09 - Ariana Liezel Mendiola

1.4K 57 13
                                    

MATA Fahri jatuh pada keluarganya dan kemudian pada keluarga Ariana. Dua buah keluarga berbeza susur galur sedang berbincang tentang niat Fahri mahu menjadikan Ariana sebagai isteri. Fahri dilarang membuka mulut. Fahri cuma perlu bersetuju dengan segala kata putus yang bakal mereka ambil. Kalau A kata mereka, Fahri perlu melukis A dan bukan B.

"Akar memanjat pohon ara,
Nampaknya cantik berseri laman,
Besarnya hajat tidak terkira,
Hendak memetik bunga ditaman."

Tenang alunan suara pak long. Fahri harap keluarga Ariana tidak membalas pantun tersebut. Fahri harap lidah mereka kelu. Kalau lidah mereka tidak kelu, Fahri harap sangat mereka lupa semua rangkap pantun yang ada dalam kepala mereka sekarang. Sayangnya, harapan Fahri tidak kesampaian.

"Nampak cantik berseri laman,
Tempat bertandang beruk dan kera,
Hendak menyunting bunga ditaman,
Sudahkah cukup syarat dan kira?"

Balasan pantun keluarga Ariana dibalas senyuman paling lebar pak long. Fahri rasa, sekarang juga dia mahu angkat kaki. Dia tidak pandai bernafas lagi.

"Kalau padi katakan padi,
Tidaklah kami tertampi-tampi,
Kalau sudi katakan sudi,
Tidaklah kami ternanti-nanti."

Nampaknya, senyuman keluarga Ariana lebih lebar.

"Pohon cempedak ditepi titi,
Pohon nangka buah sebiji,
Kalau sudah berkenan dihati,
Marilah kita mengikat janji."

Tawa senang dua buah keluarga kembali bersatu. Dan seperti ada tusukan keris sewaktu keluarganya dan keluarga Ariana telah sepakat memilih enam bulan dari sekarang sebagai tarikh pernikahannya dengan Ariana. Fahri rasa hidupnya semakin kosong. Tanpa warna dan suara.

Sewaktu melihat emaknya bangun untuk menyarungkan cincin tanda di jari manis Ariana, Fahri hampir bersuara untuk melarang. Mujurlah warasnya masih ada. Keinginan itu dimatikan serta-merta. Fahri belum berhasrat menyandang gelaran si Tanggang moden yang menderhaka pada emaknya.

Setengah jam kemudian, Fahri bersendirian menjamah nasi hujan panas yang disediakan oleh keluarga Ariana. Fahri paksakan diri untuk menelan sesuap dua nasi hujan panas tersebut. Rasanya memang sangat sedap. Rempah ratusnya sempurna. Namun Fahri tidak dapat menikmati kesedapan hidangan tersebut. Hati Fahri sedang luka.

"Mak beritahu, Fahri sendiri yang pilih cincin ni."

Sekilas Fahri menoleh ke sisinya. Disebabkan teruk sangat melamun, Fahri sampai tidak sedar Ariana sudah duduk di sebelahnya. Manisnya Ariana tidak perlu dipertikaikan lagi. Sewaktu matanya pertama kali melihat Ariana lebih lapan bulan lalu, hatinya memang memuji dalam diam. Darah filipino Ariana yang diwarisi dari emaknya, menjadikan Ariana cantik dalam darjahnya yang tersendiri.

"Minta maaf, saya panggil mak awak mak walaupun kita ni belum kahwin lagi. Saya sepatutnya panggil mak cik."

Bibir Fahri mengorak senyum tipis.

"Tak apa, Ariana. Saya tak kisah. Mak lagi suka kalau Ariana panggil dia mak, berbanding mak cik."

"Awak macam mana? Awak suka?"

Tidak ada suara, sekadar anggukan kepala. Dari ekor mata, dia melihat senyuman terindah Ariana. Segala yang ada pada Ariana, segalanya adalah kelas pertama. Raut wajahnya, senyumannya, budi bahasanya dan malah kerjayanya. Fahri yakin, ramai lelaki di luar sana patah hati apabila mendapat tahu si dara cantik bernama Ariana ini, bakal menoktahkan zaman daranya. Fahri yakin, pasti ramai juga lelaki diluar sana yang cemburu dengan keberuntungan Fahri.

Fahri sepatutnya bersyukur, tetapi kenapa sebaliknya pula yang Fahri rasa? Semacam ada kisah silam yang selalu menghimpit Fahri. Kisah silam yang membuat Fahri selalu tawar hati mencari pasangan hidup. Disebabkan itulah emaknya mengambil inisiatif melamar Ariana untuk Fahri. Kata emak, kalau menunggu Fahri sendiri yang memilih calon isteri, emaknya sempat diusung ke kubur. Selagi tidak didesak dengan cara terdesak, Fahri akan tetap begitu. Bujang dan kemudian jadi teruna tak laku.

NAMAKU KHADIJAH | Best SellerTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang