Bab 12

1K 17 0
                                    

"Nuha minta maaf. Nuha rasa, hubungan kita cukuplah sampai di sini." Nuha mengalih pandangan. Lebih rela merenung hujung kasut sendiri daripada memandang wajah Tajul. Bimbang hatinya bakal berubah lagi. Hampir seminggu dia berfikir dan memohon petunjuk sebelum membuat keputusan yang begitu berat buatnya. Berat juga buat Tajul agaknya.

Wajah Tajul jelas kelihatan berubah. Dia tidak sangka, pertemuan mereka yang diatur Nuha pada petang ini adalah bertujuan untuk memutuskan hubungan yang sudah terjalin selama dua tahun.

"Nuha cakap apa ni? Ada sesiapa ke yang menghasut Nuha? Cuba beritahu Tajul, siapa yang dah racun fikiran Nuha ni?" desak Tajul. Dia seakan-akan tidak percaya mendengar permintaan Nuha hari ini. Permintaan yang langsung tidak mampu untuk dia tunaikan, apatah lagi hampir kesemua kawan-kawan tahu yang dia dan Nuha sudah pun bertemu keluarga masing-masing. Di mana dia mahu meletakkan mukanya nanti? Malulah dia kalau kawan-kawannya tahu apa yang dicanangnya tidak berlaku mengikut perancangan. Bagaimana pula mahu dikhabarkan kepada emak dan ayahnya yang begitu seronok mahu menerima Nuha sebagai menantu? Terbayang pula wajah Liza dan Arham di ruangan mata. Makin kuat dengusan yang keluar dari mulut Tajul.

Nuha menggeleng. Matanya masih tidak mampu untuk memandang Tajul. Takut dan rasa bersalah bersilih ganti.

"Tak ada sesiapa pun yang menghasut Nuha mahupun mempengaruhi keputusan Nuha. Cuma selepas Nuha fikir masak-masak, Nuha rasa hubungan kita ni tak kukuh." Memang benar, tiada sesiapa pun yang mempengaruhi keputusannya. Semuanya dibuat setelah dia berfikir dalam-dalam tentang hubungannya dengan Tajul. Hubungan yang boleh dikatakan tidak serupa dengan orang lain. Hubungan mereka lebih banyak dihiasi pertengkaran jika mahu dibandingkan dengan kasih sayang.

"Nuha nak kukuh yang macam mana lagi ni? Tajul dah pergi jumpa mak ayah Nuha, minta izin nak berkahwin dengan Nuha. Nuha pun Tajul dah bawa pulang ke kampung Tajul. Berkenalan dengan mak, ayah dan juga adik-beradik Tajul. Itu masih belum cukup ke untuk membuktikan yang Tajul ni serius dalam hubungan kita? Sebab itulah Tajul nak kukuhkan hubungan kita ni dengan mengambil Nuha sebagai isteri Tajul yang sah!"

Tajul sudah mencekak pinggang. Panas hatinya. Nuha seolah-olah tidak memahami isi hatinya pula sedangkan sudah terang lagi bersuluh yang dia memang bersungguh-sungguh untuk menjayakan hubungan mereka.

"Tajul rasa kita akan bahagia selepas berkahwin?"

"Ini kenapa pula tiba-tiba tanya soalan yang bukan-bukan ni?" Tajul sudah menguatkan suaranya. Soalan yang tidak-tidak sahaja yang Nuha lontarkan petang ini. Cuba disabarkan hati yang mula terasa hangat. Tahu, dia tidak boleh berkeras dengan Nuha sekiranya tidak mahu gadis itu pergi.

"Nuha tanya sebab Nuha rasa tak gembira dengan hubungan kita sejak akhir-akhir ini. Tajul perasan tak yang kita semakin kerap bergaduh? Dalam sehari, bukan sekali dua kita bergaduh, malah lebih daripada itu. Tajul langsung tak percayakan Nuha. Bolehkah kita bahagia kalau kita saling tidak percaya?"

"Nuha jangan cakap berbelit-belit boleh tak? Tajul tak faham apa yang Nuha cakap. Yang Tajul tahu, Tajul sayangkan Nuha dan Tajul nak berkahwin dengan Nuha."

"Sayang saja tak cukup, Tajul..." Mendatar sahaja kedengaran suara Nuha. Langsung tidak bersemangat.

"Habis tu?"

"Tajul mudah sangat naik angin pada perkara-perkara yang kecil. Asal kawan Tajul beritahu nampak Nuha di sini, nampak Nuha di sana, Tajul terus melenting. Langsung tak berikan peluang pada Nuha untuk terangkan keadaan sebenar. Terus sahaja pada kesimpulan yang Tajul buat sedangkan perkara sebenar bukanlah seperti yang Tajul fikirkan. Nuha ni bekerja, Tajul. Kerja Nuha perlukan Nuha selalu berjumpa dengan orang ramai. Kalau Nuha bercakap dan tersenyum pada client, pada rakan sekerja pun Tajul cemburu bukan main, macam mana Nuha nak hidup, nak bergerak kalau macam tu? Sesekali Nuha pun perlu makan di luar juga. Takkanlah setiap hari Nuha nak bawa bekal dari rumah. Tengoklah, sekarang nak keluar makan dengan kawan-kawan pun Nuha rasa takut. Takut ada yang nampak dan sampaikan pada Tajul. Sudahnya kita akan bergaduh dan hati Nuha terluka setiap kali Tajul tuduh Nuha yang bukan-bukan." Nuha lega. Dapat juga dia meluahkan segala yang terbuku dalam hatinya. Walaupun ada rasa takut, Nuha yakin Tajul tidak berani untuk berkasar dengannya di tempat awam. Tambah-tambah lagi di dalam restoran yang penuh dengan pelanggannya ini.

"Nuha pun tahu kan, Tajul cemburu sebab Tajul sayang sangat pada Nuha."

"Bukan itu caranya untuk membuktikan sayang, Tajul. Nuha rasa terkongkong. Nak keluar rumah pun Nuha jadi takut. Bimbang terserempak dengan kawan-kawan Tajul yang akan menjadi tukang sampai. Nuha nak bekerja pun tak senang. Balik lewat Tajul marah, bercakap dengan kawan-kawan sekerja pun Tajul melenting, mahu ke mana-mana pun Tajul tidak benarkan. Nuha pun ada kehidupan Nuha, Tajul. Tajul pun tahu, selama kita berkawan, Nuha tak ada orang lain selain dari Tajul. Tapi Tajul seolah-olah langsung tidak ada rasa percaya pada Nuha walaupun sedikit. Segala pergerakan, Nuha kena laporkan pada Tajul. Tapi bila Nuha beritahu, Tajul tak percaya juga. Tetap syak Nuha buat yang bukan-bukan."

Nuha diam seketika. Biar Tajul mengambil masa memikirkan apa yang pernah dia lakukan ke atas Nuha. Mahu keluar rehat makan tengah hari pun Tajul tidak benarkan. Bimbang kalau-kalau ada lelaki yang terpikat dengan Nuha. Bercakap dengan rakan sekerja lelaki pun boleh jadi satu isu yang besar. Kata Tajul, Nuha sengaja mahu menggatal. Bak kata Effa, mungkin selepas kahwin, mahu keluar rumah pun Tajul tidak benarkan.

"Nuha tak boleh hidup macam tu. Nuha minta maaf, Nuha rasa baik kita putuskan hubungan kita ni." Nuha sudah berkira-kira mahu bangun. Jus epal yang dipesannya sudah pun habis segelas. Dia mencapai beg tangan yang diletakkan di atas meja. Pantas tangan Tajul memegang beg itu.

"Nuha, wait. Jangan buat tindakan terburu-buru, sayang. Kenapa Nuha tak berterus-terang sahaja pada Tajul sebelum ni? Sumpah! Tajul langsung tak perasan kalau-kalau sikap Tajul tu buat Nuha tak selesa, buat Nuha lemas. Tajul minta maaf, Nuha. Tajul janji, Tajul akan kawal sikap Tajul lepas ni. Tajul tak akan cemburu buta lagi. Tajul tak akan kongkong pergerakan Nuha. Tajul buat macam tu sebab Tajul anggap Nuha ni milik Tajul. Tajul cuma nak melindungi Nuha. Lelaki di luar sana banyak yang tak baik, Nuha. Tajul bimbang. Sebab itulah Tajul ni nampak macam seolah-olah mahu mengawal hidup Nuha."

Tangan Nuha yang sudah berada di atas badan beg itu dijatuhkan. Nuha memandang mata Tajul yang kelihatan merah dan sayu. Wajah itu memandangnya dengan pandangan yang penuh mengharap. Gelas yang sudah kosong di depannya kembali ditenung Nuha.

"Kita dah kenal sejak dua tahun lepas, Nuha. Tak sayang ke Nuha dengan hubungan kita ni? Tajul janji, jika sikap Tajul yang cepat marah, kuat cemburu dan mudah termakan dengan kata-kata kawan-kawan Tajul tu yang buat Nuha mahu putuskan hubungan kita, Tajul akan berubah. Tajul akan cuba kawal perasaan marah tu. Cemburu juga Tajul akan kurangkan. Tajul janji, Tajul juga akan putuskan hubungan Tajul dengan kawan-kawan yang jadi racun dalam hubungan kita."

Nuha kembali duduk semula. Tidak jadi untuk melangkah pergi. Kasihan pula melihat Tajul merayunya begini. Mana pernah sebelum ini Tajul mahu bercakap dan merayu selembut ini dengannya.

"Nuha tidaklah sampai mahu Tajul putuskan hubungan dengan kawan-kawan Tajul. Cuma Nuha..."

"Tak mengapa. Tajul lebih rela hilang kawan daripada hilang Nuha. Nuha ni nyawa Tajul. Tajul tak dapat bayangkan bagaimana Tajul nak lalui hidup tanpa Nuha. Memang Tajul akan terus hidup. Tapi hidup Tajul tak mungkin akan sama dengan tiadanya Nuha di sisi Tajul."

Suara Tajul yang mendayu-dayu memohon simpati membuatkan hati Nuha tersentuh. Terharu kerana Tajul sanggup berkorban hingga ke tahap itu demi membuktikan sayangnya kepada Nuha.

Nuha mengeluh. Berjeda sejenak. Hatinya berbelah bahagi kini. Dipandangnya kembali mata Tajul. Cuba mencari kejujuran dalam mata tersebut. Mungkin dia yang terburu-buru membuat keputusan. Mungkin juga Tajul harus diberikan peluang dan bukannya terus dijatuhkan hukuman. Nuha menarik nafas panjang-panjang.

"Janji yang Tajul tak akan mudah marah lagi?" Akhirnya hati Nuha cair juga.

"Janji!" jawab Tajul bersungguh-sungguh.

"Janji yang Tajul tak akan cemburu buta dan tidak akan menuduh Nuha yang bukan-bukan?"

"Tajul janji."

"Janji yang Tajul tak akan kasari Nuha?" Tiba-tiba peristiwa dia disimbah air di dalam kereta dulu melintas dalam ingatannya.

"Sumpah! Tajul tak akan ulang lagi perbuatan tu. Tajul akui, Tajul memang bersikap bodoh masa tu."

"Baiklah, Nuha beri Tajul peluang. Tapi untuk sekali ini sahaja. Sekali lagi Tajul ulang, Nuha tak akan maafkan Tajul tau."

Tajul tersenyum. Tunggulah kau jadi milik aku yang sah, Nuha. Kau hanya akan jadi milik aku, bukan untuk dikongsi dengan lelaki lain di luar sana. Pandang kau pun aku tak akan benarkan. Semakin lebar senyuman yang diukir Tajul. 

DIA BUKAN SYURGAWhere stories live. Discover now