Bab 10

1.3K 14 0
                                    

"Ini yang emak tak suka... Kamu semua tak patut buat Tajul macam tu." Liza mencebikkan bibir. Sudah diagaknya. Belum pun hilang bau asap kereta Tajul meninggalkan halaman, Puan Mona sudah bising-bising.

"Apa yang tak kenanya lagi, mak? Saya rasa saya tak adalah buat apa pun. Sekadar beramah mesra, bertanya serba sedikit tentang bakal adik ipar saya tu, salah ke?" Mana boleh asyik-asyik dia sahaja yang salah. Padahal Tajul tu bukannya betul sangat! Liza menarik muka tidak puas hati.

"Kamu bertanya soalan yang bukan-bukan. Sampai Nuha tu rasa tak selesa. Kamu pun Arham, mak tak sangka kamu buat macam tu."

"Saya?" Arham bertanya sambil jarinya menuding ke arah dadanya sendiri.

"Ya. Kamu. Kamu tak tengok ke macam mana marahnya Tajul di meja makan tadi? Semuanya kerana kamu. Kalaulah kamu tak gatal-gatal menyibuk hal orang, berlagak macam hero, tak adanya Tajul nak naik angin macam tadi tu. Mujurlah ayah kamu masuk campur. Kalau tidak, mahu terbalik meja makan tu tadi."

"Nuha tak suka lauk tu, mak. Terpejam-pejam matanya nak menggigit lauk sambal berlado paru dan limpa tu. Belut pun tak berani disentuhnya dengan tangan. Siap tolak belut tu ke tepi pinggan dengan nasi. Emak tak nampak ke raut mukanya yang nampak seksa benar waktu menyuap nasi ke dalam mulut? Saya tak sampai hati nak tengok, mak. Dia tu tetamu kita, kita layanlah dia elok-elok. Bukannya orang lain. Bakal jadi ahli keluarga kita juga," balas Arham bersahaja. Dia tidak rasa yang tindakannya di meja makan tadi adalah salah. Dia buat berdasarkan gerak hati dan rasa simpati tatkala melihat Nuha yang terkial-kial mahu menyuap nasi ke dalam mulut.

"Sebab itulah dia kena belajar terima apa yang keluarga kita makan, apa yang keluarga kita suka. Tak bolehlah dia nak ikutkan selera dia tu. Tajul suka makan makanan macam tu, jadi dia kenalah belajar makan makanan yang bakal suami dia suka."

"Emak, belajar makan tu tak salah. Tapi tak usahlah kita paksa kalau tekak orang lain tak dapat terima makanan tu. Selera orang tak sama, mak. Tengok macam saya ni. Saya pun anak mak, ahli keluarga kita ni, tapi kenapa semua orang dalam rumah ni boleh makan ikan sungai dan saya tidak? Sedangkan emak selalu aje masak lauk guna ikan sungai tu sejak saya kecil lagi. Emak pun, sampai sekarang emak tak boleh nak telan spageti tu walaupun semua orang kata sedap. Terjuih-juih mulut emak kalau kami ajak emak makan benda tu. Macam tu juga Nuha, mak. Bukannya dia mengada-ada. Dah memang itu bukan selera dia, nak buat macam mana?" Masam terus muka Puan Mona mendengar penerangan Arham yang panjang lebar. Siap dirinya sendiri diambil sebagai contoh.

"Kamu yang membela dia sangat ni kenapa? Dah jatuh hati pada bakal adik ipar sendiri?" tuduh Puan Mona tidak bertapis. Liza sudah terkekeh-kekeh ketawa. Lucu melihat emaknya yang sudah kehabisan idea sehinggakan sampai ke situ emaknya menuduh Arham.

"Saya bukan jenis orang yang akan jatuh cinta pandang pertama, mak. Saya juga bukan orang yang suka nak merampas hak orang lain." Ringkas dan padu jawapan yang diberikan Arham. Liza sudah menaikkan kedua-dua ibu jarinya sebagai tanda sokongan kepada abangnya yang tetap tenang dalam menangkis serangan ibu mereka.

Nuha bangun agak lewat pagi ini. Mujurlah hari ini hari Ahad dan dia pula dapat kelebihan bercuti solat sudah masuk hari yang ketiga. Kalau tidak tentu semput nafas dibuatnya mahu mengejar punch card yang tidak akan pernah mahu berkompromi. Laju sahaja kalau mahu bertukar dari warna hitam ke warna merah.

Selesai mandi dan berpakaian, Nuha bercadang mahu turun ke dapur, melihat-lihat apa yang boleh dijadikan sebagai sarapan. Effa, Dian dan Intan hilang entah ke mana. Hujung minggu begini memang begitulah kebiasaannya. Sama ada mereka keluar berjoging atau sekadar keluar menonton wayang dan cuci-cuci mata di mana-mana pusat membeli-belah yang berhampiran. Nuha pula sejak dilarang Tajul, sudah tidak berani mahu keluar bersama-sama dengan kawan-kawan serumahnya itu.

Nuha mencapai cerek elektrik yang berada di atas kabinet. Mahu memasak air untuk dibuat air Milo. Tadi dia ada terpandang sebungkus nasi lemak yang ditinggalkan di bawah tudung saji. Tentu kawan-kawannya yang meninggalkan nasi lemak itu untuknya. Nuha tersenyum kecil. Memang begitulah kebiasaannya.

Baru sahaja Nuha mahu mencapai muk di atas rak, telefon yang berada di atas meja makan berbunyi nyaring. Nuha segera meletakkan kembali muk yang sudah dipegangnya tadi. Tangannya segera mencapai telefon yang masih tidak berhenti mengalunkan lagu Sejati nyanyian Faizal Tahir.

"Hello." Tiada sahutan di seberang sana. Hanya terdengar dengusan nafas yang agak kuat dilepaskan. Nuha mengetap bibir. Geram pula rasanya. Dia yang telefon aku, dia pula yang diam. Nuha mengomel dalam hati.

"Siap sekarang. Saya ambil awak sekejap lagi. Dalam dua puluh minit saya sampai."

Klik. Talian diputuskan oleh Tajul. Nuha kembali merenung skrin. Tangan kanannya menggenggam telefon kuat-kuat. Sakitnya hati! Nuha terasa mahu sahaja dia menjerit. Tapi apabila mengingatkan malu kepada jiran-jiran yang ada di kiri dan kanan rumahnya yang mungkin bakal terkejut dengan jeritannya nanti, maka hanya itulah sahaja yang mampu dilakukannya buat melepaskan rasa hati yang berbuku.

"Kita nak ke mana?" tanya Nuha sebaik sahaja mengambil tempat duduk di sebelah Tajul. Tajul tidak menjawab sebaliknya terus sahaja memecut keretanya keluar dari kawasan perumahan itu. Nuha cuba menyabarkan hati. Mungkin Tajul mahu membawanya makan tengah hari bersama agaknya, bisik hati Nuha cuba bersangka baik.

Tajul memandu kereta hinggalah mereka sampai di Taman Metropolitan. Nuha memandang keliling. Mahu buat apa Tajul membawanya ke sini? Mahu mengajak bermain layang-layang? Mata Nuha sempat menangkap beberapa orang pengunjung yang cuba untuk menaikkan layang-layang. Orang tidaklah begitu ramai ketika ini memandangkan jam baru menunjukkan ke angka sebelas setengah pagi.

"Turun," suruh Tajul sepatah. Nuha akur. Pintu kereta dibukanya lalu dia turut mengekor langkah Tajul dari belakang.

Tajul berhenti di depan sebuah kerusi batu yang berada di bawah pokok bunga tanjung. Dia langsung duduk. Nuha juga turut duduk. Taklah rapat tetapi masih mampu mendengar setiap butir percakapan Tajul jika Tajul tidak berniat untuk bercakap secara berbisik.

"Awak tahu tak, saya kecewa dengan awak." Tajul memulakan bicara. Nuha diam. Bukankah Tajul tidak suka ada yang menyampuk kalau dia sedang bercakap?

"Saya tak suka awak tunjuk perangai bila ke rumah saya semalam. Sikap awak betul-betul memalukan saya." Tajul masih meneruskan sesi meluahkan perasaan. Nuha masih setia mendengar sambil sesekali menguis-nguis bunga tanjung yang sesekali jatuh di atas bahu dan bajunya.

"Awak dengar tak apa yang saya cakap ni?" Nuha menoleh ke sisi. Melempar pandangan kosong dengan wajah terpinga-pinga.

"Saya benci betul bila saya bercakap, awak diam. Macam bercakap dengan tunggul!"

Pulak. Hari tu kata dia tak suka bila dia bercakap, orang pun bercakap. Sekarang dia tak suka kalau dia bercakap, orang pula diam sahaja. Mana satu yang aku nak dengar ni? Nuha mengeluh dalam hati. Bingung dengan emosi dan arahan Tajul yang kerap benar berubah.

"Saya dengar apa yang awak cakap. Maafkan saya." Apa lagi yang Nuha boleh katakan? Jika dia mahu membela diri dan membuat penjelasan, mahukah Tajul mendengarnya? Balik-balik dia juga yang salah.

"Saya tak mahu awak rapat sangat dengan ahli keluarga saya terutamanya abang dan kakak saya tu. Dua-dua tu tak boleh pakai. Arham tu berlagak! Macamlah dia seorang sahaja yang bijak, yang bagus, yang banyak duit dalam dunia ni. Liza tu pula, mulut tak tahu nak jaga. Suka betul menyakitkan hati aku. Anak-anak sudahlah tak tahu nak jaga.Pandai buat sepah, merengek dan menangis aje. Rimas aku!" Tajul sudah semakin melalut. Nuha tiba-tiba teringatkan kata-kata Abang Normannya tempoh hari. Tajul tidak sukakan kanak-kanak!

"Itu aje saya nak cakap. Dah, jom! Kita pergi makan." Nuha bingkas bangun. Tajul sudah pun berjalan tanpa menunggu dirinya. Terkedek-kedek Nuha mengejar Tajul dari belakang.

DIA BUKAN SYURGAWhere stories live. Discover now