HARI terakhir di tanah Brunei Darussalam. Dingin subuh masih terasa ketika Jaja tiba-tiba mengetuk pintu biliknya. Nyaris terlepas jatuh novel Sejati dari tangan Khadijah. Lehernya dipanjangnya ke arah pintu. Mengikut pada pola ketukan pintu Jaja, pasti hal serius dan mustahak. Penanda buku unik kambing biri-biri berwarna putih dicapai lalu diselitkan di muka surat 205. Nanti baru Khadijah sambung semula bacaannya.
Selepas itu tanpa membuang masa lagi, Khadijah bangun untuk membuka pintu. Wajah teruja bercampur cemas Jaja yang menjadi santapan mata Khadijah.
"Ada apa?"
Tidak ada jawapan, sebaliknya Jaja menarik tangan Khadijah ke ruang tamu. Di sana Macbook Jaja sedang terpasang. Skrinnya memaparkan laman sesawang Facebook.
"Aku dah jumpa Fahri. Aku dah jumpa dia. Ya Allah, meremang-remang bulu roma aku, Khadijah. I was so surprised that I got goose bumps everywhere."
Langkah Khadijah memang terhenti terus. Khadijah takut dia salah mendengar apa yang Jaja tuturkan. Sepasang matanya tidak berkedip memandang Jaja.
"Aku dah jumpa dia. Akhirnya aku dah jumpa dia, Khadijah." Tidak berhenti Jaja berdecit ayat yang sama. Suaranya perlahan kali ini. Meskipun perlahan, tetapi sangat lantang masuk ke dalam jiwa Khadijah. Rasa-rasanya, Khadijah tidak pandai bernafas untuk sesaat dua.
"Aku join Alumni SMKPB. Aku nampak nama dia. Tak buang masa aku terus send friend request. Kau pun patut cepat-cepat hantar friend request dekat dia. Ya Allah, Khadijah... Aku happy sangat ni!"
Jaja nampak sangat teruja. Sekejap-sekejap Jaja menekup mulutnya, kemudian memandang Khadijah dengan pandangan yang sulit untuk Khadijah gambarkan. Kemudian tiba-tiba saja Jaja memegang kedua belah lengan Khadijah.
"Aku rasa. No, bukan rasa lagi. Tapi aku yakin Fahri tu memang jodoh kau. Bayangkanlah, selama ni aku tak pernah tergerak hati nak join alumni SMKPB, tapi tadi aku tergerak hati. Aku scroll sekejap saja, aku dah jumpa Fahri."
Terpaku Khadijah. Bibirnya bergerak-gerak untuk berkata sesuatu, namun tidak terluah. Khadijah bimbang jawapannya salah.
"Kebetulan ni bukan sebarang kebetulan lagi, Khadijah. Ini kebetulan yang sangat indah. Semalam kau sentuh buku Saidatina Khadijah, hari ni Fahri dah muncul dalam radar hidup kau. Can't you see? Allah dah susun cantik-cantik jalur hidup kau."
Tidak terkata Khadijah dibuatnya mendengar hujah Jaja. Jaja terlalu yakin, sedangkan Khadijah penuh dengan rasa ragu.
"Khadijah, ini ketentuan Allah. Allah dah hantar Fahri dekat kau."
Jaja ni, Fahri belum pun lagi meluluskan permohonan hendak menjadi sahabat Jaja. Jaja sudah memberi reaksi luar biasa.
"Kalau dia bukan Fahri macam mana? Nama Fahri dalam dunia ni ramai." Setelah asyik terpaku tanpa suara, akhirnya Khadijah melontarkan keraguan hatinya.
Raut wajah teruja Jaja sedikit pun tidak sirna mendengar soalan Khadijah, sebaliknya Jaja memaksa Khadijah duduk di kerusi.
"Sekali tengok profile picture ni pun, aku dah boleh cam itu Fahri. Fahri bekas ketua pengawas alias ketua pelajar SMKPB." Jari telunjuk Jaja tak berhenti menunjuk ke arah gambar profil pengguna Facebook yang menggunakan nama Fahri itu.
"Jaja, dia tak tunjuk muka pun. Nampak belakang badan saja."
"Belakang badan tu milik Fahri. Mata aku ni takkan salah pandang."
Dahsyat Jaja ni. Hanya dengan mełihat belakang tubuh pun dia sudah yakin itu Fahri. Sudahnya Khadijah menghela nafas panjang. Gambar profil lelaki yang Jaja dakwa sebagai Fahri itu diteliti.
KAMU SEDANG MEMBACA
NAMAKU KHADIJAH | Best Seller
RomanceTerbitan: Karya Seni Isbn: Harga: Rm23.00 (Sm) / Rm26.00 (Ss) Status: Terbitan Eksklusif PBAKL 2019 Blurb/ Sinopsis: Kibaran kain hitamnya sangat jelas. Sorotan mata hijau zamrudnya tajam. 12 tahun Khadijah menunggu Fahri. Apabila takdir menemuka...