Bab 3

1.5K 17 1
                                    

"Aik? Makan mi segera? Bukan ke pagi tadi kau kata nak keluar makan dengan Tajul lepas habis kerja? Takkanlah lapar lagi kut? Membela hantu raya ke apa kau ni?" Effa yang masuk ke dapur terkejut melihat Nuha yang sedang enak menghirup kuah mi segera perisa kari yang masih berkepul-kepul asapnya.

Nuha menjeling. Tidak menghiraukan pertanyaan Effa. Perutnya sudah menggigil minta diisi. Dua bungkus mi segera yang dimasaknya tadi sudah pun lebih separuh selamat berada di dalam perutnya.

"Nuha, aku tanya ni... Tak jadi ke keluar dengan Tajul tadi?" Geram pula Effa dengan sikap Nuha yang acuh tak acuh dengan pertanyaannya sebentar tadi. Macamlah mi segera itu lebih penting daripada segala-galanya.

"Ya. Tak jadi." Telur separuh masak yang dimasukkan di dalam mi segera itu pula dipandang Nuha dengan pandangan penuh selera. Dicucuknya dengan menggunakan garpu. Meleleh keluar cecair kuning yang separuh pekat. Nuha menjilat bibir. Inilah masanya!

"Lah, kenapa tak jadi? Bukan main beria-ia lagi semalam beritahu nak keluar makan dengan Si Tajul Muluk tu. Sampai dalam kereta pagi tadi pun dah beria-ia beritahu aku, kau tak mahu makan nasi waktu rehat tengah hari. Nak simpan perut untuk makan malam dengan Abang Tajul. Maklumlah, bekal rindu katanya empat hari terpisah," perli Effa terang-terangan. Dia memang tidak begitu berkenan dengan Tajul sejak mula. Sikap Tajul yang suka mengawal Nuha dari segala segi membuatkannya rimas! Tapi lelaki itu juga yang menjadi pilihan Nuha. Apa daya dia mahu menghalangnya. Tapi dalam hati dia selalu berdoa, janganlah jodoh Nuha dengan Tajul. Bukannya dia dengki. Tapi gadis sebaik Nuha seharusnya mendapat jodoh yang lebih baik.

"Engkau ni... Sungguh pun tak suka dia, janganlah panggil nama dia macam tu. Elok-elok nama dia Tajul Idlan, kau panggil Tajul Muluk," bantah Nuha. Tidak berkenan sungguh dia dengan perangai Effa yang suka-suka hati sahaja memberi gelaran kepada buah hati kesayangannya itu.

"Yalah. Aku tak panggil dah macam tu. Wah, bukan main lagi kau membela dia, ya! Dah tu, inilah dia candle light dinner yang kau beritahu aku tu, ya?"

"Kau janganlah sindir-sindir aku. Dah Tajul tiba-tiba ada hal tadi, terpaksalah kami batalkan rancangan nak makan malam bersama," dalih Nuha. Tak mungkin dia mahu memberitahu Effa yang dia terpaksa makan mi segera malam ini kerana dia dan Tajul bergaduh tadi. Malu! Sudah tentu Effa akan memulangkan paku buah keras kepadanya. Degil sangat. Sudah berbuih mulut Effa menasihatinya, tetaplah Tajul juga yang dipilihnya. Ini kan soal hati. Manalah boleh dipaksa-paksa.

"Tajul ada hal atau kau berdua bergaduh lagi ni?" tembak Effa. Lebih daripada separuh hatinya mengatakan yang Nuha dan Tajul bergaduh. Dek itulah Nuha berada di rumah ketika ini dan sedang menikmati mi segera perisa kari. Jauh daripada apa yang diangankan Nuha sejak semalam.

"Dahlah kalau kau tak nak percaya. Aku beritahu perkara yang betul pun, bukannya kau nak dengar." Nuha pura-pura merajuk. Mahu segera menutup isu yang sedang mereka bincangkan. Malas mahu bercakap soal itu lagi. Yang sakit dan pedih, hatinya juga.

"Yalah, yalah. Aku percaya. Eh, ada lagi tak mi segera ni? Sedap pula aku tengok kau makan."

"Dah habis..." Nuha tersengih sambil mengangkat mangkuk yang sudah kosong kepada Effa. Bibir Effa segera mencebik. Cis, langsung tak disimpannya untuk aku! Bertuah punya kawan. Tapi melihat wajah comel Nuha yang tersengih-sengih membuatkan Effa tidak jadi mahu marah.

DIA BUKAN SYURGAWhere stories live. Discover now