Masa berlalu begitu pantas. Episod duka hidup Ian menerima gangguan seksual di dalam rumah sendiri berakhir apabila Ian dihantar ke asrama. Keputusan peperiksaan UPSR 5A melayakkan dia ke asrama penuh di Melaka. Biarpun dia diganggu setiap malam oleh Iskandar, Ian tekad untuk keluar dari vila itu. Keluar dan pergi ke tempat yang lebih baik. Ke tempat yang jauh dari Iskandar. Ke tempat yang Iskandar tak boleh mencarinya.
Tahun ini, masuk tahun ke lima Ian di sekolah itu. Ian berkawan dengan ramai kawan. Namun, yang paling rapat hanya seorang. Afiqah namanya. Gadis itu sama sepertinya. Tiada ayah. Hanya ada mak dan dua orang kakak. Setiap kali balik wajib, Ian tak akan pulang ke banglo Pak Cik Hashim sebaliknya, dia akan menumpang di rumah Afiqah di Melaka. Tiada lelaki dalam rumah itu membuatkan Ian begitu selesa.
Selalu juga Mak Cik Hasnah, ibu kepada Afiqah bertanya. “Tak apa ke Ian tak balik ke rumah sendiri waktu balik wajib macam ni? Mak tak risau?”
Hanya senyuman jawapan kepada soalan Mak Cik Hasnah. Dia tak mahu memburukkan mak depan Mak Cik Hasnah. Mak cakap, “Kalau nak tinggal selama-lamanya kat asrama pun tak apa. Ian tahukan Pak Cik Hashim tak suka Ian? Mak tak nak bergaduh dengan suami mak sebab Ian!”
Ian sambut kata-kata mak dengan anggukan. Kalau boleh, dia pun tak nak kembali ke neraka dunia itu. Neraka yang menyaksikan air matanya tumpah setiap malam di saat semua orang dibuai mimpi lena. Namun, dia tak boleh menidakkan hatinya begitu rindu pada mak.
IAN sedang membuat latihan Matematik Tambahan di bilik bacaan bersama Afiqah yang duduk di hadapanya. Terkejut dia apabila ada pengumuman yang memanggil namanya.
“Irdiana binti Ismail! Irdiana binti Ismail! Ada pelawat yang ingin berjumpa anda di hadapan asrama puteri!”
Ian ragu. ‘Itu untuk aku ke? Siapa pula yang nak melawat?’ Selama hampir lima tahun dia berada di sini, dia tidak pernah menerima pelawat. Orang lain kot.
“Aku rasa aku tak kenal Irdiana Ismail selain kau dalam sekolah ni!” tingkah Afiqah apabila melihat Ian masih tekun dengan kerjanya.
Ian terus menekan kalkulator. Malas untuk fikir apa-apa. “Ada tu. Freshy kot. Budak Form 1 ke, Form 4 baru ke. Kau bukannya kenal dia orang semua!” perli Ian.
Afiqah mencebir. Melihat Ian masih tekun, dia juga cuba tekun. Mereka terus membuat latihan Matematik Tambahan. Beberapa minit kemudian, pengumuman yang sama dilaungkan.
“Panggilan kedua untuk Irdiana binti Ismail! Ada pelawat sedang menanti di luar asrama puteri! Cepat sikit!” tegas si pemberi pengumuman.
Afiqah ketawa besar. “Weh, betul lah! Aku rasa pelawat tu memang nak melawat kau. Entah-entah peminat fanatik kau tak?” usik Afiqah. Sahabatnya yang bermata galak, berkulit putih, berbibir mugil ini memang ramai peminat lelaki. Namun, Ian buat tak layan. Pandang sebelah mata pun tak nak. Bila ada yang confess pada Ian, Ian akan cakap, ‘Aku tak ada masa nak layan cinta monyet. Seluar dalam pun mak kau beli, ada hati nak bercinta dengan anak dara orang!’ kutuk Ian depan-depan si lelaki yang confess tadi.
Ada yang terus putus asa, ada juga yang bersungguh ingin menakluki hati Ian yang garang tapi sangat cantik. Mereka ibaratkan Ian sebagai mawar berduri. Indah dipandang, namun tidak boleh disentuh. Durinya akan melukakan jari insan yang cuba menyentuh. Siapa yang tawan hati si mawar berduri ini orang yang sangat hebat. Boleh dapat anugerah tahunan.
“Peminat fanatik? Ah, lantaklah. Ada banyak soalan lagi yang tak siap ni!” Ian tunduk tekun mengira dan menulis jalan kerja.
“Ian ada kat sini tak?” Satu suara nyaring kedengaran di muka pintu bilik bacaan. Semua pelajar yang menggunakan bilik bacaan memandang ke arah Ian. Ian angkat muka.
“Ian! Abang awak kat bawah tu! Dia cakap mak awak sakit! Ada kat hospital sekarang!”
Serta-merta pen pada tangan terlepas. Pertama, terkejut kerana kehadiran lelaki yang dipanggil abang dan yang kedua, terkejut kerana menerima berita mak di hospital! Ian kelam-kabut bangun. Berkeriut bunyi kerusi. Dia kemaskan semua barang dalam keadaan tergesa-gesa.
“Tak apa. Tak apa Ian. Biar aku yang kemas. Kau pergi turun cepat. Jumpa abang kau!” cemas suara Afiqah. Andai dia menerima berita begitu, dia juga akan resah seperti Ian.
“Aku minta tolong, kau tolong letak semua atas katil aku ya!” Terus Ian berlari keluar sebaik memberi pesanan kepada Afiqah.
Ian terus belari menuju ke luar asrama puteri. Tudung yang senget tidak dipedulikan. Dari jauh, dia boleh melihat ada kelibat seorang lelaki yang sedang membelakanginya. Lelaki itu memakai jaket kulit hitam dan seluar jeans biru. Dari ketinggian lelaki itu, Ian tahu itu Iskandar. Namun, belakang badan Iskandar nampak sedikit lebar. Sudah agak lama dia tidak berjumpa manusia bertopengkan syaitan itu. Dalam hati ada rasa takut. Namun, mak lebih penting. Selama dia tidak berjumpa Iskandar, selama itu juga dia tidak berjumpa mak.
“Apa yang dah jadi pada mak saya?” Suara Ian kemengahan. Iskandar masih membelakanginya ketika itu.
Mendengar gemersik suara itu, dada Iskandar bergetar hebat. Perlahan-lahan dia berpaling. Sudah empat tahun dia tidak berjumpa gadis cantik itu. Matanya tak lepas memandang Ian. Wajah cantik itu masih tidak berubah. Putih, bersih dari sebarang jerawat. Tudung senget yang dikenakan Ian buat gadis itu nampak comel di matanya. Ian juga sudah agak tinggi. Setinggi dadanya. Dahulu, dia genit sahaja.
“Apa yang dah jadi pada mak saya?!” tanya Ian kuat kembalikan Iskandar ke alam nyata.
“Mak kau sakit kat hospital. Batuk berdarah,” selamba Iskandar menjawab dengan tangan di dalam poket seluar.
Mata Ian terbeliak. Dadanya berdegup lebih kencang menerima berita itu. Lututnya menggigil. Walaupun mak seakan tidak mempedulikannya lagi, mendengar berita buruk tentang mak buat Ian hampir menangis. Mak, ibu yang melahirkannnya. Dia tak rela mendengar berita kehilangan mak. Dia belum bersedia untuk itu.
“Saya tak…Tak boleh nak percaya…Abang.” Jijik Ian nak sebut perkataan abang. Lelaki itu tak layak digelar abang kerana lelaki itu syaitan dalam jelmaan manusia. Tapi, isu mak di hospital bukan isu yang boleh buat prank. Dia mahu kepastian daripada Iskandar.
Iskandar mendengus. Telefon dikeluarkan. Nombor seseorang didail. “Pak Abu. Ni, Ian nak cakap.” Iskandar hulurkan telefonnya kepada Ian.
Teragak-agak Ian ingin menyambutnya. Bila dah sampai pada tangan, baru dia terus lekapkan pada telinga.
“Assalamualaikum Ian!” ramah Pak Abu memberi salam.
“Waalaikumsalam, Pak Abu. Pak Abu, betul ke mak saya kat hospital sekarang?”
“Ya, nak! Pagi tadi mak Ian mengadu sakit dada. Bila dia batuk, keluar darah. Cepat-cepat Pak Abu hantar dia ke hospital,” cerita Pak Abu dengan nada resah.
Tak sanggup mendengar apa-apa lagi, Ian terus matikan talian. Syaitan di hadapannya memang sedang bercakap benar. Tangan dan lutut sudah menggigil. Hanya ada batuk berdarah dan hospital dalam otaknya sekarang. Dia serahkan telefon kepada Iskandar semula.
“Puas hati?” tanya Iskandar sambil terjongket-jongket keningnya.
“Terima kasih bagi tahu. Nanti saya pergi hospital sendiri.”
“Kau ingat aku drive dua jam semata-mata nak bagi tahu kau berita ni? Huh?”
“Habis tu abang nak apa?” tanya Ian garang. Dia seakan sudah boleh membaca fikiran lelaki ini.
Iskandar gelak halus. “Wah, makin garang kau sekarang ya?” Tangan Iskandar cuba menyentuh dagu Ian namun cepat Ian tepis. Seakan tidak kisah dengan itu, Iskandar senyum lagi. “Mak kau suruh aku ambil kau dan bawak kau jumpa dia. Nak bagi amanat terakhir kot!”
“Abang memang kurang ajar! Sanggup abang doakan mak mati!” Darah Ian mendidih.
“Dia mak kau, bukan mak aku. Mak aku seorang aje dalam dunia ni!”
Ian cuba merasionalkan diri untuk tidak bergaduh di tempat laluan orang keluar masuk asrama puteri ini. “Saya akan pergi melawat mak. Tapi, bukan dengan abang!” tegas Ian. Dia tak akan biarkan dirinya disakiti Iskandar lagi. Lantaklah kalau terpaksa bayar lebih untuk harga teksi. Itu lebih baik daripada berduaan dengan Iskandar.
Iskandar ketap gigi. Ian sudah menjadi gadis yang sangat berhati-hati. Tapi, dia bukan tak ada cara lain untuk memaksa gadis itu naik kereta dengannnya. Dia tak akan biarkan perjalanan ini sia-sia!
Iskandar seluk poket dari dalam jaket yang dikenakannya. Dia keluarkan sekeping foto lalu ditunjukkan kepada Ian.
Ternganga Ian melihat fotonya tanpa baju. Foto empat tahun dahulu. Bila masanya Iskandar mengambil gambar yang mengaibkan ini! Tangan Ian cepat mahu merampas foto itu dari tangan Iskandar namun tangan lelaki itu lebih cepat. Lelaki itu terus sorokkan foto dipegangnya di belakang badan.
“Kalau kau tak ikut aku, gambar ni akan sampai pada semua orang yang ada di sekolah ni…”
“Kurang ajar!!” Ingin sahaja tangan Ian melayangkan penumbuk kepada lelaki itu. Wajah Ian terasa panas akibat marah yang begitu membara ini.
“Tak percaya? Nak aku buat?” Iskandar mahu Ian merayu kepadanya. Dia pandang sekeliling. Ada seorang pelajar perempuan yang menuju ke arah mereka. “Dik!” panggil Iskandar.
Mata Ian terbeliak di situ. Dadanya berdebar-debar. Macam mana kalau Iskandar beri gambar itu kepada junior yang baru dipanggil tadi? Ian pejam mata tahan marah. “Saya ikut!” jeritnya di situ.
Pelajar perempuan yang sudah menghampiri mereka terpinga-pinga. “Abang ada panggil saya ke tadi?” tanya pelajar itu. Dia pandang Ian dan Iskandar silih berganti.
Iskandar senyum menang. Sempat dia jeling kepada Ian. “Abang nak tanya. Sekarang, dah boleh keluarkan?”
Ian pandang Iskandar dengan pandangan marah. Mahu sahaja dilempang lelaki tak guna itu!
Pelajar perempuan itu angguk kecil. “Dah memang waktu outing. Tapi, kena balik sebelum pukul 5.30.”
“Terima kasih. Itu saja yang abang nak tanya.”
Tersipu malu pelajar perempuan tadi menerima senyuman daripada lelaki kacak seperti Iskandar. Tapi, yang pelik, takkan Kak Ian yang sudah tingkatan lima itu tidak tahu. Ah, lantaklah!
Tubir mata Ian sudah berair. Geram, marah, hina bercampur rasa. “Sanggup abang buat Ian macam ni!” rintihnya perlahan tapi Iskandar boleh mendengar rintihan itu. Dia buat tak peduli.
“Cepat! Sepuluh minit aje aku bagi. Kalau kau tak datang dalam sepuluh minit, gambar ni akan sampai pada pak guard yang jaga kat depan pintu pagar tu!” ugut Iskandar lalu menapak ke arah kereta yang diletakkan di hadapan asrama puteri.
Ian kesat air matanya dengan tangan. Tiada gunanya menangis di hadapan syaitan itu. Tapi, dia sudah merangka strategi dalam otak. Andai Iskandar cuba menyentuh walau secebis pun kulitnya, mata Iskandar akan dia simbah dengan air sabun. Biar buta! Cepat-cepat dia berlari masuk ke dalam asrama puteri semula untuk mencari botol kecil yang boleh dimuatkan dalam kocek baju untuk disembur ke mata Iskandar nanti!
ANDA SEDANG MEMBACA
Dara
Roman d'amourKecantikan pada wajah adalah anugerah daripada Tuhan. Namun, kecantikan pada wajah Ian seakan sumpahan derita untuknya apabila menjadi mangsa nafsu serakah si abang tiri, Iskandar
