Bab 13

1.1K 15 0
                                    

Kepulangan rombongan merisik, meminang dan sekaligus pertunangan disambut Tajul dengan perasaan berdebar-debar. Manalah tahu kalau-kalau Nuha tiba-tiba sahaja berubah fikiran seperti tempoh hari. Malulah dia dibuatnya.

Puan Mona dan Encik Hashim terus sahaja duduk di atas sofa. Manakala Arham yang turut sama dalam rombongan tersebut terus sahaja ke dapur mencari air sejuk buat membasahkan tekak.

"Macam mana mak? Okey tak semuanya?"

"Kamu ni... Tak menyempat-nyempat! Penat emak ni pun tak hilang lagi tau."

"Alah emak ni, jauh manalah sangat dari Temerloh ke Bangi tu. Cakaplah mak, macam mana peminangan tu tadi? Keluarga Nuha terima ke peminangan kita? Apa keputusan perbincangan tadi? Berapa lama tempoh bertunang kami ni?"

"Eh, apa pula tak terimanya? Kamu dengan Si Nuha tu kan memang dah berkawan. Bukannya kita main pakai redah aje meminang anak orang," balas Puan Mona sedikit geram. Soalan tu macamlah dia yang pandai-pandai pergi meminang Si Nuha tu. Kalau bukan Tajul yang suruh, dia pun tak berani mahu ke rumah Haji Marwan tu.

"Orang senang juga nampak gayanya keluarga Nuha tu. Rumah besar, abang-abangnya pun berkereta mahal-mahal. Hiasan dalam rumah pun boleh buat emak gelap mata memandang. Tambah-tambah lampu chandelier dekat ruang tamu dan dapur tu. Dah lama emak berkenan lampu macam tu." Beria-ia Puan Mona bercerita. Encik Hashim yang duduk di sebelah menjeling.

"Awak ni, pergi ke rumah orang, itu yang dilihatnya." Tak berkenan sungguh dia dengan perangai isterinya yang suka benar menilik dan bercerita tentang keadaaan di dalam rumah orang. Memang sejak dulu, begitulah perangai Puan Mona setiap kali bertandang ke rumah sesiapa sahaja. Ada sahaja cerita yang akan dibawanya pulang.

"Habis tu dah ada dekat depan mata, apa lagi yang boleh dibuat? Pandang sahajalah. Nak merasa memang tidaklah jawabnya," sindir Puan Mona tidak mahu kalah.

"Lampu tu berat, mahal, berjuntai-juntai... Rumah kita ni rumah kampung. Tak sesuai nak pakai lampu yang macam tu. Pakai ajelah lampu kalimantang yang sedia ada ni. Ini pun dah cukup daripada rumah langsung tak berlampu. Ha, meraba-rabalah awak tu nanti."

Arham yang baru kembali semula ke ruang tamu dengan segelas air di tangan hanya tersenyum sahaja mendengar pertelingkahan manja antara emak dan ayahnya.

"Liza ke mana pula, Arham? Kenapa dia tak sampai-sampai lagi?" Risau pula Puan Mona. Mereka bertolak pulang dari rumah Haji Marwan tadi bersama-sama. Mereka yang menaiki kereta bersama Arham sudah lama sampai, tetapi Liza masih juga belum nampak bayangnya. Tadi mereka pergi dengan menaiki kereta yang berasingan. Dia dan Encik Hashim menumpang kereta yang dipandu Arham, manakala Liza sekeluarga menaiki kereta yang dipandu Suffian, suami Liza.

"Lewat sikit sampai katanya. Berhenti sekejap di stesen minyak. Yuna nak buang air."

"Itulah aku dah kata, leceh bawa budak-budak. Nak kencinglah, nak beraklah, belum campur dengan menangis dan merengek macam-macam lagi. Rimas aku!" Arham menjongketkan kening. Faham benar dengan perangai Tajul yang tidak sukakan budak-budak.

"Habis tu kalau tak dibawa budak-budak tu tadi, siapa yang nak jaga mereka? Kau? Kalau sekarang kau dah rimas, macam mana kau nak berkahwin nanti ni? Takkanlah kau tak mahu ada anak lepas kahwin?" tegur Arham. Sempat matanya mengerling ke arah emaknya yang membuat isyarat mata kepadanya yang bermaksud, usah masuk campur.

"Aku memang tak mahu ada anak! Biar sampai bila-bila cuma ada aku dengan Nuha sahaja. Ada anak-anak pun menyusahkan aje. Sudahlah kos nak membesarkan anak tu bukannya murah. Nak layan kerenah mereka lagi. Belum tentu bila mereka besar nanti, mereka nak balas jasa aku. Huh, lebih baik tak payah ada anak. Nak bermanja dengan isteri pun tak dapat. Sibuk dok melayan anak aje," dengus Tajul.

DIA BUKAN SYURGAWhere stories live. Discover now