AKHIRNYA, anak Malik Cina terus pulih seperti sedia kala. Malik Cina terus menghubungi menantunya tentang keadaan isterinya yang sudah baik.
Tempoh yang dijanjikan sudah cukup. Saya dan datuk pun bersedia untuk meninggalkan rumah Malik Cina. Isterinya menangis melihat saya dan datuk berdiri di ambang pintu untuk melangkah pulang."Bagaimana,kalau saya hantarkan," Malik Cina kemukakan cadangan. Datuk kerutkan dahi. Merenung ke kiri dan ke kanan halaman dengan wajah yang tenang.
"Tak payah, biar kami balik sendiri."
"Bagaimana dengan kerja yang lalu, berapa upah dan pengerasnya."
"Apa yang Allah kurniakan pada aku, adalah untuk kebaikan bagi menolong sesama manusia. Aku bukan mencari makan dengan kerja-kerja begini."
"Maksudnya?"
"Tak ada apa-apa bayaran."
Malik Cina termenung panjang. Saya terus mengikat tali kasut. Tiupan angin terasa memukul dedaun telinga dan pipi saya.
"Boleh saya tahu, siapa yang membuat anak saya jadi begini," cara mendadak isteri Malik Cina mengajukan pertanyaan. Malik Cina kelihatan resah tidak keruan.
"Kenapa kamu tanya siapa yang membuatnya?"
"Saya nak balas dendam, kalau boleh saya minta awak buat kerja tu, kalau upahnya satu ekar tanah pun, saya sanggup mengadakannya."
"Membalas dendam dan ambil upah untuk merosakkan hidup orang lain itu bukan kerja saya," suara datuk meninggi wajahnya nampak masam. Datuk terus menggenggam penumbuk.
"Malik," pekik datuk dengan wajah yang marah.
"Ya, kenapa?"
"Banyakkan bersedekah pada anak-anak yatim dan orang susah, selalulah baca Yasin setiap malam Jumaat, pohon doa, pada Allah minta jauhkan dari segala bala."
"Ya saya faham, saya nak tahu benarkah sakit anak saya dari buatan orang," Malik Cma mengajukan pertanyaan.
"Itu aku tak tahu tetapi, aku rasa apa yang kau alami sekarang merupakan pembalasan dari Allah."
"Ah, saya rasa, sepanjang hidup saya ni, says tak pernah menganiayakan orang, saya tak pernah buat orang susah."
"Kau tak boleh cakap begitu, mungkin masa muda kamu dulu kamu pernah menipu atau memberi malu pada seseorang," datuk menarik nafas panjang. Isteri Malik Cina yang berdiam segera membenamkan pacak sanggul lintang pada sanggul yang seketul atas kepala.
"Itu saja yang nak saya katakan pada kamu berdua, terpulanglah pada kamu berdua memikirkannya sama ada kamu berdua nak ikut atau percaya dengan cakap aku," selesai sahaja datuk berkata-kata. Ia terus menggeliat. Tangan saya ditariknya untuk menuruni anak-anak tangga yang dibuat dari kayu cengal.
Bila sahaja tapak kaki datuk memijak mata tangga terakhir. Malik Cina, menyebut nama datuk. Mereka berpandangan. Sinar mata Malik Cina redup tertampar ke wajah datuk.
"Ada apa lagi Malik?"
"Barangkali cakap kamu benar."
"Maksud kamu."
Malik Cina terdiam. Pandangannya dialihkan ke arah dinding rumah. Anak perempuannya yang datang cara mendadak di sisinya, renung muka saya, kemudian melangkah dengan tenang.
"Katakan apa saja Malik, aku bersedia mendengarnya," pohon datuk. Malik Cina turun menghampiri datuk. Bahu datuk dipegangnya. Dadanya nampak berombak. Wajahnya juga kelihatan rasa tidak menentu.
Malik Cina memaksa datuk duduk di mata tangga terakhir. Saya berdiri dekat mereka. lsterinya mungkin tidak mahu campur dalam urusan datuk dan Malik Cina, segera menuruti jejak langkah anaknya menuju ke ruang belakang.