Bab 9

1.2K 13 0
                                    

"Eh, kenapa semua tak makan lagi ni?" Arham yang baru nampak mukanya menegur. Wajahnya kelihatan lebih segar jika dibandingkan dengan tadi. Mungkin baru lepas mandi agaknya, teka Nuha. Baru Nuha perasan yang Arham tetap nampak segak walaupun hanya berkain pelekat dan memakai kemeja T berkolar bulat tanpa corak. Tadinya dia tidak sempat melihat wajah Arham betul-betul. Kalut dengan Tajul yang tidak sabar-sabar mahu makan.

"Tunggu kaulah, bang. Lambat sangat bersiap!" beritahu Liza tanpa dipinta. Arham hanya tersengih-sengih sebelum mengambil tempat bersebelahan dengan anak kedua Liza, Riyad.

"Aku sembahyang dulu tadi. Nanti dah kenyang, malas pula. Senang dah makan, terus boleh sambung membuta."

"Hurm... Tidur ajelah yang kau ingat bila balik kampung ni," sindir Liza.

"Habis tu, apa lagi? Dah penat bekerja kan, balik kampung berehatlah sepuasnya." Arham mengambil pinggan yang masih kosong. Disenduknya nasi ke dalam pinggannya sebelum turut meletakkan nasi ke dalam pinggan Riyad.

"Riyad nak lauk apa? Ikan goreng, mahu?" tanyanya kepada anak yang berusia empat tahun itu. Riyad hanya menganggukkan kepala.

"Kuah ni, mahu?" Riyad menggeleng apabila kuah masak lemak kobis ditunjukkan Arham kepadanya. Jari anak kecil itu spontan menunjuk ke arah botol kicap yang terletak di hujung meja.

Arham bangun lalu tangannya panjang mencapai botol kicap yang ditunjukkan oleh anak saudaranya itu.

"Ini sah mama Riyad jarang memasak. Asyik makan ikan goreng dengan kicap aje ya Riyad dekat rumah tu?" usik Arham. Liza sudah tersedak-sedak mendengar namanya dipetik Arham.

"Mana ada. Aku rajinlah memasak. Anak aku aje yang tak mahu makan." Liza membela diri. Arham mencebik sambil tangannya laju menyenduk lauk ke pinggan.

Ralit Nuha memerhatikan tingkah Arham yang nampak begitu rapat dan rajin melayan anak-anak saudaranya.

"Nuha, kenapa tak luak nasi tu? Mak cik masak tak sedap ke?" tegur Puan Mona apabila terpandangkan jari Nuha yang sibuk menguis-nguis nasi di dalam pinggannya sejak tadi.

Semua mata yang berada di meja makan itu terus tertumpu kepada Nuha. Serba salah Nuha dibuatnya.

"Eh, tak adalah mak cik. Nuha nak makanlah ni." Dengan separuh hati, nasi disuapnya ke mulut. Nuha terasa mahu sahaja dia mengeluarkan paru dan limpa yang sudah berada di dalam mulutnya. Terpejam-pejam matanya mahu menggigit kedua-dua bahan tersebut. Belut pula rasa tidak sanggup mahu disentuhnya. Hanya sekadar dikuis-kuis dan ditolak ke tepi pinggan dengan menggunakan nasi.

"Nuha tak biasa makan lauk tu ke?" Arham yang memerhatikan tingkah laku bakal adik iparnya sejak tadi bertanya. Nuha diam. Serba salah mahu menjawab. Akhirnya, perlahan kepala digelengkan.

"Lah, kenapa dipaksa diri kalau tak biasa makan? Kan ada lauk lain lagi tu."

"Tak payah nak memilih sangatlah! Makan aje apa yang ada. Dekat luar sana ramai lagi yang tak dapat makan. Kita yang dapat makan tak tahu nak bersyukur. Itu tak makan, ini tak makan." Tajul yang diam sejak tadi mula bersuara. Sakit mata melihat perhatian Arham yang berlebihan terhadap Nuha.

"Kasihan Nuha, Tajul. Dah dia tak makan lauk tu, buat apalah nak dipaksa. Selera setiap orang kan tak sama."

"Dia kenalah belajar terima apa yang aku suka makan. Nanti dah kahwin macam mana kalau selera pun dah berbeza? Belum lagi yang lain-lain."

"Tak apalah, Abang Arham. Nuha boleh makan." Malas mahu mendengar dirinya yang dijadikan sebagai subjek utama dalam pergaduhan adik-beradik itu, Nuha segera menyampuk. Lambat-lambat lauk paru dan limpa itu dicapainya, mahu digaul bersama nasi.

Tiba-tiba ada tangan yang turut sama berada di atas pinggannya. Nuha mendongak. Arham pula berlagak selamba. Lauk sambal paru dan limpa yang tadinya berada di atas pinggan Nuha sudah bertukar rumah. Tidak ketinggalan beberapa potong belut yang berada di tepi pinggannya turut disapu Arham.

"Nuha ambil lauk lain. Abang habiskan lauk ni," arah Arham dengan wajah tanpa perasaan. Tajul mengetap bibir. Hatinya terasa begitu sakit sekali.

"Kau..." Dada Tajul sudah berombak marah. Tangan kirinya yang berada di bawah meja sudah dikepal.

"Sudah! Dekat meja makan pun nak bergaduh. Hormatlah sikit pada rezeki yang ada dekat depan ni." Encik Hashim bersuara garang. Terus terhenti ayat Tajul yang tidak sempat dihabiskannya. Dia merenung tajam kepada Arham yang rancak menyuap sambal berlado limpa dan paru yang diambilnya dari pinggan Nuha tadi. Kurang ajar! jerit hati Tajul.

Nuha diam sambil terus menyuap nasi yang masih bersisa. Walaupun seleranya sudah hilang, dia terpaksa juga demi menjaga hati emak Tajul yang sudah susah payah memasak untuk menyambut kedatangannya.

Sesekali matanya berlaga pandang dengan mata Arham. Entah bagaimana mahu disampaikan ucapan terima kasih kepada lelaki yang telah menjadi heronya hari ini.

"Macam mana?" tanya Effa tidak sabar-sabar. Memang ditunggu-tunggunya kepulangan Nuha sejak tadi.

"Macam mana apa?" tanya Nuha, pura-pura tidak faham.

"Pertemuan kau dengan keluarga Tajul itulah. Okey ke keluarganya?"

"Okey," balas Nuha sepatah. Tiada apa yang manis untuk diceritakan pun sebenarnya. Pertemuan kali ini seolah-olah Nuha dibawa untuk menonton siri sinetron. Bermacam-macam konflik yang dapat dilihatnya hari ini. Konflik antara kekasih dengan kekasih, itu dia dengan Tajullah pelakon utamanya. Konflik antara kakak dengan adik, konflik antara adik dengan abang dan tidak ketinggalan konflik antara ibu bapa dengan anak-anak. Aduh! Langsung Nuha tidak pernah menyangka beginilah keadaannya pertemuan antara dia dengan keluarga bakal mentuanya. Langsung tidak sama dengan apa yang pernah dia angankan.

"Okey aje? Ada sesuatu yang dah berlaku ke?" Effa masih belum puas mengorek cerita.

"Berlaku apanya pulak? Kau ni, pertemuan biasa antara keluarga bakal mentua dengan bakal menantu. Soalan yang sama, tentang latar belakang aku, tentang keluarga, tentang kerja. Itu sahajalah. Suka sangat fikir yang bukan-bukan!"

"Manalah tahu, kau dengan Tajul tu kan selalu aje buat drama. Aku tanyalah kalau-kalau ada drama menarik yang berlaku sepanjang kau dekat rumah orang tuanya tadi."

Hurm, memang ada pun, bisik Nuha dalam hati. Mahu diceritakan kepada Effa, dia bimbang bakal ditempelak Effa sahaja nanti. Balik-balik Effa akan menyuruhnya memutuskan sahaja hubungannya dengan Tajul.

"Eh, aku nak naik mandilah! Bercakap dengan kau, sampai tengah malam nantilah jawabnya aku tak mandi-mandi. Melekit semacam dah badan aku ni," beritahu Nuha seraya bangun dari duduknya. Dia terus sahaja memanjat tangga untuk ke tingkat atas di mana biliknya berada.

Effa memandang dengan hujung mata. Dia dapat merasakan yang Nuha ada menyembunyikan sesuatu. Tetapi, takkanlah mahu dipaksanya Nuha bercerita. Sudahnya Effa hanya mampu mengangkat bahu. Berharap semoga telahannya tidak benar belaka. Semoga benar seperti yang dikatakan Nuha. Segalanya berjalan lancar semasa di rumah Tajul tadi.

Nuha yang baru menutup pintu bilik segera menguncinya dari dalam. Beg tangan dicampakkannya ke atas katil sebelum merebahkan diri di atas katil bersaiz queen itu. Tangannya meraba-raba beg yang dicampakkannya tadi. Mahu mengambil telefon bimbit yang ada di dalamnya.

Matanya meneliti skrin telefon. Langsung tiada panggilan mahupun mesej masuk daripada Tajul. Nuha mengeluh. Entah apalah yang tidak kena. Sepanjang perjalanan pulang, Tajul langsung tidak bercakap dengannya. Sepatah pun tidak. Puas Nuha mengajak Tajul berbual, namun Tajul seolah-olah sudah menjadi seperti patung. Sudahnya, sehingga sampai di depan pagar rumah sewanya, langsung tiada perbualan antara mereka. Nuha menarik nafas panjang. Sesak kepala memikirkan hubungan yang tidak pernah surut dilanda gelora.

DIA BUKAN SYURGAWhere stories live. Discover now