7. TAKUT

231 14 1
                                    


Amar sedang mandi di kolam berseorangan pada petang itu. Rakan-rakannya seperti biasa sibuk dengan permainan video di atas. Hairan juga tiada orang lain di situ seperti hari-hari sebelumnya. Mungkin kerana ramai yang sudah pergi bercuti kerana semalam sudah bermula cuti persekolahan. Dia malas memikirkan perihal orang lain. Lebih baik dia menikmati saat-saat itu sahaja.

Dia menyelam buat beberapa saat. Air kolam itu berjaya menyejukkan tubuhnya yang panas. Namun beberapa saat selepas dia menyelam, ada sesuatu yang terjelepuk jatuh di atas air. Dia cemas dan cepat-cepat mengeluarkan kepalanya dari dalam air.

Matanya terbeliak. Mulutnya terkatup rapat. Dihadapannya kini ialah seorang gadis yang sudah bertukar mayat. Dia terapung di atas permukaan air kolam. Sekejap sahaja darah tersebar mengotori air bersih.

Amar bergegas naik dan berlari lintang-pukang menuju ke apartmentnya. Dia trauma!

Pintu ditolak kasar. Dia meluru masuk dengan hanya berseluar pendek dan badannya lencun. Dia melompat ke atas sofa dan menggigil ketakutan.

"Kau ni kenapa Amar? Dah buang tebiat?" sindir Farid. Habis basah sofa.

Amar menghalakan jarinya ke pintu utama. Mulutnya terketar-ketar. Dia benar-benar ketakutan dengan apa yang telah dilihatnya sebentar tadi. Tidak sempat dia menggunakan lif tadi. Dia berlari menggunakan tangga menuju ke tingkat lima.

"Apahal dengan Amar ni?" Sam memandang Farid dan Azad. Pelik betul dia melihat kelakuan Amir yang seperti baru dikejar hantu itu.

"Ada orang mati kat bawah!"
Penjelasan Amar memeranjatkan rakan-rakannya.

"Kat mana?" Farid bertanya.

"Kat kolam.."

Ketiga-tiganya bergegas keluar dan berdiri di koridor untuk melihat sendiri mayat yang dikatakan oleh Amar itu. Ya, memang benar. Di bawah kelihatan orang ramai mengerumuni kawasan kolam dan ada pihak polis sedang mengawasi keadaan. Mayat itu terapung di dalam kolam. Air yang membiru juga sudah kemerahan.

"Cuba kau cerita apa yang jadi tadi?" desak Azad. Wajah mereka sudah pucat dan getaran sudah terasa menjalar ke segenap urat nadi.

Amar mengambil masa yang agak lama untuk bercerita. Jiwa yang berkecamuk perlu ditenangkan terlebih dulu. Siapa sangka hari itu dia melihat mayat di depan mata?

"Ceritalah Am!" desak rakan-rakannya.

Selepas menarik nafas dan menghelanya perlahan, dia memulakan cerita.

"Tadi masa aku mandi kolam sorang-sorang, ada sesuatu yang jatuh atas air. Masa tu aku tengah menyelam. Angkat je kepala dah ada mayat perempuan.."

Farid, Azad dan Sam menelan liur. Memang betul-betul menyeramkan! Mereka melihat mayat dari jauh pun sudah menggigil satu badan, inikan pula Amar yang melihatnya depan mata. Mujur rakan mereka itu tidak pengsan dalam air. Kalau tidak akan ada dua kematian pada hari itu.

"Gilalah!" ujar Sam separuh berbisik. Tiba-tiba sahaja dia menjadi seram sejuk.

Malam itu mereka meneruskan aktiviti permainan video seperti biasa. Hanya Amar sahaja yang telah tertidur di sofa. Pemuda itu tiada keberanian untuk tidur di dalam bilik seorang diri. Tidak pernah pula dia menjadi sepenakut itu.

"Kau main tipu weh!" tengking Azad pada Farid. Farid ketawa berdekah-dekah.

Sam menghirup air milo panas dengan penuh nikmat. Di tangannya ada novel Manuscript nukilan Saidee Nor Azam. Penulis kesukaan katakan. Baru sahaja masuk ke bab 5, pintu apartment mereka tiba-tiba bergema dengan bunyi loceng.

HIMPUNAN CERPEN SERAMWhere stories live. Discover now