Bab 1

3K 36 5
                                    

Prolog

"Abang... Lepaslah! Nuha sakit!" Tangannya terkapai-kapai cuba melepaskan rambutnya yang ditarik kuat. Rasa seperti mahu terkoyak kulit kepala dibuatnya. Pekikannya langsung tidak diendahkan. Malah rambutnya itu disentap semakin kuat. Peritnya usah dikata. Bergenang air mata dibuatnya dek menahan sakit.

Tajul terus menarik rambut isterinya yang separas bahu itu tanpa belas. Diheretnya masuk hingga ke bilik. Sampai di bilik, pegangan tangannya pada rambut Nuha dilepaskan.

Baru sahaja Nuha mahu menarik nafas lega, tubuhnya pula ditolak ke belakang. Terlentang dia dibuatnya. Mujurlah dia terjatuh di atas katil. Kalau tersembam di atas lantai tadi, kalau tidak patah pinggang, mahu pecah muka dibuatnya.

"Aku dah beritahu kau banyak kali, kan? Aku tak suka kau layan lelaki lain! Kau senyum-senyum, terhegeh-hegeh tu kenapa? Dah gatal sangat? Kau lupa ke yang kau tu dah bersuami?" Tajul sudah mencekak pinggang. Nafasnya naik turun. Marahnya sudah tidak dapat dikawal lagi. Wajah Nuha sudah pucat. Bimbang memikirkan habuan yang bakal diterimanya sebentar lagi.

"Abang, maafkan Nuha, abang. Nuha janji, Nuha tak akan buat lagi," rayu Nuha bersungguh-sungguh. Tidak sanggup rasanya dia mahu membiarkan tubuhnya menerima hadiah daripada Tajul buat sekian kalinya.

"Janji? Dah berapa kali kau berjanji dengan aku, hah? Kau sengaja nak buat aku marah. Kau memang tak serik walau dah beribu kali aku larang, aku ajar kau, kan? Kau memang nak kena!" Tajul sudah memegang tali pinggang yang masih melekap di seluar panjang yang dipakainya. Mata Nuha sudah membulat. Sudah dapat diagak habuan yang bakal diterimanya sebentar lagi.

"Abang, jangan bang. Nuha merayu. Nuha tak buat salah apa pun. Tadi tu, dia cuma bertanyakan jalan. Mahu ke rumah kakaknya." Nuha cuba untuk menjelaskan keadaan sebenar. Semuanya kerana lelaki tadi. Lelaki yang bertanyakan jalan untuk ke rumah kakaknya. Nuha yang sedang mengangkat kain di jemuran terpinga-pinga apabila disapa lelaki yang memberhentikan keretanya itu secara tiba-tiba. Rupa-rupanya lelaki itu sudah tersesat, mahu ke rumah kakaknya yang terletak di taman itu juga. Cuma lorongnya sahaja yang berbeza.

Nuha tidak sedar perbuatannya itu diintip Tajul. Tajul yang memerhatikan perbualan antara Nuha dengan lelaki itu menerusi cermin tingkap sudah hangat hati. Masuk sahaja Nuha ke dalam rumah, apa lagi, mengamuklah Tajul yang sedia diketahui dengan sikap panas baran dan cemburu butanya.

Tali pinggang yang dilonggarkan Tajul tadi sudah pun berada di tangan kanannya. Mata Tajul merah merenung wajah Nuha yang ketakutan di atas katil. Sebaik sahaja tangan kanan suaminya itu diangkat tinggi, Nuha cepat-cepat memejamkan matanya.

Zap! Zap! Zap! Lolongan dan raungan Nuha langsung tidak berbekas dalam hati Tajul. Biar perempuan seperti Nuha itu tahu bagaimana untuk menjaga maruah diri. Jika tidak diajar, esok-esok pandai pula Nuha angkut lelaki masuk ke dalam rumah.

Tubuh Nuha yang semakin lemah akhirnya terkulai. Sudah tidak berdaya mahu menahan kesakitan yang dirasai tubuhnya setiap kali tali pinggang Tajul hinggap di mana-mana bahagian badannya.

"Nuha, bangun! Nuha... Bangun sayang!" Nuha membuka matanya perlahan-lahan. Dia cuba untuk menggerakkan tubuhnya, tetapi tidak berdaya. Seluruh tubuhnya terasa perit dan begitu sakit sekali. Mahu mengangkat tangan pun dia rasa tidak mampu.

"Bangun, mari makan. Abang ada belikan makanan untuk Nuha. Nuha belum makan tengah hari lagi, kan? Nuha nak makan di dapur atau mahu abang bawakan ke dalam bilik?" tanya Tajul prihatin. Mata Nuha yang sudah terbuka sepenuhnya hanya mampu terkebil-kebil memandang suami yang berlagak seolah-olah tiada apa-apa pun yang berlaku sebelum ini.

"Hei, berangan pula dia! Abang tanya tak jawab pun..." Nuha mencapai bantal, mahu dijadikan sebagai sokongan untuk dia menegakkan badan. Melihat Nuha yang kelihatan begitu susah sekali mahu bangun, Tajul cepat-cepat menerpa ke arah isterinya.

DIA BUKAN SYURGAWhere stories live. Discover now