SEBAIK sahaja sampai di rumah, bau haruman masakan emak masuk ke dalam hidung. Bau yang cukup untuk membuat perut Shin mendendangkan lagu. Bukan lagu rancak, tetapi lagu sedih. Hati Shin sedang bersedih, jadi rasa lapar perlu ditahan terlebih dahulu. Shin ada misi penting yang mesti diselesaikan.
"Shin." Suara emak memanggilnya dari dapur.
"Shin." Suara emak semakin dekat. Mungkin emak sudah tiba di ruang tamu.
"Shin." Suara emak terdengar sangat dekat. Apabila Shin mengangkat muka dan memandang kea rah pintu biliknya, emak sudah berada di situ. Awalnya emak melukis senyuman. Kemudian tiba-tiba saja emak bertukar cemas. Matanya terbuka luas melihat Shin sedang memasukkan baju-bajunya ke dalam beg sederhana besar.
"Shin buat apa ni? Shin nak lari dari rumah lagi? Shin tak sayang emak dengan bapak?"
"Shin tak pernah tak sayang emak dengan bapak. Tapi Shin mesti pergi."
Emak sudah meluru memeluk Shin. Cukup erat pelukan emak. Emak juga sudah menangis.
"Tempat Shin dekat sini. Dekat rumah ni."
Laju gelengan kepala Shin. Pelukan emaknya juga telah dilonggarkan.
"Shin mesti pindah keluar, mak. Shin tak nak tinggal sini lagi. Shin minta tolong sangat mak tak fikir yang Shin tak sayang emak dengan bapak lagi."
"Kalau macam tu, Shin jangan pindah. Tinggal sini." Tenang suara emak memujuk.
Gelengan kepala Shin semakin rakus. Shin takut. Shin rasa, seperti ada kegelapan yang menghampiri emak dengan bapak kalau dia terus tinggal dengan mereka.
"Mak ingat lagi kawan bapak yang tolong Shin hari tu?"
Emak tidak memberi apa-apa reaksi. Emak seperti sudah tahu khabar buruk yang Shin hendak sampaikan.
"Kawan bapak dah mati. Kawan bapak mati sebab dia tolong Shin. Sial Shin dah melekat dekat kawan bapak. Sebab tu kawan bapak mati!" Berbelit-belit penjelasan Shin. Shin harap emaknya faham apa yang cuba Shin sampaikan dan tidak menghalangnya lagi untuk pindah keluar.
Shin menundukkan kepala. Bibirnya digigit sebelum kembali bersuara.
"Shin tak nak sial Shin, melekat dekat emak dengan bapak. Shin tak nak emak dengan bapak mati."
"Siapa yang cakap Shin ada sial? Pak Cik Lee? Shin, jangan dengar cakap Pak Cik Lee. Shin anak mak dengan bapak. Sejak Shin jadi anak kami, kami bahagia."
Gelengan kepala Shin yang membalas semua kata pujukan emak.
"Shin, dengar sini. Shin anak emak dengan bapak. Ini rumah Shin. Rumah kita sekeluarga."
"Nyawa emak dengan bapak dalam bahaya kalau Shin terus tinggal sini."
"Kalau macam tu, lebih baik emak mati bunuh diri daripada lihat Shin keluar dari sini."
Shin kembali menggelengkan kepalanya. Rakus.
"Emak tak boleh buat macam tu."
"Kalau Shin keluar dari rumah ni, itu yang emak akan buat. Shin nyawa mak. Kalau Shin tinggalkan mak, serupa mak dah tak bernyawa. Lebih baik mak mati terus."
Bergetar bahu Shin. Semakin lama semakin kuat. Akhir sekali Shin mengongoi sepuas hati. Shin memeluk tubuh emaknya dengan erat.
"Emak nak Shin lupakan semua apa Pak Cik Lee dah cakap. Yang penting sekarang, Shin belajar rajin-rajin supaya jadi pandai. Nanti bila besar, Shin tak perlu jual sayur dengan buah dekat pasar malam dah macam emak dengan bapak. Emak nak Shin hidup lebih baik."
KAMU SEDANG MEMBACA
NAMAKU KHADIJAH | Best Seller
RomanceTerbitan: Karya Seni Isbn: Harga: Rm23.00 (Sm) / Rm26.00 (Ss) Status: Terbitan Eksklusif PBAKL 2019 Blurb/ Sinopsis: Kibaran kain hitamnya sangat jelas. Sorotan mata hijau zamrudnya tajam. 12 tahun Khadijah menunggu Fahri. Apabila takdir menemuka...