SEPANJANG perjalanan ke Kuala Lumpur, tiada bicara antara mereka berdua. Ian menikus di tempat duduk sebelah pemandu. Sebolehnya dia menyempitkan diri betul-betul ke tingkap kereta. Beg galas yang ada beberapa helai baju dipeluk erat ke dada. Dia takut tangan panjang Iskandar akan cuba merabanya lagi.
Namun, sepanjang perjalanan itu, tangan Iskandar hanya memegang stereng kereta. Tapi, Ian tekad. ‘Never let down your guard!’ Lelaki licik seperti Iskandar ada muslihat tersembunyi yang belum boleh dijangka seperti gambar tadi.
Mereka sampai di hadapan sebuah hospital swasta beberapa jam selepas itu.
“Turun!” arah Iskandar.
Ian pandang sekeliling. Ini memang hospital! Beberapa kali rasa syukur itu dipanjatkan kerana Iskandar tidak berbuat apa-apa kepadanya sepanjang perjalanan. Pantas dia keluar dari kereta Iskandar. Kereta itu kemudiannya terus tinggalkan kawasan tempat menurunkan penumpang.
Dia pandang kereta hingga hilang dari pandangan. Hati ingin disedapkan. Mungkin memang Iskandar sudah berubah. Ian tepuk pipinya. ‘Jangan! Jangan pernah percaya pada lelaki tu! Selagi kau tak balik semula ke asrama, kau ada probability untuk jumpa di semula! Waktu tu, kau tak tahu apalagi yang dia akan buat!’ Akal Ian berbicara.
Tidak menunggu lama, dia terus masuk ke dalam bangunan hospital.
MENANGIS Ian melihat wajah lesu mak yang sedang lena tidurnya. Kata doktor, mak demam panas dan batuk kering. Batuk itu menyebabkan tekak mak luka. Sebab itu, batuk mak berdarah. Mak perlu ditahan wad untuk beberapa hari bagi pemantauan rapi doktor.
Tangan panas mak, Ian bawa ke wajahnya. “Mak…Ian dah sampai. Ian datang dari Melaka nak jumpa mak…”
Tangan mak dikucup lama. “Ian minta maaf dah lama tak balik nak jenguk mak. Tapi, tak apa. Kali ni, Ian akan jaga mak. Kalau seminggu pun mak di sini, Ian akan temankan mak ya?”
Ian pandang sekeliling. Sepi bilik besar itu. Ayah tirinya pun tiada. Entah sejak pukul berapa tadi, mak dibiarkan bersendirian. Dalam hati hendak marah. Sepatutnya, ada orang yang menjaga mak walaupun seorang. Paling tak pun, bibik. Tapi, tiada ayah tiri mahupun bibik yang menjaga.
Tapi, dalam hati kecilnya selesa juga tiada ayah tirinya di sini. Sangatlah awkward kalau tiba-tiba ayah tirinya datang nanti. Bukan dia selesa sangat dengan Pak Cik Hashim tu.
Lama Ian menatap wajah mak melepaskan rindu. Sesekali, rambut mak yang sama panjang sepertinya dibawa ke belakang telinga.
“Cantik mak Ian…” puji Ian pada maknya sendiri.
Entah macam mana, Ian tertidur dengan meletakkan kepala di sebelah mak. Dia hanya bangun apabila mendengar suara seorang lelaki mengejutnya.
“Ian…Ian…” Sura yang agak familiar buat dia memaksa diri untuk buka mata. Dia toleh ke belakang. Ada Pak Abu yang sedang senyum memandangnya.
“Pak Abu…”
“Ian dah lama sampai?”
Ian lihat jam pada pergelangan tangan. Sudah pukul tiga petang! Mak masih belum bangun lagi. “Ian sampai dekat pukul satu tadi.”
“Ian dah makan belum? Kalau belum, biar Pak Abu yang tolong tengokkan puan.”
Ian geleng. “Tak apa, Pak Abu. Ian nak tunggu mak bangun dulu.”
“Tak apalah kalau macam tu. Ni ada air mineral untuk Ian. Minumlah sikit. Kat tempat berair-cond macam ni, kering tekak kalau tak minum air.”
Ian senyum segaris menyambut huluran Pak Abu. Dia ucapkan terima kasih. “Pak Abu, Pak Cik Hashim tak ada ke? Memang dari pagi tadi ke, mak dibiar sendiri lepas admitted dalam hospital ni?”
“Tuan kat luar negara sekarang. Dah seminggu tuan ke sana.”
Ian mencium ada sesuatu yang telah terjadi. Tapi, dia tak nak berfikiran buruk. Bussinessman seperti Pak Cik Hashim memang selalu ke luar negara. Tapi, tak adalah sampai seminggu. Biasanya, dua tiga hari dah balik dah.
“Pak Abu…Mak dengan Pak Cik Hashim tak ada apa-apa masalah kan? Maksud Ian…” Ian garu kepala tak tahu nak teruskan ayat macam mana.
Pak Abu senyum paksa. Dia tak tahu dia nak cerita atau tidak tentang hal ini pada Ian Tapi, sebab Ian dah bertanya, rasanya dia mahu jujur sahaja dengan Ian. Pak Abu menggamit Ian untuk pergi jauh sedikit dari mak yang sedang terbaring lesu. Mereka terpaksa keluar dari wad.
“Tuan ada perempuan lain…”
Berita itu membuatkan Ian menekup mulutnya sendiri. Kepalanya jadi pusing tiba-tiba. “Habis tu, mak tahu?”
Pak Abu angguk hampa. “Lepas puan dan tuan bergaduh besar hari tu, terus seminggu tuan tak balik.”
“Habis tu, Pak Cik Hashim tahu tak, mak masuk hospital ni?” Hati Ian sudah menangis mendengar nasib mak yang dia fikir panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.
“Dah. Pak Abu dah beritahu. Tapi, Pak Abu tak tahu bila tuan akan balik.”
Saat ini, nak masuk ke dalam bilik mak dan menghadap wajah mak memang Ian tak kuat. Dia akan menangis teresak-esak memikirkan nasib mak. Hati Ian berkata sendiri. ‘Nasib mak dan aku seakan sama. Dipergunakan lelaki dari keturunan yang sama!’ Ian genggam botol air mineral yang dipegang. Andai boleh, dia mahu bawa mak jauh daripada keluarga ini. Tapi, mak masih isteri sah Pak Cik Hashim. Andai Pak Cik Hashim berhasrat untuk melepaskan mak nanti, dia akan bawa mak jauh dari sini. Lupakan semua kenangan buruk yang berkait dengan keluarga Hashim.
Air mineral dalam botol diteguk rakus untuk menghilangkan pedih dalam hati.
“Pak Abu, saya nak pergi ambil angin sekejap. Pak Abu tolong tengokkan mak ya.”
“Memang itulah tujuan Pak Abu datang.” Pak Abu senyum manis.
Ian senyum segaris pada Pak Abu. Dia berjalan menuju ke lif untuk ke tingkat bawah. Dia mahu menangis sepuasnya sebelum masuk semula menghadap mak. Dia tak kisah jika dia tidak bahagia asalkan mak bahagia. Tapi, kenapa mak juga perlu rasai penderitaan dalam banglo mewah itu?
ANDA SEDANG MEMBACA
Dara
RomanceKecantikan pada wajah adalah anugerah daripada Tuhan. Namun, kecantikan pada wajah Ian seakan sumpahan derita untuknya apabila menjadi mangsa nafsu serakah si abang tiri, Iskandar
