Perempuan Cantik Koyak Kain

1K 24 0
                                    


DATUK terus mengangkat kaki kiri. Dengan tangan kiri, dia terus menepuk tapak kaki lima kali herturut-turut. Kucing hitam terus mengiau sekuat hati sambil berdiri di kaki. Mulutnya terbuka luas. Mata merah bagaikan seketul bara api dari kayu bakau.

Perlahan-lahan datuk menjatuhkan kaki kirinya sambil menahan nafas. Bila dia menghembuskan nafas, tangan kiri terus diluruskan. Sebaik sahaja tapak kaki kiri bertemu dengan batu jalan. Kucing hitam terus menjerit serta melompat separas kepala saya. Kucing hitam terus ghaib.

Sekujur tubuh saya dibasahi peluh. Panas bagaikan menyengat menggigit kulit muka. Mulut Tajuddin dan Maniam terlopong. Muka mereka bertambah pucat. Datuk menatap muka Maniam dan Tajuddin. Deru kenderaan yang lalu di dada jalan raya menyumbat lubang telinga.

Debu-debu dan kenderaan yang bergerak dalam suasana panas amat membosankan. Beberapa orang anggota polis yang bertugas di balai merenung ke arah kami. Ganjil bagi mereka melihat kami bercakap dalam panas yang amat membahang.

"Ular, ularr.." suara itu datang dari arah pasar. Perhatian terus ditumpukan ke arah pasar. Suasana di situ kelihatan kelam-kabut, penjual dan pembeli bertempiaran keluar dari pasar. Mereka berlari tidak tentu arah. Jerit mereka sambung-menyambung.

Dua orang penjual ikan dengan pisau pemotong ikan di tangan, melintasi jalan raya. Sebuah kereta terpaksa melakukan brek kecemasan. Sebuah lori membawa durian yang berada dalam jarak dekat dengan kereta itu, tidak dapat melakukan brek kecemasan. Akibatnya, lori itu terus menyondol punggung kereta.

Pemandu dan penumpang kereta tidak mengalami kecederaan. Begitu juga dengan pemandu dan kelindan lori yang membawa durian. Suasana menjadi bertambah kacau. Cerita ular muncul dalam pasar terus merebak dengan cepatnya.

Penjual ikan yang selamat dari dilanggar kereta kecil terus masuk ke kawasan depan balai polis. Datuk segera menangkap tangannya. Datuk merampas pisau pemotong ikan darinya. Manakala yang seorang lagi terus lari ke arah belakang pekan. Tidak muncul-muncul lagi.

Mungkin penjual ikan bangsa Cina itu pulang ke rumahnya, fikir saya. Bila saya menoleh ke arah Maniam dan Tajuddin saya dapati mereka sudah pun meninggalkan saya. Mereka lari masuk ke balai polis.

Beberapa orang anggota polis segera pergi ke tempat kejadian. Mereka mengawal keadaan supaya perjalanan kenderaan di jalan raya berjalan dengan lancar. Beberapa orang anggota polis yang tidak bertugas segera mencari kayu dan buluh untuk pergi ke pasar.
"Jangan," kata datuk pada anggota polis itu. Mereka patuh dengan cakap datuk. Sarjan 1000 segera mendapatkan datuk. Mereka bercakap-cakap sebentar. Sarjan 1000 segera meyuruh anggota-anggota polis yang membawa kayu dan buluh pulang ke balai.

"Macam mana rupanya ular tu?" Tanya datuk pada penjual ikan yang berasal dari Kedah.

"Hitam besar, sebesar pinang dara, menjilat darah ikan lantai pasar."

"Kamu tahu dari mana dia datang?"

"Tak tahu, yang saya ingat sebelum tu ada seorang lelaki tua, bau badannya busuk masuk pasar."

"Apa yang dicarinya?"

"Dia berjalan dalam pasar, bila saya kata ada bau busuk lelaki itu hilang, lima minit kemudian tempat lelaki itu hilang, muncul ular besar, lidahnya menjilat bangkai ikan dan darah."

"Hummmmmmmmmm...," datuk mengeluh pendek.

Sarjan 1000 yang mendengar perbualan antara datuk dengan penjual ikan itu menggigit bibir. Dahinya terus dikedutkan. Sementara itu kereta dan lori yang berlanggar segera diubahkan ke tepi jalan.

"Mari kita pergi tengok," datuk menarik tangan penjual ikan.

"Minta maaf," penjual ikan itu menolak.

Siri Bercakap Dengan Jin (JILID 5)Where stories live. Discover now