jiwa emak.
Ewah!!!
"Saya, Johan Kashfi. Jiran pak su merangkap kawan Wawa. Rasanya Wawa belum pernah cerita pasal saya dekat mak cik, mak cik... Hmmm... Mak cik Salimah, kan? Kalau tak silap, Wawa pernah bagi tahu. Kan, Wawa?" Dia berpaling, buat-buat bertanya dengan aku pula. Dengan suara penuh lemah gemalainya.
Eee... Rasa nak tuangkan Clorox aje ke dalam mulut mamat ni.
"Kawan Wawa ke?" Emak pun melayan juga.
Aku menepuk dahi melihat drama pendek arahan Johan ini. Langsung tak bersetuju dengan dialog berunsur penipuan yang ditaburkan pada emak aku, kononnya kami memang kawan baik sangat! Membeli jiwa emak aku dah kenapa? Sejak bila pula dia berkawan baik dengan aku? Aku sendiri pun tak pernah tahu mengenai fakta itu.
"Ni ada sikit lepat pisang untuk mak cik. Wawa cakap mak cik suka makan ni." Johan punya sesi menjual minyak berterusan lagi sampaikan aku rasa nak melopong tanpa henti.
Bila masa? Bila masa aku memberikan informasi berkaitan Puan Salimah kepada mamat ting tong ni?
"Terima kasihlah Johan, buat susah-susah aja." Emak menyambut bungkusan lepat pisang yang entah bila masa Johan beli, aku langsung tak perasan dan tak sedar.Waima bau lepat pisang pun tak menyapa hidung aku sepanjang perjalanan kami tadi.
"Wawa memang selalu cerita pasal mak cik. Dia menyesal sebab selalu malas sangat dekat rumah. Dia dah janji dengan saya, balik cuti ni dia nak belajar buat semua kerja dapur, mak cik. Mak Cik Sal don't worry..." Johan membuai lagi jiwa emak.
Sampaikan aku rasa macam nak melayangkan sedas dua penampar dekat mulut dia yang asyik bercakap tanpa henti itu.
Puaka betul!!! Membuai jiwa emak dengan janji palsu. Bila masa aku cakap nak belajar buat kerja dapur? Tak nak! Tak masuk dengan jiwa langsung. Benci betul apabila memikirkan imaginasi Johan yang mampu berfungsi untuk mereka cerita sehingga ke tahap sebegini.
"Johan nak mak cik percaya dengan janji Wawa tu? Daripada buang masa nak percaya, biaq mak cik buat kerja sendiri aja."
Johan terus berpaling memandang aku. Berwajah serius pula dia.
"Wawa, hang dah janji dengan aku... Nak belajar memasak, kan? Belajar masak sedap-sedap, okey? Berguna untuk masa depan keluarga bersama." Dia menyebut dengan kuat. Tersengih nakal seketika sebelum dia kembali berbual dengan emak.
Eee... Masa depan keluarga bersama? Tak hingin untuk keluarga bersama. Lagi tak hingin untuk belajar memasak hanya kerana Johan yang suruh. Selagi aku sendiri belum rasa nak belajar, aku takkan buat!
YOU ARE READING
BYLINE CINTA WARDAH
Fiksi UmumTajuk: Byline Cinta Wardah Penulis: Umi Kalsom Penerbit: Penulisan2u Harga: RM23 (Semenanjung) // RM26 (Sabah & Sarawak) Terbitan: November 2017 ******* AKU, Wardah atau popular dengan nama glamour, Wawa. Aku dan cinta bukanlah satu topik hebat unt...