SAMAD meletakkan beg pakaiannya ke sisi katil. Akhirnya plan untuk menginap di hotel baru itu tercapai juga. Berahim dengan Leman sudah berada di balkoni sambil menikmati panorama ciptaan Yang Maha Esa. Namun yang pasti ada riak bimbang pada wajah Leman.
"Kau ni biar betul Mad... Hotel ni duduk kat tengah-tengah hutan macam ni." Leman berkata dengan penuh rasa curiga. Awal-awal lagi dia sudah nervous.
"Ala rilekslah... Ni namanya alam semulajadi yang tak terjejas dek kemodenan Man." Balas Samad sambil mengangkat-angkat kening.
"Seramlah...." Leman menggosok-gosok lengan yang sudah meremang.
"Him, diam aje?" Tegur Samad. Sengaja mahu mengubah topik perbualan. Tidak mahu melayan rasa takut si Leman.
Berahim menjongket bahu. Dia menguap beberapa kali.
"Aku mengantuk. Malam tadi tidur lewat sebab tengok bola."
"Pergilah tidur." Suruh si Leman tetapi segera ditegah oleh Samad.
"Makan dulu. Kau orang tak lapar ke? Perut aku dah berkeroncong kot."
Mengenangkan perut yang juga berkeroncong, Berahim akhirnya melupakan niatnya untuk lena buat seketika. Mereka bertiga beredar ke bawah untuk mencari kedai makan yang terletak di sekitar Hotel Rimba itu. Beberapa langkah keluar dari hotel, Berahim terlanggar seseorang dengan agak kuat.
"Bang..." Danial cepat-cepat membantu abangnya yang jatuh tergolek.
"Oops, sorry." Berahim meminta maaf. Dia memandang pemuda di hadapan mereka atas bawah. Huish T-shirt pink.... Kulit putih melepak dah macam artis Korea.
"Lain kali kalau jalan guna mata boleh tak? Ni berjalan guna lutut ke macam mana?" Danish bertanya. Mukanya agak selamba tetapi nada suaranya keras sedikit.
Bengkak telinga Berahim dibebel begitu.
"Guna matalah. Kalau guna lutut dah lama muka awak kena pijak." Berahim membuat serangan balas. Terbeliak biji mata Danish.
Hampir-hampir sahaja lelaki merah jambu itu mahu menempeleng Berahim tetapi sempat ditahan oleh adik kembarnya.
"Bang, sudahlah. Dia kan dah mintak maaf." Nasihat Danial.
Danish mendengus. Sudahlah habis bajunya kotor terkena debu!
"Kami check in dulu. Assalamualaikum..." Danial tersengih lalu menarik tangan abangnya masuk ke dalam hotel. Terus ke front desk untuk urusan penginapan.
Berahim mencebik. Apa-apa sahajalah si kembar itu. Nasib baiklah si adik berfikiran waras tak macam abangnya. Pot pet pot pet, macam murai.
"Jomlah. Aku dah lapar ni." Ajak Samad. Tidak mahu terus membuang waktu.
*****
DANISH menghempas punggung ke birai katil. Malang betul nasibnya hari itu. Habis kotor baju barunya! Mujur Danial menghalangnya tadi. Kalau tidak, mahu dia muay thai lelaki itu.
"Sudahlah tu. Baik abang pergi mandi. Tukar baju." Danial berkata. Kadangkala dia membawa peranan seorang abang.
"Mau aku tapak kakikan aje dia tu! Habis baju baru aku!"
Danial menahan tawa. Lucu betul muka abangnya ketika marah. Merah padam. Sebelum dia disummersault oleh Danish, dia beredar ke balkoni untuk mengambil angin. Ketika itu sudah pukul 3 petang. Mereka akan menginap di situ selama 3 hari 2 malam.
"Kau nampak tak apa yang tergantung kat balkoni sebelah tu?" Tanya Danish.
Danial mengerut kening. Tergantung? Apa maksud Danish? Dia berpaling ke belakang dan melihat abangnya tiada di situ. Bunyi air dari pancuran bilik mandi menyapa telinganya. Cepat-cepat dia berjalan mendekati bilik mandi dan Danish sedang berada di dalam.