BAB 1 (Part 3)

4.3K 34 0
                                    

“AKU dengar si Darlina tu bersekedudukan dengan lelaki bandar tu! Lelaki yang selalu kita nampak hantar dia sampai ke pagar rumah!”
Ian yang sedang menjengket untuk mengambil secawan mi segera terhenti tingkahnya apabila dia mendengar nama mak disebut orang di rak sebelah. Tangan Ian menggenggam penumbuk. Dia bukan tak tahu erti sekedudukan itu. Sudah ramai bercakap tentang mak yang tinggal sebumbung dengan lelaki tanpa berkahwin. Orang kata itu perbuatan yang sangat tidak elok.
“Hish kau ni! Cakap siang pandang-pandang! Entah-entah dia dah kahwin dengan lelaki tu. Orang janda ni tak perlu wali nak nikahkan dia. Mungkin dia buat kecil-kecilan aje!” marah mak cik yang lain.
Hati Ian rasa sejuk sedikit. Ada orang yang berada di pihak mak. Rasa ingin dia ucapkan terima kasih kepada mak cik itu kerana percayakan mak sama sepertinya.
“Lah! Kalau tak ada angin, masakan pokok bergoyang. Ada orang sini cakap nampak Darlina keluar masuk rumah besar tu. Bila dah masuk, tak keluar dah! Buat apa lagi kalau bukan….” Terhenti percakapan mak cik tudung indon apabila terpandang Ian yang sedang memandangnya dengan pandangan marah. Mencerlung mata Ian. Bukan mak cik tu tak tahu Ian anak Darlina. Semua orang kawasan perumahan ini tahu gadis kecil molek yang cantik itu ikut rupa maknya. Jangan ikut perangai sudah!
“Mak cik cakap apa pasal mak saya?” dingin Ian bertanya lalu menghampiri mak cik tudung singkat itu. Dia yang agak rendah terpaksa mendongak sedikit pandang mak cik mulut celupar.
Mak cik yang seorang lagi sudah tidak sedap hati. Bukan tak kenal Ian. Garang orangnya walaupun wajah itu sangat manis.
“Siapa yang ajar kamu boleh tengok mata orang tua macam tu?” Mak cik tudung singkat marah. Anak dia pun tak pandang dia macam tu. “Mak kamu ajar jadi kurang ajar macam ni? Huh! Ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi!”
Darah Ian semakin mendidih. Turun naik dadanya akibat bernafas dengan tidak teratur. Tanpa diduga, Ian berlari laju ke arah mak cik tadi lalu memijak kaki mak cik dengan kasut sekolah bertapak tebal.

DaraWhere stories live. Discover now