04 - Shin & Fahri

1.4K 67 6
                                    

ENAM jam selepas Shin meninggalkan rumah keluarganya, dia mula kelaparan. Duitnya tinggal dua ringgit dan enam puluh sen. Jadi Shin beli dua bungkus roti. Satu dijadikan makan malam. Satu lagi untuk makan tengahari esok. Esok Shin akan cari kerja sampai dapat.

Kemudian masalah timbul lagi apabila hujan turun dengan lebat. Basah kuyup Shin dibuatnya. Payung hitam milik Fahri gagal menjaga Shin dari tempias hujan lebat. Lebih parah, payung hitam itu sempat ditiup angin. Kelam-kabut Shin mengejarnya.

Cuak muka Shin melihat salah satu besi payung tersebut tercabut dan bengkok. Mana Shin nak cari duit ganti payung Fahri?

Shin tak nak fikir apa-apa lagi. Shin perlukan tempat perlindungan sekarang. Mujurlah Shin nampak masjid. Di depan masjid ada tempat berteduh. Shin harap dia tidak dihalau.

"Tunggu siapa?"

Satu suara menegur setelah seminit Shin menumpang berteduh. Serentak kilat memancar. Nampak dengan jelas pemilik suara itu lelaki separuh abad usianya dan berjambang. Umurnya mungkin sebaya bapak.

Shin sudah berkira-kira mahu lari apabila guruh berdentum, saling bertingkah dengan petir.

"Mak!" jerit Shin. Dia jatuh terduduk. Bertambah lencun baju Shin. Sesaat kemudian Shin sudah bangun semula. Beg sekolahnya dipegang erat. Shin takut dirompak sebenarnya.

"Shin?"

Shin tergamam. Pastilah dia terkejut bila namanya disebut dengan betul.

"Shin buat apa dekat sini? Sejuk ni. Kenapa tak balik rumah? Ah Heng mana?"

Habislah Shin. Pasti lelaki ini kawan bapak. Lihat sajalah, dia tahu nama Shin dan bapak.

"Shin bawa beg ni, Shin nak ke mana?"

Soalan semakin banyak menerjah telinga Shin. Satu pun Shin belum jawab.

"Shin lari dari rumah?"

Tekaan lelaki tua ini sungguh tepat. Lekas-lekas Shin geleng kepala. Sepuluh jari Shin menyusun tangannya. Dia juga sudah berlutut dalam keadaan basah kuyup.

"Pak cik jangan hantar saya balik. Saya tak nak balik."

"Sebab apa Shin tak nak balik rumah?"

Shin membisu. Kalau Shin beritahu dia lari dari rumah, nanti Shin dihantar ke balai polis. Secara tak langsung, dia pasti dihantar balik ke rumah keluarganya semula.

"Pak cik yakin, mesti sekarang emak dengan bapak Shin tengah cari Shin. Mereka tentu tengah risau. "

Shin sudah bangun dengan niat mahu lari sekali lagi. Lelaki tua ini seperti dapat membaca apa yang cuba Shin rahsiakan.

"Shin."

"Saya tak lari dari rumah, pak cik. Saya bukan lari. Saya cuma tak nak emak dengan bapak mati sebab jaga saya. Saya ni ada malang."

"Astagafirullahulazim... Siapa cakap?"

Shin tunduk.

"Shin ikut pak cik balik rumah. Sekejap lagi pak cik telefon Ah Heng supaya jangan risau."

"Shin tak bak balik ke sana. Nanti emak dengan bapak mati. Shin sayang mereka berdua. Shin tak nak mereka mati."

Panjang helaan nafas lelaki setengah abad tersebut. Lama sebelum suaranya kembali sampai ke telinga Shin.

"Macam ni, malam ni Shin tidur pak cik. Tapi sebelum tu, pak cik akan telefon bapak Shin. Kalau betul Shin sayang mereka berdua, jangan buat mereka risau."

Shin membisu. Lama-kelamaan dia menangis teresak-esak. Shin sebenarnya takut hendak berpisah dengan emak dan bapak. Mereka berdua segalanya dalam hidup Shin.

NAMAKU KHADIJAH | Best SellerTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang