BAB 1 (Part 5)

3.6K 33 0
                                    

Ian angkat muka. Ayam masak merah merubah moodnya. “Ian boleh tumpang makan rumah mak cik?” tanya Ian dengan nada suram.
Mak Cik Anis senyum mekar. Nampaknya dia berjaya memujuk Ian. Dia angguk mengiayakan. “Ian datang lepas letak beg ya. Nanti, mak cik hidang. Jangan tak datang pulak!”
Wajah suram Ian bertukar gembira. Ayam masak merah memang lauk kegemarannya lebih-lebih lagi jika mak yang masak. Tapi, masakan Mak Cik Anis tak kurang hebatnya. Dia cepat-cepat masuk ke dalam rumah untuk tukar baju dan berlari ke rumah Mak Cik Anis.
“Assalamualaikum!” Ian terus masuk ke dalam rumah. Dia lihat mak cik sedang hidangkan lauk atas meja makan. Rumah teres kecil itu memang agak sempit. Ruang tamu terpaksa dikongsi dengan ruang makan.
“Waalaikumsalam! Duduk Ian.” Mak cik Anis tarikkan kerusi untuk Ian duduk. “Ian makan dulu. Lepas dah siap, Ian boleh rehat. Mak cik tunggu pak cik balik. Lambat sikitlah nak makan.”
Tidak menunggu lama, Ian terus makan selepas membaca doa makan. Riuh mulutnya memuji masakan Mak Cik Anis.
‘Kesian budak ni. Kenapa Darlina sanggup tinggalkan dia? Yang ayahnya pula sibuk sangat, kerja sampai ke malam. Tinggalkan dia sorang-sorang kat rumah tu.’ ujar Mak Cik Anis bersimpati. Rambut Ian yang panjang dan lembut dibelai.
“Mak cik…”
“Ya, Ian? Nak tambah lagi ke?”
Ian geleng. “Boleh tak kalau Ian nak bagi ayah rasa sikit. Ayah pun suka ayam masak merah.”
Bergenang air mata Mak Cik Anis. Keprihatinan Ian dipuji dalam diam. Dia angguk. “Nanti mak cik bungkuskan. Kalau ayah lambat balik, atau balik malam, Ian panaskan sikit. Takut basi.”
Ian angguk faham. Dalam usia sebelas tahun itu, pemetik api, stove, pisau dan perkakas dapur bukan lagi sesuatu yang asing. Cikgu di sekolah ajar, kita perlu selalu membantu ibu di dapur. Mulai hari itu, Ian tekad. Bila mak kembali ke rumah nanti, Ian mahu membantu mak supaya mak tidak penat uruskan semua benda lagi. Supaya mak tak rasa nak keluar dari rumah lagi.

DaraTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang