GUMPALAN awan hitam berarak perlahan, sarat dengan isi yang menunggu masa saja untuk pecah. Sesekali ada guruh yang berdentum, dan tidak sampai sepuluh saat, hujan mula menggila. Setelah satu minggu hujan tidak membasahi kota besar Kuala Lumpur, akhirnya hari ini hujan turun menyejukkan tanah yang berdebu dan panas.
"Lebatnya hujan," keluh Kak Azeyan. Sekiranya hujan berterusan lebat sehingga ke petang, membawa maksud jalan raya pasti sesak waktu pulang kerja nanti. Ini fenomena biasa yang perlu diharung oleh pekerja yang berada di Kuala Lumpur.
"Hujan rahmat, Kak Azeyan," sampuk Hafez sambil tersengih-sengih. Dia puas hati dengan calon yang baru saja selesai ditemu duga tadi. Namanya Liyana. Nama penuhnya Nurul Liyana Binti Abdul Kadir. Gaya dan caranya 'menjual diri' ketika ditemu duga sangat memberangsangkan. Hafez yakin Liyana adalah calon yang paling tepat mengisi kekosongan jawatan drafter yang ditinggalkan oleh Jay.
"Tinggal satu calon lagi. Calon terakhir." Fahri juga bersuara. Sudah lima calon selesai ditemu duga.
Hafez meneliti resume calon seterusnya. Tanpa gambar, namun sejarah kerjayanya sangat cemerlang, setanding Liyana. Calon terakhir ini pernah bertugas di Australia selama setahun sebelum dipanggil berkhidmat di Kota Singa, Singapura. Kalaulah Hafez berada di tempat calon terakhir ini, Hafez tak akan balik semula ke Malaysia. Hafez menetap di Australia terus atau pun meneruskan khidmat di Singapura.
"Khadijah," sebut Hafez dengan bibir sengetnya. Ini nama calon terakhir yang bakal ditemu duga sebentar lagi. Sejarah kerjaya dan pendidikannya mengikut aliran terkini, cuma namanya sangat nostalgia.
Hafez mencapai satu watercup berjenama Jantzen. Tekaknya kering tiba-tiba setelah selesai meneliti keseluruhan resume milik Khadijah.
"Calon seterusnya ni sesuai untuk Hafez. Lepas ni mesti Hafez tak gatal lagi." Suara Kak Azeyan lagi. Keningnya ikut ditarikan di depan mata Hafez.
Bersinar terang bola mata Hafez. Dia tahu Kak Azeyan sedang mengusiknya. Bukan Kak Azeyan tak tahu, Hafez dan Jasmeen hangat bercinta. Biarpun sejak seminggu lalu Jasmeen enggan menjawab panggilannya, Hafez yakin rajuk Jasmeen tak akan berpanjangan.
"Macam mana orangnya? Lagi cantik daripada Liyana?"
Liyana, Liyana dan Liyana. Nama itu saja yang meniti di bibir Hafez. Itu telah memberi gambaran bahawa Hafez begitu berkenan dengan Liyana. Kak Azeyan berharap, Hafez tidak prejudis dengan calon terakhir ini nanti. Hanya disebabkan hati Hafez sudah berkenan dengan Liyana, tidak membawa maksud dia terus menutup hati untuk melihat calon drafter yang seterusnya.
"Cantik sangat, macam bidadari yang baru turun dari langit cantik dia. "
Lain benar gaya Kak Azeyan menjelaskan kecantikan Khadijah. Hafez syak, mesti Khadijah itu tak cantik. Hafez arif sangat dengan perangai 'gelap' Kak Azeyan yang satu itu.
"Kak Azeyan cakap betul ni. "
"Iyalah tu. Dia mana letak gambar. Mana Kak Azeyan tahu dia cantik atau tak."
Kak Azeyan gelak kecil.
"Hafez lupa, ya? Tadi, kan Kak Azeyan keluar sekejap sebab nak ke toilet. Kebetulan Khadijah tu pun ada dekat sana. Kami bersembang sekejap."
Makin susah Hafez nak percaya kata sokongan Kak Azeyan. Memanglah Kak Azeyan keluar mahu ke tandas tadi, tetapi tak mungkinlah Kak Azeyan bersembang dengan calon bernama Khadijah tersebut.
"Hafez tengoklah sendiri nanti," giat Kak Azeyan. Masih lagi berpegang bahawa Khadijah itu cantiknya mengalahkan bidadari yang baru turun dari langit.
Serentak dengan itu pintu telah dibuka dari luar. Berdiri seorang perempuan di situ. Kibaran kain hitamnya yang paling menonjol.
Burrrssstttttttt!!! Bersembur air dari mulut Hafez. Basah resume Liyana. Matanya tidak pandai berkelip melihat figura yang dibalut kemas dengan kain hitam. Tidak ada bahagian tubuh yang dapat dilihat, kecuali sepasang matanya.
KAMU SEDANG MEMBACA
NAMAKU KHADIJAH | Best Seller
RomansaTerbitan: Karya Seni Isbn: Harga: Rm23.00 (Sm) / Rm26.00 (Ss) Status: Terbitan Eksklusif PBAKL 2019 Blurb/ Sinopsis: Kibaran kain hitamnya sangat jelas. Sorotan mata hijau zamrudnya tajam. 12 tahun Khadijah menunggu Fahri. Apabila takdir menemuka...