Bab 8

1.1K 10 0
                                    

"Oh, inilah bakal isteri Tajul ya." Seorang wanita yang kelihatan muda dan agak bergaya menyapa Nuha. Nuha segera bangun lalu menghulurkan tangan untuk bersalaman.

"Nama siapa?"

"Nuha."

"Kerja atau..."

"Kerja, kak. Kerja di syarikat hartanah," balas Nuha sopan.

"Oh, kerani atau pegawai?" Tajul mendengus. Lebih-lebih pula Kak Liza bertanya. Inilah yang dia tidak berkenan sebenarnya.

"Kau sibuk sangat hal orang ni kenapa? Jaga hal kau sendiri tak boleh ke? Sibuk betul nak menyiasat dalam kain orang!" Liza mencebikkan bibir. Langsung tidak hairan dengan kata-kata Tajul yang kedengaran kasar. Bukannya dia tidak biasa.

"Tanya sahaja kut. Takkanlah itu pun tak boleh. Kata datang nak berkenalan dengan keluarga bakal mentua. Berkenalan apa kalau baru aku tanya sikit, kau pula yang lebih-lebih melentingnya." Liza menjawab. Tidak mahu kalah di depan Nuha.

"Sudah! Malulah sikit dekat Nuha ni. Baru kali pertama dia datang ke rumah kita ni, kamu berdua dah bergaduh. Takut Nuha ni nanti. Terus tak jadi nak kahwin dengan Tajul." Mulut Puan Mona sudah bising. Baik Liza, baik Tajul, kerjanya mahu bertengkar sahaja. Pantang berjumpa, ada sahaja yang mahu digaduhkan. Arham dan Afnan sahaja yang jarang-jarang mahu menimbulkan masalah. Hai, entahlah... Anaknya cuma empat orang, tapi entah mengapa, keempat-empatnya langsung tidak serasi terutamanya kalau dengan Tajul.

"Nak masuk keluarga ni kena kebal, Nuha. Tambah-tambah bukan calang-calang orang dapat jinakkan Tajul ni."

"Kau diam boleh tak? Aku serabutlah dengar suara kau." Tajul bersuara. Menyampah dengan Liza yang sudah mula melalut.

"Assalamualaikum..." Puan Mona menarik nafas lega. Kalau tidak, harus berlarutan pertikaman mulut antara dua beradik itu.

"Waalaikumussalam. Dah balik pun. Selesai semua urusannya?" Seorang lelaki yang usianya dalam lingkungan lewat lima puluhan dan seorang lelaki yang lebih kurang sebaya dengan Abang Normannya melangkah masuk ke dalam rumah.

"Pergi lihat tanah aje dulu. Hari Isnin baru cadangnya nak ke pejabat tanah untuk urusan seterusnya. Dah sampai tetamunya?" tanya lelaki yang Nuha kira ayah kepada Tajul.

"Dah. Dah sampai dalam setengah jam pun. Nuha, ini ayah Tajul. Yang di belakang tu, abang sulung Tajul, Abang Arham." Lelaki yang disebut namanya itu menarik senyum memandang Nuha sambil menganggukkan kepalanya. Nuha tanpa sedar membalas senyuman lelaki itu. Tajul yang terpandang adegan itu mengetap gigi hingga berkeriut bunyinya.

"Abang dan Arham pergilah salin pakaian dulu. Kemudian kita makan tengah hari sama-sama. Nuha pun dah lapar agaknya ni."

"Ha, yalah." Ayah Tajul terus menuju ke salah sebuah bilik yang berdekatan. Arham pula menonong berjalan hingga ke belakang. Mungkin biliknya di hujung sekali, getus hati Nuha.

Tajul merenung tajam mata Nuha yang mengekori langkah abangnya itu. Kedua-dua tangannya digenggam kuat. Sakit matanya melihat kelakuan Nuha.

"Marilah kita ke dapur. Hidangkan apa yang patut. Jom Nuha," ajak Puan Mona ramah. Nuha bangun. Pantas mengekori langkah Puan Mona yang menuju ke dapur.

"Kau dah fikir habis ke nak kahwin ni, Tajul?" Setelah pasti yang Nuha dan emaknya sudah selamat berada di dapur, Liza bertanya. Tajul mengerutkan kening.

"Kenapa? Kau fikir aku tak mampu nak sara anak orang?" Sinis soalan Tajul. Kenalah dengan soalan yang Liza ajukan tadi.

"Bukan masalah tak mampu. Tapi masalahnya panas baran kau tu!"

"Aku marah bersebab. Aku bukan panas baran. Orang lain yang suka sangat buat aku marah! Kalau tak ada yang cari fasal, tak adanya aku nak marah-marah."

"Tengok, aku baru tanya kau macam ni, kau dah melenting. Nak kahwin ni bukan setakat cukup bagi makan pakai sahaja, Tajul. Kau kena belajar banyak bersabar. Kawal sikit panas baran kau tu. Teruk isteri kau nanti kalau kau tetap dengan perangai kau ni."

"Eh, yang kau sibuk sangat ni kenapa? Aku nak kahwin dengan kau ke?" Semakin panas pula hati Tajul dengan nasihat yang diberikan oleh kakaknya. Beri nasihat macam diri tu bagus sangat! cemuh Tajul.

"Dengan aku memang sah-sahlah kau tak boleh kahwin! Aku ni cuma nasihatkan kau aje. Buruk-buruk kau pun, kau tetap adik aku."

"Kau jaga urusan kau aje sudahlah, Kak Liza. Kau tak payahlah nak tunjuk prihatin, nak tunjuk baik hati kau tu. Aku tahulah nak urus hidup aku. Kalau kau tu halal untuk aku nikahi pun, tak ingin aku beristerikan perempuan macam kau. Perasan bagus! Padahal tak ada apa-apa pun. Berlagak sahaja lebih. Macam manalah Abang Suffian tu boleh tersangkut dengan kau ni dulu, kan? Ini mesti kau ada guna-gunakan dia."

"Eh, aku cuma nak nasihatkan kau aje. Yang kau melalut-lalut ni kenapa?" Nada suara Liza sudah naik satu oktaf. Bengang apabila ditembak Tajul yang tidak tahu hujung pangkalnya, tahu-tahu sahaja mahu marah. Orang nak beri nasihat pun mahu melenting. Macamlah nasihat itu perlu dibayar.

"Liza, Tajul! Apa lagi ni? Bergaduh tak habis-habis." Encik Hashim yang baru keluar dari bilik menegur.

"Ah, bosanlah nak melayan kepala angin dia ni!" Liza terus bangun. Mukanya masam mencuka.

"Kau yang kacau aku, nasiblah!" Tajul pun tidak mahu mengalah. Terus juga menjawab.

Encik Hashim hanya sekadar mampu menggelengkan kepala. Sudah puas dinasihat, sudah puas ditegur, namun tetap begitu juga. Tajul dengan kepala anginnya. Liza juga boleh tahan degilnya. Cuma Arham yang agak berbeza sedikit perangainya jika dibandingkan dengan adik-adiknya yang berdua itu.

"Mana Arham? Belum siap lagi?" tanya Puan Mona sebaik sahaja semua orang sudah berkumpul di meja makan.

"Biarkanlah dia, mak. Tak payahlah ditunggu. Dia ingat dia tu besar sangat agaknya. Makan pun nak suruh orang tunggu dia."

Nuha jadi kurang berkenan pula dengan sikap Tajul. Sejak tadi, dia rasa tidak senang hati melihat cara Tajul bercakap dengan emak dan adik-beradiknya. Nampak kasar dan tiada perasaan hormat.

"Kalau orang lain nak tunggu dia, tunggulah. Saya nak makan. Perut saya tak diciptakan untuk menunggu orang." Tajul menghulurkan pinggan kepada Nuha. Nuha terasa serba salah pula mahu menyambutnya. Orang lain belum makan, Tajul pula yang mahu jadi perasmi.

Liza yang duduk di hujung meja makan buat-buat tidak tahu. Lantak Tajullah. Jika ditegur, mahu terlingkup pula meja makan diamuk Tajul nanti. Dia memandang Puan Mona. Puan Mona memberikan isyarat mata. Biarkan sahaja.

Encik Hashim pula hanya saling berpandangan dengan Puan Mona. Sudah masak benar dengan perangai Tajul yang paling pantang menunggu. Malas Encik Hashim mahu menegur. Malu kepada Nuha yang baru pertama kali datang, sudah bermacam drama yang dipertontonkan kepadanya.

"Tengok apa lagi? Isilah nasi dalam pinggan tu. Saya lapar ni. Kita makan aje dulu. Tak payah nak ikut orang. Dia orang tak mahu makan, terpulang." Dalam keadaan yang serba salah, pinggan yang dihulurkan Tajul disambut oleh Nuha. Disenduknya nasi yang berada di dalam mangkuk. Diletakkannya dengan berhati-hati di depan Tajul.

"Isi pinggan awak sekali." Nuha terkedu. Pertama kali datang ke rumah bakal mentua, takkanlah aku nak ikut perangai tidak semenggah Si Tajul ni? Nuha mula tersepit. Tajul mendekatkan mulutnya ke telinga Nuha.

"Jangan buat malu saya. Ikut sahaja apa yang saya suruh. Jangan buat kepala degil awak tu dekat sini," bisik Tajul perlahan. Nuha menelan liur. Entah mengapa, seleranya sudah mati walaupun menu yang disediakan Puan Mona kelihatan begitu mengiurkan.

Tajul mencapai pinggan yang berada di depan Nuha. Diunjuknya seperti tadi. Matanya tajam merenung mata bakal isterinya. Perlahan-lahan Nuha menyambut pinggan itu. Takut-takut. Lalu disenduknya sesenduk nasi dan diisikan di atas pinggannya. Tajul tersenyum puas.

Tajul mencapai senduk lalu meletakkan sup belut di atas timbunan nasi Nuha. Tidak cukup dengan itu, ditambahnya sesenduk sambal goreng berlado paru dan limpa. Nuha mahu menahan, namun sudah terlambat. Dia merenung lama lauk yang diletakkan Tajul tadi. Seumur hidupnya, dia belum pernah menyentuh belut, paru mahupun limpa dalam apa-apa jua jenis masakan. Mahu menangis pun ada rasanya. Seumur hidupnya, jangan katakan mahu makan, menyentuh belut pun dia tidak pernah. 

DIA BUKAN SYURGAWhere stories live. Discover now