1. TOK WAN

560 12 2
                                    



"HUJUNG minggu ni kita balik rumah nenek." Beritahu Danish selepas mencuit bahu adik kembarnya, Danial.


Danial sekadar mengangguk tanpa berkata apa-apa. Sudah sebulan lebih juga mereka tidak menjenguk nenek mereka di kampung yang terletak 3 jam dari rumah bujang mereka. Dari apa yang ibu mereka khabarkan, nenek mereka sudah tidak berapa sihat kerana menghidap sakit lutut. Atuk mereka pula sudah hampir 10 tahun meninggal dunia.


"Kita bertolak hari Khamis. Duk sana sampai Ahad."


Danial mengangguk. Matanya sedang menatap skrin ipad. Fokus betul. Danish mengetap bibir. Kusyen dia lempar lalu tepat mengenai muka Danial. Terperanjat beruk pemuda itu.


"Apa ni bang!" Marahnya. Dia melempar kusyen itu ke lantai. Kusyen itu boleh tahan kerasnya.


"Kau ni dengar tak apa abang cakap?!"


"Dengarlah!"


"Masa abang bercakap, tengok muka abang!"


"Tak perlu kot nak lempar kusyen. Sakit wei!"


"Mujurlah kusyen.. Kalau abang lempar periuk tadi?"


Danial mendengus. Memang dia tidak akan menang jika bertengkar dengan Danish. Mulut abangnya itu macam murai, cot cet cot cet! Dahlah kuat berleter. Macam mak nenek!


"Kau kutuk abang dalam hati kan?" Tebak Danish. Terdiam Danial.


*****


PETANG Khamis itu mereka bertolak ke kampung. Esoknya cuti peristiwa jadi mereka pulang awal ke kampung. Mereka sampai ke kampung dalam pukul 9 malam dan kedatangan mereka disambut mesra oleh Pak Cu iaitu adik kepada ibu mereka. Pak Cu tinggal serumah dengan nenek mereka kerana statusnya yang belum beristeri.


"Ha mari masuk rumah." Ujar Pak Cu dengan penuh mesra. Rindu betul dia dengan anak-anak saudaranya ini.


Danish dan Danial tersenyum dan membimbit beg pakaian masing-masing ke dalam rumah desa itu. Semasa meletakkan beg-beg pakaian ke dalam bilik, telinga mereka mendengar bunyi bacaan yasin beramai-ramai dari rumah sebelah.


"Siapa yang meninggal Pak Cu?" Tanya Danial.


"Tok Wan. Dia dah lama sakit."


"Innalillahi wainna ilaihi rajiun... Bila?"


"Dalam pukul 8 lebih malam tadi. Tadi Pak Cu baca yasin kat sana dan tengok kamu berdua sampai. Lepas ni ikut Pak Cu, kita baca yasin sekali."


Danial mengangguk-angguk. Tidak lama selepas itu Danish muncul dari dalam bilik tidur. Di bahunya tersidai tuala mandi dan ada bakul berisi toiletries di tangan kanannya. Badannya melekit-lekit dan dia mahu mandi.

HIMPUNAN CERPEN SERAMWhere stories live. Discover now