LEKA Jasmeen memerhatikan Hafez. Bibirnya mengorak senyum melihat cara Hafez makan. Dua hari di tahan di wad, Hafez merungut tentang makanan yang disediakan tidak menepati piawaian cita rasanya.
Terlanjur Jasmeen berjanji, jadi hari dia membawa makanan untuk lelaki itu. Sebenarnya sejak keluar dari wad lagi, Hafez sudah meminta Jasmeen membawa makanan untuknya. Makanan hasil air tangan Jasmeen sendiri. Itulah Hafez. Kalau dia sakit, penyakit manjanya memang berlebihan.
Senyuman Jasmeen bertambah lebar sahaja setelah melihat Hafez tidak berhenti menyuap. Kalaulah semangat Hafez untuk menamatkan zaman bujangnya, sama dengan selera makannya sekarang, Jasmeen adalah perempuan paling bahagia di dalam dunia ini. Namun itu semua tak akan mungkin berlaku dalam waktu singkat ini. Hati Hafez payah hendak dipujuk.
"Sedap lauk hari ni. Pandai awak masak, Jasmeen. Saya suka. Kena sangat dengan selera saya."
Jasmeen tunduk. Agak lama sebelum dia mengangkat wajah. Dilihatnya Hafez telah selesai makan. Sekarang lelaki itu telah bergerak ke sinki. Tangannya dicuci, begitu juga pinggannya. Kemudian dia kembali ke meja makan lalu meraih segelas air suam. Air suam tersebut diteguk sampai habis.
"Hari-hari saya boleh masak untuk awak, tapi saya nak masak dalam rumah ni dan dekat dapur ni. Saya nak nampak muka awak setiap hari."
Senyuman Hafez yang baru hendak bercambah, mati terus. Kata-kata Jasmeen adalah racun. Hafez faham maksud tersirat di sebalik ayat Jasmeen tadi.
"Kita kahwin, Hafez. Kemudian ada anak."
Inilah maksud tersirat yang Hafez cakap tadi. Jasmeen bercakap fasal 'tight the knot' lagi. Nampaknya, tak jemu Jasmeen mengulang ayat yang sama. Bulan ini sahaja, tidak terhitung berapa kali Jasmeen mengajaknya berkahwin. Dan sekarang, Jasmeen sudah pandai mahukan anak?
Hafez dapat membayangkan betapa kelam-kabut keadaan rumahnya. Hafez dan anak kecil tak pernah serasi. Kalut hidupnya nanti.
"Mommy dah tanya. Kerap sangat dah dia tanya. Dia nak kita kahwin cepat. Kita berdua bukan semakin muda, tapi semakin tua. Saya risau saya susah nak mengandung nanti."
"Kita yang nak kahwin nanti. Bukan mommy awak, Jasmeen. Biarkanlah dia tanya. Bukan luak pun. Dan fasal anak tu, awak pun tahu saya tak suka budak-budak. "
Jasmeen terdiam. Dari awal mereka bercinta lagi, Hafez sudah menegaskan dia tidak menyukai budak kecil. Jasmeen fikir, dia boleh mengubah jalan fikiran Hafez. Jelaslah dia salah.
"Ya, tak luak. Tapi kita dah bercinta dekat tiga tahun. Tiga tahun tu bukan masa yang pendek. Kalau setahun ada 365 hari, bermakna kita dah bercinta selama 1095 hari." Jasmeen memilih menutup cerita tentang anak. Mungkin selepas dia berjaya memujuk Hafez berkahwin dengannya, baru mereka berbincang tentang anak semula.
"Baru tiga tahun, tak sampai sepuluh tahun pun lagi. Saya tak nak kita kahwin sebab terdesak dan didesak. Saya nak kita kahwin sebab memang dah masanya kita berkahwin. Apa guna kita berkahwin sekarang dan kemudian tak sampai setahun, kita bercerai?"
KAMU SEDANG MEMBACA
NAMAKU KHADIJAH | Best Seller
RomanceTerbitan: Karya Seni Isbn: Harga: Rm23.00 (Sm) / Rm26.00 (Ss) Status: Terbitan Eksklusif PBAKL 2019 Blurb/ Sinopsis: Kibaran kain hitamnya sangat jelas. Sorotan mata hijau zamrudnya tajam. 12 tahun Khadijah menunggu Fahri. Apabila takdir menemuka...