Balik saja dari sekolah, saya menunggu tok ayah datang ambil di sekolah. Saya memang menunggu hari Isnin, hari sekolah... Memandangkan mami tak ada di rumah, ada meeting katanya di Kuala Lumpur, sebab itu tok ayah dan mak tok datang dari Sungai Petani untuk menjaga saya. Pak Su Rafean pun dah balik semula ke Sungai Petani awal pagi tadi.
"Mami pi sampai bila?"
"Pi pagi, balik petang."
"Laaa... Buat apalah susah payah panggil mak tok dan tok ayah jaga Addie? Addie boleh jaga diri sendiri la. Lagipun, boleh aje dok rumah Kae sat, sementara mami nak balik dari KL. Ataupun, dok aje rumah tok mama."
"Susahkan mama Kae pula nak masak extra untuk Addie. Dah la dia kena jaga isi rumah dia yang ramai tu. Lagipun, sekarang kan giliran mami jaga Addie, takkan nak susahkan tok mama pula? Lagipun, siapa nak ambil Addie kat sekolah kalau duduk dengan tok mama? Tok daddy tu dah tak nampak nak bawa kereta. Tok ayah boleh lagi nak ambil Addie. Lagipun, mami kena ulang-alik KL-Ipoh dalam tiga hari ni."
"Eh, kalau dah mak tok dan tok ayah ada kat sini, mami duduk sajalah kat hotel di KL tu, tak payahlah nak ulang-alik."
"Why?"
Mami pandang saya. Dia yang sedang menggulung kertas pelannya, terhenti. Saya pandang mami.
"Why apa?"
"Yalah, lain macam aje Addie suruh mami tidur hotel. Selalunya sibuk tak bagi mami nak pi ke mana-mana. Ini mesti ada apa-apa ni."
"Hesy... Ada apa?"
"Manalah tahu."
"Mami ni, banyak sangat minum susu. Tu la sel otak selalu berhubung!"
"Eh... Pandailah hang!"
Saya ketawa.
Pandai saja mami menebak fikiran saya.
"Saya dah dapat lampu hijau daripada mami dan papa saya. Mereka kata, kalau ada jodoh, mereka akan reconsider untuk kahwin semula. Jadi, saya tak perlu lari dari rumah untuk mereka ikut rancangan saya."
"Habis tu, awak nak buat apa?"
"Cari jalan untuk satukan semula mami dan papa. Dengan bantuan nenek-nenek dan atuk-atuk saya. Saya dah kena mula merancang bagaimana nak satukan mereka berdua."
"Nenek-nenek dan atuk-atuk awak setuju ke?"
Saya mengangguk.
Surprisingly...
Tok ayah dan tok daddy nak turut serta. Saya ingatkan mereka berdua tu tak kesah kalau mami dan papa nak bercerai, sebab mereka berdua diam saja. Tak ada sebarang bantahan pun. Tak ada pula memberontak seperti mak tok dan tok mama. Rupa-rupanya, mereka juga tak puas hati dengan keputusan perceraian tu.
"Sebenarnya, memang kita tak boleh nak masuk campur urusan anak-anak. Tapi, bila dah masuk urusan cucu, kita memang kena masuk campur. Tok ayah pun on. Lepaih sekolah, tok ayah dan mak tok akan ambil Addie, kita pi rumah tok mama. Kita plan!"
Senyum sampai ke telinga la saya apabila 'suaka politik' saya lebih besar. Harap bantuan saya kali ini, dapat mengembalikan rasa cinta mami dan papa dan akhirnya, jodoh bertemu lagi. Harap kali ini, kekal sampai bila-bila. Ya, jodoh itu milik Tuhan, tapi kalau tiada usaha, tak jadi juga jodoh tu.
"Saya doakan rancangan awak nak satukan mami dan papa awak tu berjaya, Addie. Kalau awak perlukan bantuan, awak cakaplah dengan saya. Saya boleh tolong awak."
"Saya mungkin perlukan bantuan mama awak, Kae. Sebab mama awak kan, kawan baik mami saya."
Mikaela tersengih.
"Jangan risau, Die. Saya akan psiko mama saya untuk tolong awak."
Auntie Hani kan kawan baik mami. Kawan baik mesti nak tengok kawan baiknya bahagia. Lagipun, dia la jiran yang paling dekat dan selalu tolong mami bila mami memerlukan bantuan. Auntie Hani antara orang yang membantah keputusan mami nak bercerai dengan papa. Tapi, bak kata Auntie Hani, bila keputusan sudah dibuat, sukar untuk ditarik balik. Pujuk pun susah nak jalan. Auntie Hani pun dah sedia maklum dengan perangai mami. Kalau orang luar pun tahu... Apa lagi orang dalam. Kalau mami kata tak nak, tak nak la!
Sebenarnya, semua yang terdekat dengan mami dan papa pelik apabila perceraian ini terjadi. Sebab memang tak ada pun pergaduhan antara mereka yang berlaku. Tup-tup... Bercerai talak satu.
Betul ke cinta memainkan peranan yang penting dalam mengikat jodoh? Jadi, apa yang boleh menghalang cinta itu daripada hilang? Kalau cinta tu macam remote alarm kereta, kan senang. Kalau terlupa kat mana kita parking, boleh tekan remote aje!
"There is no remedy of love but to love more."
"So, why can't they, tok mama?"
Tok mama menjongket bahu.
"Mungkin kesalahan ini berpunca daripada kita juga. Yalah, paksa depa berdua tu kahwin tanpa ambil tau apa perasan depa masing-masing. Sampai la ni, saya terasa ralat. Seakan saya penyebab depa tu bercerai!" Mak tok rasa bersalah.
"Mereka pun setuju aje dengan permintaan kita pasal mereka nak belajar ke London tu. Kalau tak, mereka tak nak ikut pun rancangan kita nak jodohkan mereka." Tok mama sedikit mengeluh.
"Tak perlu nak salahkan diri kita sendiri. Kalau mereka tu dah kahwin, sampai dah dapat anak... Bukannya salah kita lagi. Takkanlah tak suka, tapi boleh sampai dapat anak. Kan, Radhi?" Tok daddy menepuk bahu tok ayah.
"Sungguh haih, Wahi... Takkan tak suka boleh keluaq sorang ni. Sahihlah, depa tu saja nak menduga kita. Bak kata awak, Auni... There is no remedy for love but to love more. Kalau sendiri tak berkehendak, tak cinta... Mana mai Addie?"
"Jadi, apa plan kita ni, Addie? Mak tok terserah pada Addie aje..."
Semua memandang saya.
Dan saya...
Mula keluarkan buku plan saya.
Sepanjang malam, sejak mak tok, tok mama, tok ayah dan tok daddy sudah bersetuju untuk menyokong saya menjodohkan mami dan papa semula... Saya sudah mula merancang beberapa rancangan. Semuanya sudah saya tulis di dalam buku saya ni. Buku sketch yang mami berikan kepada saya, saya jadikan buku plan saya.
Plan Addie 101
"Ini rancangannya..."
Sekiranya rancangan pertama berjaya, rancangan kedua dan seterusnya akan lebih mudah untuk dilaksanakan. Bukan senang untuk menipu mami. Mami selalu cakap, dia dah buat benda yang sama seperti apa yang pernah saya buat. Selalu saya tak boleh nak ponteng sekolah dan menipu konon-konon demam, sebab mami selalu dapat tangkap saya menipu. Yalah, setakat semburkan blower rambut kat dahi... memang panasnya takat lima saat aje!
"Tapi... Addie tak dak cara yang nak bagi demam tu... Demam betul."
"Jangan risau, tok ayah tau cara-cara nak bagi Addie demam. Kejap lagi kita singgah kedai runcit, nak beli sabun buku Fab."
Dan semua orang memandang tok ayah. Tok ayah tersengih. Tok daddy tergelak. Kisah asrama katanya. Sabun buku itu diletakkan di bawah ketiak. Mulanya saya macam pelik... Tapi...
"Addie... Mami dah balik."
Pintu bilik dikuak.
Saya... Pura-pura tidur.
"Eh... Addie. Kenapa badan panas ni? Addie demam ke? Mak, oh mak... Addie demam ka? Awat tak habaq kat orang yang Addie demam?"
Ternyata... Berkesan!
Dahsyatlah taktik tok ayah.
Lagi nak buat mami cuak bila saya sebut nama...
"Papa... Papa... Addie nak papa!"
"Oh, Addie!"
Nak tak nak...
"Helo, abang... Zea ni. Addie demam. Panas badan dia!"
Heh!
So drama queen!
YOU ARE READING
TOLONG SEMPURNAKAN CERITA MAMI
Aktuelle LiteraturTajuk: Tolong Sempurnakan Cerita Mami Penulis: Syamnuriezmil Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-2102-28-1 Muka Surat : 528 Harga: RM23.00 (Semenanjung) // RM26.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Karyaseni Kerana sebuah cerita perlu ada penamatnya.