6. BESTFRIEND FOREVER

254 10 0
                                    

Aku mempunyai seorang sahabat yang sanggup berkorban apa saja untuk aku. Kami bersahabat sejak tadika sehingga tahun kedua kami di universiti. Ya, kami belajar di tempat yang sama sejak di tadika. Menakjubkan bukan? Cuma di universiti kami tidak sebilik tetapi tetap di hostel yang sama. Dia di tingkat dua dan aku di tingkat empat. Tidak menjadi masalah bagi kami kerana kami berkongsi hostel yang sama. Tiap waktu aku habiskan masa dengannya, sama ada untuk berhibur atau belajar.

Subjek major dan minor kami juga sama. Sudah menjadi rezeki kami untuk terus bersahabat dari kecil hingga dewasa. Kami seboleh-bolehnya mahu belajar di kelas tutorial yang sama. Aku dengan dia ibarat kembar yang tidak dapat dipisahkan lagi.

Semester ketiga kami di kampus, aku masih ingat dengan jelas lagi bagaimana gembiranya dia berlari ke arahku. Aku sedang mengulangkaji pelajaranku di bilik pada ketika itu.

"Ira, dia suka kat aku jugak!" ujarnya dengan senyuman yang mekar di bibirnya.

"Azlan?" aku bertanya.

"Ye! Dia nak aku terima dia. Dia nak aku jadi teman wanita dia, perlu ke aku terima?"

Soalannya membuatku terdiam buat seketika. Aku amat mengenali perangai Azlan. Dia seorang yang perengus dan terkenal dengan sifat kasanovanya. Zana entah gadis yang ke berapa dia lamar untuk menjadi kekasihnya.

"Ira?"

Zana memandangku dengan mata redupnya. Aku serbasalah.

"Dia tu player Zana. Kau sanggup ke kalau dia permainkan kau?" aku memberi peringatan.

Dia hanya tersenyum manis ke arahku. Sambil memeluk bahuku, dia berjanji yang dia tidak akan membiarkan dirinya dikecewakan Azlan. Ini kerana dia pasti yang lelaki itu telah berubah baik. Berkali-kali dia meyakinkan aku yang Azlan bukan seorang player lagi.

Aku tidak tahu mengapa aku tidak dapat mempercayainya.

Akhirnya dia bersetuju untuk menjalinkan hubungan dengan Azlan. Senyuman indah sentiasa terlakar di wajahnya selepas itu. Dia betul-betul bahagia dengan Azlan.

Namun selepas tiga bulan, dia mula kerap menangis dan pelajarannya terganggu. Azlan curang dan seringkali berseronok dengan perempuan-perempuan lain. Lelaki itu tetap seorang playboy dan tidak pernah cukup dengan seorang gadis.

Aku selalu berada di sisi Zana dan menenangkannya. Hampir setiap waktu dia menangis dan memintaku supaya menemaninya. Aku memujuknya supaya memutuskan hubungan dengan Azlan tetapi dia degil, kepala batu!

"Aku sayang dia..."

Perkataan ini yang dia ulang-ulang sehingga aku naik muak. Mengapa harus dia menyintai lelaki yang hanya tahu membuatnya sedih dan terseksa? Aku betul-betul tidak faham.

"Kau jangan tinggalkan aku Ira. Aku ada kau je sekarang ni..." dan perkataan ini juga yang dia selalu ucapkan padaku. Airmatanya mengalir laju setiapkali dia berkata begini.

Hati aku sakit, pedih! Azlan memang tak guna!

"Aku takkan tinggalkan kau Zana. Kita sahabat dunia akhirat..." kataku penuh ikhlas. Ya, dia memang sahabatku di dunia dan juga di akhirat. Aku takkan meninggalkannya dan akan sentiasa berada di sisinya semasa senang dan susah.

Namun,

Aku tidak pernah menyangka yang kata-kataku dia pegang sampai kiamat. Dia benar-benar mahu aku menjadi sahabatnya dunia dan akhirat.

Seminggu selepas itu, Zana dijumpai mati di dalam biliknya. Doktor mengesahkan kepalanya dihentam dengan senjata tumpul berkali-kali. Ketika mayatnya dijumpai rakan sebiliknya, dia sedang tertiarap dengan darah menutupi lantai. Ketika itu, rakan sebiliknya baru pulang dari kelas malam. Tiada siapapun tahu siapa yang telah membunuh Zana.

HIMPUNAN CERPEN SERAMWhere stories live. Discover now