KHADIJAH bangun dalam keadaan mengejut. Peluh renik banyak tumbuh di sekitar dahinya. Sempat dia mengerling jam di pergelangan tangan. Kurang setengah jam lagi pesawat Boeing milik Air Asia ini akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Perlahan-lahan bibir Khadijah bergerak untuk beristigfar. Mimpi itu mainan tidur. Dan meskipun dia tahu mimpi itu mainan tidur, masih lagi mengundang resah yang panjang.
Malu Khadijah hendak bercerita tentang mimpinya tadi. Cukuplah semua tahu, dia bermimpi telah menemui Fahri. Mereka berkawan dan kemudian sepakat untuk belajar berkongsi dalam konteks sebagai suami dan isteri. Namun perkongsian itu tergendala setelah seorang lelaki tiba-tiba muncul. Lelaki yang begitu asing. Lelaki yang tak pernah Khadijah kenal. Lelaki tanpa nama dan tak tahu malu.
Khadijah gelar lelaki itu tak tahu malu sebab sikap sosialnya yang berlebihan. Dia dia menarik tangan Khadijah tanpa lapik. Lebih teruk lagi apabila lelaki itu marah-marah lalu membawanya pergi jauh daripada Fahri. Biarpun dia merayu minta dilepaskan, dia tetap dibawa pergi. 'Dibawa pergi' mungkin bukan perkataan yang tepat menggambarkan situasi dalam mimpinya. Perkataan yang paling tepat adalah dia diculik daripada Fahri.
Khadijah menyentuh dadanya. Masih terasa betapa deras jantungnya mengepam darah. Semuanya gara-gara terkejut. Andai kata lelaki itu wujud, Khadijah akan lari jauh. Lelaki itu menakutkan dan mengerikan untuk dijadikan kawan.
"Are you, okay?"
Seorang penumpang yang kebetulan melalui tempat duduknya menyapa. Penumpang itu lelaki. Lelaki berketurunan Tionghua. Orangnya tinggi lampai, mungkin ketinggiannya mencecah 6 kaki. Kulitnya sawo matang, tidak seperti kelaziman warna kulit keturunan Tionghua.
Sepasang matanya juga tidak sepet, lebih kepada bundar. Keningnya lebat dan raut wajahnya nampak cukup lelaki. Dengan pakej tubuh sasa begini, lelaki ini mampu membuat jiwa yang bergelar perempuan terpesona. Namun yang pasti, lelaki berketurunan Tionghua ini bukan lelaki yang muncul dalam mimpi Khadijah tadi.
"Yes, I'm okay. Thank you for asking." Terangguk-angguk kepala Khadijah. Khadijah harap lelaki berketurunan Tionghua ini segera beredar. Ini bukan masanya untuk berbual-bual. Hati dan jiwa Khadijah perlu ditenangkan semula.
"Tempat duduk saya selang tiga baris dari sini. In case kalau awak perlukan bantuan perubatan, saya ada dekat sana."
Berkerut dahi Khadijah. Dia keliru mendengar penjelasan lelaki tersebut.
"Oh, sorry. Sebenarnya saya doktor. Doktor Jeremy Lee. You may address me Jeremy."
Nama keluarga Lee itu sangat menghentam jiwa. Sempat membuat isi kepala Khadijah kosong dan sejuk. Lututnya juga melonglai. Mujurlah Khadijah sedang duduk sekarang. Kalau dia sedang berdiri, pasti nampak bagaimana dia jatuh terduduk.
"Thank you, Jeremy. Saya okey."
Jeremy diam seribu bahasa. Pandangan matanya yang lembut bertukar tajam.
"You look familiar. Those eyes... I have seen it before," sebut Jeremy, cukup jauh masuk ke dalam hati Khadijah.
Khadijah melarikan pandangan. Jari-jemarinya digenggam kemas. Degupan jantungnya lebih kencang berbanding tadi.
"Tapi saya tak rasa saya pernah jumpa awak sebelum ni."
"Okey. Mungkin saya salah orang."
KAMU SEDANG MEMBACA
NAMAKU KHADIJAH | Best Seller
RomanceTerbitan: Karya Seni Isbn: Harga: Rm23.00 (Sm) / Rm26.00 (Ss) Status: Terbitan Eksklusif PBAKL 2019 Blurb/ Sinopsis: Kibaran kain hitamnya sangat jelas. Sorotan mata hijau zamrudnya tajam. 12 tahun Khadijah menunggu Fahri. Apabila takdir menemuka...