Jeff merenung skrin laptopnya dengan sepenuh fokus. Siri pemburu hantu kegemarannya sedang dimainkan di YouTube. Teruja sungguh dia melihat anomaly berbentuk cahaya kecil putih yang sedang berterbangan di hadapan kamera night vision milik para penyiasat paranormal itu.
Suara-suara aneh dan menyeramkan yang terekod dalam EVP juga menarik perhatiannya. Kadang-kadang jelas, kadang-kadang tidak dapat difahami kata-katanya.
Sebenarnya dia berminat untuk menubuhkan tim penyiasat paranormalnya sendiri. Kegilaannya terhadap benda-benda ini memang sudah tidak terbendung lagi. Masa hujung minggunya hanya diisi dengan video-video 'hantu' yang sempat dirakam oleh penyiasat paranormal kesukaannya iaitu, Ghost Adventures Crew.
Petang itu, dia menghubungi rakan-rakannya via whatsapp.
Jeff : Geng, nak ikut aku tak?
Norman : Pergi mana?
Jeff : Rumah yang terjadi kes pembunuhan beramai-ramai 50 tahun lepas.
Amri : Ish, gilalah kau! Nak buat apa kat sana?
Jason : Ala apa lagi.. Paranormal investigation lah. Macam korang tak tau si Jeff ni!
Jeff : Jason memang pandai! So? Nak tak ikut aku?
Amri : Camcorder nak cekau mana?
Jason : Aku ada. Guna aku punya jelah.
Norman : Betul ke nak pergi ni? Aish, tak bahaya ke?
Jeff : Okey set! Jumpa Khamis malam Jumaat ni. Kita mula tepat pukul 12 tengah malam, amacam?
Jason : Set.Jeff tersengih. Dia benar-benar puas hati. Kerisauan Norman dia langsung tidak ambil peduli. Tempat bekas terjadinya pembunuhan pastinya akan membawa sejuta keseronokan! Dia sudah tidak sabar menanti hari Khamis malam Jumaat!
Khamis – 10:00 malam.
Mereka berempat sudah berkumpul di rumah Jeff. Jason menyerahkan dua camcordernya kepada Jeff. Dia baru membelinya beberapa minggu yang lepas. Masih bau kedai lagi. Mereka hanya menggunakan recorder biasa sebagai menggantikan EVP (Electronic Voice Phenomenon). Jeff yakin suara-suara aneh pun mampu dirakam menggunakan alat perakam suara biasa.
"Pukul berapa nak bertolak?" tanya Amri. Dia memakai baju panas hitam dengan seluar jeans berwarna sedondon.
"Sekarang." Balas Jeff, tersenyum nakal. Dia sudah tidak sabar.
10:40 malam.
Norman menguap. Mengantuk pula matanya.
"Lama lagi ke nak sampai?" soalnya dengan mata kuyu. Entah berapa kali dia tertidur di dalam kereta.
"Dalam pukul 11 lebih kita sampailah," Jeff membalas. Tangannya memegang stereng erat-erat.
Selepas itu dia menekan minyak dan memecut laju. Dia mahu cepat sampai ke destinasi yang diidam-idamkan.
11:15 malam.
"Kita dah sampai!" Jeff berteriak penuh kegembiraan.
Norman, Jason dan Amri menyusup keluar dari kereta perlahan-lahan dan terpegun melihat rumah agam mewah di hadapan mereka. Senibinanya berunsur kebaratan atau lebih tepat lagi berunsur British lama.
"Mana camcorder tadi?" Jeff melilau mencari kamera. Jason menyerahkannya kepada Jeff.
"Jom masuk weh!" ajak Jeff selepas mengunci kereta.
Norman mengeluh, "Nak start sekarang ke?"
"A ah. Kenapa?"
"Cakap pukul 12 tengah malam. Sekarang baru pukul 11 lebih.."
"Alah! Sama je Norman. Dah sampai, so terus mulakan lah."
Norman terdiam. Jeff sudah beredar masuk bersama Jason dan Amri. Tinggal dia masih terpacak di luar pintu pagar.