Bab 5

1.5K 16 1
                                    

"Jadi Nuha kata nak bawa balik kawannya hujung minggu nanti?" Suara Haji Marwan yang sedikit kuat menyapa cuping telinga isterinya. Hajah Fatim yang sedang menatang dulang berisi air kopi dan sepiring cucur udang memandang ke arah suaminya yang sedang mengambil angin di beranda luar halaman rumah mereka. Disarungnya selipar sebelum berjalan menghampiri suami yang sudah lebih tiga puluh lima tahun berkongsi hidup dengannya.

"Katanya macam itulah. Tapi nak tunggu kawannya tu balik dari Langkawi dulu. Ada urusan kerja di sana selama empat hari," balas Hajah Fatim sambil meletakkan dulang yang dibawanya di atas kerusi batu dengan berhati-hati.

"Sebelum ni ada dia cerita apa-apa tentang kawan dia tu pada awak?"

"Tak ada pula. Itu yang saya terkejut bila tiba-tiba aje dia telefon beritahu nak bawa balik kawannya tu untuk diperkenalkan kepada kita."

"Dah berapa lama dia kenal dengan budak lelaki tu? Ada dia beritahu awak?"

"Dah dua tahun katanya," beritahu Hajah Fatim tenang. Tahu tentang keresahan yang bermain dalam hati suaminya itu. Anak gadis jauh dari mata, ibu bapa manalah yang tidak bimbang? Tambah-tambah lagi apabila tahu rupa-rupanya Nuha sudah lama berkawan dengan seseorang. Makin tidak senang duduklah Haji Marwan dibuatnya. Bimbang kalau-kalau hubungan anaknya itu akan melampaui batasan.

"Janganlah awak risau. Insya-Allah, Nuha tu tahu menjaga dirinya. Kita dah bekalkan dia cukup dengan ilmu agama. Doakanlah yang anak kita tu tidak tersasar dari landasan."

"Bimbang saya ni, Fatim... Sudahlah dia tu anak dara, jauh pula dari kita. Nak kita tengok-tengok dan pantau selalu, masakan sama seperti dia tinggal bersama kita. Haish, risau saya ni!" Haji Marwan meluahkan rasa hatinya. Bukankah syaitan sudah berjanji akan berusaha menyesatkan anak-anak Adam hingga ke hari kiamat?

"Saya faham tu. Tapi Nuha pun nak menikmati hidup macam anak gadis yang lain. Kita pun pernah muda, bang... Saya yakin Nuha tak akan khianati kebebasan yang kita beri pada dia."

"Harap-harap macam itulah. Awak jangan lupa, kalau budak lelaki tu jadi nak datang, suruh Rushdi, Norman dan Haikal balik. Biar dia kenal dengan abang-abang Nuha. Dan biar juga anak-anak kita kenal dengan lelaki yang dah dipilih oleh adik mereka tu."

"Hurm... Yalah. Nanti saya telefon budak-budak bertiga tu. Mesti terkejut masing-masing kalau tahu tentang berita ni." Hajah Fatim sudah ketawa kecil. Abang-abang Nuha memang selalu melindungi Nuha. Apa sahaja permintaan Nuha, jarang sangat tidak ditunaikan. Hajah Fatim sudah dapat membayangkan, pasti bermacam-macam soalan bakal anak-anaknya tanyakan kepada teman lelaki Nuha nanti. Biarlah, mereka pun pasti mahukan yang terbaik buat satu-satunya adik perempuan mereka.

"Apa mak? Tajul nak kahwin?" Suara Liza sudah sedikit tinggi. Sedikit terkejut mendengar khabar daripada emaknya.

"Ya. Macam itulah katanya. Dah yang kamu macam terkejut sangat ni kenapa?"

"Terkejutlah, sebab ada juga perempuan yang mahukan dia. Boleh ke perempuan tu bertahan dengan perangai panas baran dia tu? Jangan nanti mula-mula aje kata nak, bila dah dekat dengan hari langsungnya, pengantin perempuan lari sebab tak sanggup nak hadap perangai kepala angin anak mak tu. Malu keluarga kita ni nanti mak."

"Hesy, kamu ni... Itu kan adik kamu. Doakanlah yang baik-baik. Ini disebutnya benda yang tidak-tidak sahaja," marah Puan Mona. Tahulah dia yang Tajul dengan Liza itu tidak sebulu, tidak pernah sekata, tetapi sebagai kakak, rasanya tidak patutlah pula Liza nak mendoakan yang bukan-bukan.

"Bukannya Liza doakan yang buruk-buruk. Liza ni bimbang. Emak bukan tak kenal Tajul tu macam mana. Peti sejuk emak pun pernah terbalik ditendangnya. Itu baru sebab marah nasi lambat masak. Kalau sebab lain macam mana pula agaknya? Mahu lunyai anak orang tu dikerjakannya."

DIA BUKAN SYURGAWhere stories live. Discover now