Bab 15

2.1K 35 9
                                    

Tajul sudah tidak mampu mengangkat muka di hadapan semua orang. Dia tahu dia salah. Tapi sungguh, semua itu berlaku di luar sedarnya. Dia memang benar-benar marah apabila Faizal beritahu yang dia ternampak Nuha sedang menyiram pokok bunga di halaman rumah sewanya. Kalau Faizal nampak, tidak mustahil lelaki lain juga turut nampak. Kenyanglah mereka menatap susuk tubuh Nuha yang konon-kononnya mahu mencantikkan halaman rumah itu. Itu yang menyebabkan darahnya mendidih.

"Kami betul-betul tak tahu tentang hal ini, abang haji? Kami harap janganlah kerana perkara ni, pertunangan budak-budak ni kita nak putuskan pula. Kasihanlah juga pada kami. Majlisnya dah dekat benar. Barang-barang hantaran dah dibeli, dewan dan pelamin dah ditempah, katering pun dah dibayar depositnya, saudara-mara semua sudah diberitahu, kad-kad jemputan pun dah diedarkan. Malulah kami kalau perkahwinan Tajul ni tak jadi. Mana kami nak letakkan muka? Nak membayar ganti rugi lagi. Kami ni bukannya orang senang." Puan Mona merayu bagi pihak Tajul.

Terkejut dia dibuatnya apabila Tajul tiba-tiba menelefon memintanya datang ke rumah keluarga Nuha. Ada perkara yang mahu dibincangkan, kata Tajul. Langsung tidak disangkanya kalau sikap cemburu buta dan panas baran Tajul yang menjadi pokok utama perbincangan mereka hari ini. Terasa kulit mukanya tebal berinci-inci di depan keluarga Haji Marwan.

"Mona, Hashim, kami minta maaf kalau-kalau kami ni menyusahkan kamu berdua datang ke sini. Tujuan kami jemput Mona dan Hashim datang adalah untuk berbincang demi mencari penyelesaian kepada masalah anak-anak kita ni." Haji Marwan membuka bicara. Dipandangnya satu per satu wajah tetamu yang duduk di depannya. Matanya jatuh agak lama kepada Tajul, bakal menantunya.

"Kami pun terkejut bila dengar cerita tentang ni. Kami minta maaf bagi pihak anak kami ni, abang haji, kak hajah. Tapi kami mohon sangat-sangat, janganlah disebabkan perkara ni, majlis perkahwinan budak-budak berdua ni nak dibatalkan pula. Kasihanilah kami ni, abang haji. Malu kami pada saudara-mara, pada orang kampung." Encik Hashim pula bersuara. Kecil-kecil sahaja Tajul dilihatnya. Tidak habis-habis menyusahkan orang dengan perangai panas barannya itu.

Haji Marwan menarik nafas panjang. Dipandangnya pula wajah Nuha yang kelihatan mendung sahaja sejak semalam.

"Saya tak suka adik saya dilayan kasar macam tu. Ini belum lagi mereka berkahwin. Kalau dah berkahwin, entah macam mana pula layanan yang bakal adik saya ni terima." Rushdi memberikan pendapat selaku abang sulung.

Arham berdehem. Dia yang menjemput Puan Mona dan Encik Hashim di rumah Tajul tadi. Encik Hashim berkeras mahukan Arham ada bersama dalam perjumpaan ini walaupun tidak dipersetujui Tajul.

"Saya tahu yang adik saya bertindak di luar batasan. Memang tidak patut dia bersikap macam tu." Arham berjeda seketika. Tajul yang mendengar sudah hangat hatinya. Arham ini datang untuk membantunya atau datang untuk memburukkan lagi reputasinya di hadapan keluarga bakal mentuanya? Tajul mengetap bibir. Jika diturutkan hati, mahu sahaja kolar baju yang dipakai Arham dicekaknya.

"Tapi... perkara sudah berlaku, kami pun tak boleh nak buat apa kecuali minta maaf bagi pihak adik saya ni. Bagi saya, perkara yang dah lepas tu, biarlah lepas. Yang paling penting sekarang adalah kesungguhan Tajul untuk berubah," sambung Arham lagi.

"Mampu ke Tajul ni berubah?" Sinis sahaja soalan dilontarkan Norman.

"Saya janji bang, saya akan berubah. Tolonglah jangan putuskan pertunangan kami atau batalkan majlis perkahwinan kami ni. Saya berjanji akan layan adik abang baik-baik. Saya mengaku saya salah, bang. Saya janji, selepas ini saya akan belajar mengawal rasa marah dan cemburu saya tu. Tolonglah pak cik, mak cik, percayalah cakap saya ni." Tajul merayu sambil merapatkan kedua-dua belah tangannya dengan air mata yang bercucuran. Terkedu semua orang di situ melihatnya.

Haji Marwan saling berpandangan dengan Hajah Fatim. Seketika kemudian, pandangannya dialihkan kepada anak-anak lelakinya. Berat rasanya dia mahu membuat keputusan.

"Nuha, ini tentang hidup Nuha. Abah nak dengar apa pendapat Nuha. Jangan takut-takut. Beritahulah kami apa yang Nuha rasa dan apa yang Nuha mahu. Jika Nuha mahu batalkan perkahwinan Nuha pun, abah tak marah. Jika Nuha mahu teruskan pun, Nuha beritahulah juga pada kami sebabnya supaya abah, umi dan abang-abang Nuha tidak bimbang untuk melepaskan Nuha."

Nuha menatap wajah semua orang yang berada di situ dengan mata yang merah. Saat matanya beradu pandang dengan mata Tajul, hatinya terasa sebak. Selama dia mengenali Tajul, belum pernah dia melihat Tajul menitiskan air matanya. Hati Nuha jadi tersentuh melihat kesungguhan Tajul kali ini.

"Abah, umi, mak cik, pak cik, Abang Arham dan abang-abang Nuha yang Nuha sayang, Nuha minta maaf kerana banyak susahkan semua. Nuha rasa, kita patut beri Tajul peluang. Bukan sahaja kerana Nuha sayang pada Tajul, tapi sebab Nuha rasa setiap orang layak diberikan peluang yang kedua. Nuha yakin, Tajul akan berubah." Laju Tajul mengangguk-anggukkan kepala sebaik sahaja Nuha selesai bercakap.

"Ya, ya. Saya janji yang saya akan berubah. Peganglah pada janji saya ni pak cik, mak cik, Abang Rushdi, Abang Norman dan Abang Haikal. Saya janji, saya akan melayan Nuha baik-baik selepas ini." Air mata yang masih bersisa disapu Tajul dengan kedua-dua tapak tangannya.

"Anak kami dah mengaku kesalahannya dan dah berjanji yang dia akan berubah. Jadi saya harap, keluarga abang haji dapat berikan peluang kedua pada anak kami ni. Manusia manalah yang langsung tidak pernah buat silap. Dan kamu pula Tajul, ayah harap selepas ini, kamu belajarlah daripada kesilapan yang kamu dah buat ni." Encik Hashim memohon belas ihsan daripada Haji Marwan sekali lagi.

Nuha memandang wajah abahnya dengan pandangan penuh mengharap. Semoga abahnya faham apa yang tersirat dalam hatinya.

"Baiklah kalau macam tu. Kita teruskanlah majlis sepertimana yang telah kita rancang. Tapi kamu ingat Tajul, ini peluang terakhir. Pak cik tidak akan teragak-agak untuk membatalkan majlis perkahwinan kamu kalau kamu ulang lagi perbuatan kamu tu, walaupun majlis itu bakal berlangsung esok." Sempat Haji Marwan memberi amaran.

Norman tidak tunggu lama, terus sahaja angkat punggung dari situ sebaik sahaja mendengar keputusan ayahnya. Kecewa kerana Tajul masih lagi diberikan peluang. Dia langsung tidak percaya dengan janji yang diberikan Tajul tadi. Baginya itu semua adalah lakonan semata-mata. Walaupun Tajul menangis air mata darah sekalipun, dia sama sekali tidak dapat mempercayai lelaki itu. Hatinya dapat merasakan yang Tajul bukanlah lelaki yang tepat untuk Nuha.

Haji Marwan memandang sahaja belakang tubuh anak keduanya yang sudah menghilang ke tingkat atas. Tahu yang Norman kecewa dengan keputusan yang telah dibuatnya. Namun Norman tidak tahu, kegembiraan dan kemahuan Nuha yang lebih dia utamakan saat ini. Lagipun dia juga bersetuju dengan pendapat Nuha, setiap orang layak diberikan peluang kedua.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Mar 13, 2018 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

DIA BUKAN SYURGAWhere stories live. Discover now