Imran berlari-lari anak ke tempat di mana rakan-rakan sekelasnya sedang berkumpul. Ketika itu waktu rehat. Waktu senggang itu dia gunakan sebaiknya untuk melakukan perbincangan. Di tangannya ada sesuatu yang berbalut dengan kain putih. Dengan teruja, dia meletakkannya di atas meja.
"Geng tengok ni!" dia mengangkat-angkat kening.
Devi, Lim dan Aina terlopong. Apa sajalah si Imran ni. Datang-datang terus menyuruh mereka melihat sesuatu. Benda yang berbalut itu dipandang hairan. Ada sesuatu yang istimewakah?
"Lepas tengah malam ni, kita main benda ni," ujar Imran, ceria.
"Benda apa?" Lim bertanya hairan. Tidak berminat pula dia mahu membuka kain yang membaluti sesuatu di atas meja. Mi goreng disuap penuh selera.
"Bukalah.." Imran menolaknya mendekati Lim. Lelaki cina itu berhenti mengunyah dan merenungnya tidak berkelip.
Lim tidak mahu bercakap banyak. Dia segera membuka kain pembalut berwarna putih itu dan sekeping kayu bersama satu penunjuk segera menyapa. Dia memang kenal dengan benda ni.
"Ouija board?"
"Ha! Pandai pun kau Lim. Ouija board ni aku beli kat internet. Orang yang jual board ni cakap board ni cursed. Kiranya sesiapa yang main akan jumpa roh-roh orang mati..." selamba sahaja Imran memberi penjelasan.
Rakan-rakannya ternganga. Apa Imran sudah gila?
"Weh, kau biar betul Im. Boleh percaya ke?" Aina menyoal tidak yakin. Entah-entah Imran dah ditipu. Zaman sekarang benda yang takde pun orang cakap ada.
"Aku tak percaya. Sebab tu aku nak try sendiri beb.."
Bersungguh benar nampaknya Imran. Memang betul-betul teruja untuk mencuba permainan ini. Ouija board ini memang terkenal di seluruh dunia. Kebanyakannya dimainkan oleh orang-orang dari negara barat. Sebelum ini mereka hanya melihatnya melalui filem-filem sahaja.
"Boleh jugak. Aku tak percaya board ni cursed. Entah-entah time main, takde apapun yang jadi," Devi mempunyai pemikiran yang sama dengan Imran dan Aina. Baginya permainan ini merupakan kisah dongeng semata-mata.
"Try lah. Belum cuba belum tau beb," Lim pula yang semakin teruja. Cepat-cepat dia menyuap mi goreng kerana masa rehat yang bakal tamat tidak lama lagi.
Selepas habis waktu persekolahan, mereka berempat berkumpul di bilik kelas. Mereka berbincang tentang apa yang perlu mereka lakukan ketika bermain Ouija kelak. Imran dan Lim sempat mencetak beberapa keping panduan untuk bermain permainan tersebut. Yang menjadi highlight ialah pantang larangnya.
"Jangan sesekali lepaskan tangan sebelum kita say goodbye pada spirit tu," Lim mengingatkan.
Devi dan Aina mengangguk faham. Tidak susah pun sebenarnya untuk menghadam peraturan-peraturan permainan itu. Mereka sudah puas menonton filem mengenai Ouija di panggung wayang.
Imran menepuk-nepuk meja, "Jumpa lepas tengah malam ni. Kita main Ouija tu kat blok kosong kat sekolah kita ni. Baru ada feel..."
Walaupun cadangan Imran agak meremangkan bulu roma rakan-rakannya namun mereka bersetuju. Mereka pulang ke rumah masing-masing dan akan kembali ke sekolah selepas tengah malam.
Imran dan Lim sudah menunggu di luar pagar sekolah. Security guard tiada di situ kerana sedang melakukan rondaan. Selepas hampir sepuluh minit menanti, Devi dan Aina muncul di balik kegelapan. Kedua-duanya sudah bersedia untuk melakukan aktiviti Ouija. Dengan penuh hati-hati, mereka berlari masuk ke dalam kawasan sekolah dan seterusnya bergerak ke blok terbiar. Blok itu ditutup kerana ada kes dua orang pelajar perempuan yang mati bunuh diri dua tahun lepas. kedua-duanya mati tergantung di dalam salah sebuah kelas di situ.