Tongkat Berukir Kepala Ular

910 28 0
                                    


DARI ilmu yang saya perolehi ternyata guru silat mempergunakan rentak dan buah silat mendinding diri sambil mencari tempat yang baik untuk melepaskan satu pukulan, biasanya pukulan begitu hanya akan digunakan bila keadaan sudah terdesak.

"Hai...," pekik bomoh tua. Sekujur tubuhnya hilang dari pandangan saya. Bomoh tua muncul di belakang datuk dan saya. Wajahnya mula berpeluh.
Tanpa menoleh ke arah bomoh tua, datuk terus bersuara dengan lantang.

"Sudahlah, buat apa kita bergaduh sama sendiri, tak ada untungnya, rugi bangsa sendiri."

"Ini urusan aku."

"Ini nasihat, terpulanglah pada awak sama ada nak percaya atau tidak," balas datuk lalu berpaling ke arah bomoh tua. Aneh bomoh tua sudah tidak berada di situ lagi.

Dalam beberapa detik saja bomoh tua munculkan diri di sebelah kanan guru silat. Kemudian terus hilang dan tempat yang ditinggalkannya kelihatan asap nipis mengembang atas permukaan rumput kiri kanan jalan. Datuk terus mendekati guru silat.

"Mari kita ke rumah adik ipar awak," datuk tarik tangan guru silat. Kami meneruskan perjalanan ke rumah adik ipar guru silat. Bila kami sampai di halaman rumah, seekor katak puru melompat di depan kami dua tiga kali dan terus menghilang di bawah dedaun kering. Bomoh tua muncul di anak tangga pertama dan terus memijak anak tangga dan masuk ke rumah tanpa memanggil nama tuan rumah.

Kehadiran bomob tua yang mendadak itu, tidak diperhiraukan oleh datuk. Setelah memberi salam pada tuan rumah dan menerima jawapan kami dijemput ke dalam rumah.

"Mana bomoh tadi," tanya guru silat dan adik iparnya yang terbaring tercengang. Renung kiri, renung kanan. Isterinya yang berada di sisinya berhenti menyuapkan nasi bubur ke mulutnya.

"Tak ada sesiapa yang datang," ujar isteri si sakit pada abangnya si guru silat.

Saya memandang ke arah datuk penuh, tanda tanya. Datuk bagaikan tahu dengan apa yang bergoak dalam dada segera memberi jawapan.

"Cuma sangkaan kita saja dia datang."

"Tapi, kita nampak dia naik ke rumah," kata guru silat.

"Itu hanya pandangan mata kita saja, maklumlah kita berpanas, pandangan kita juga boleh jadi bermacam-macam."

"Hum...," keluh guru silat dan terus duduk.

"Selepas kami balik, macam mana keadaannya," datuk ajukan pertanyaan pada isteri si sakit.

"Tak boleh tidur, badan saya terasa bisa-bisa dan mahu marah tak tentu fasal," si sakit menjawab.

"Saya juga tak boleh tidur, setiap kali mahu tidur saya rasa macam ada orang berjalan dalam rumah," celah isteri Si sakit. Menurutnya, ia terpaksa berjaga hingga siang, kecuali waktu menjelang pagi baru terlelap.

Keterangan yang disampaikan oleh isteri si sakit membuat datuk dan guru silat termenung panjang. Bahang panas dari luar terasa amat perit di seluruh tubuh. Isteri si sakit bangun dan terus menuju ke dapur. Datang kembali membawa tiga cawan kopi bersama sepiring kuih.

"Begini saja, lupakan semuanya, mari kita berikhtiar ikut petua dan cara tradisional," datuk menawarkan diri.

"Apa yang perlu saya buat" Tanya isteri Si sakit. Datuk termenung sejenak. Kedutkan dahi sambil meraba pangkal dagunya berkali-kali. Guru silat juga termenung.

"Saya ingat kita cuba buat ubat mengeluarkan panas dari badannya, sediakan pucuk pisang yang belum kembang dan mempulur batang pisang, satu baldi air dari kaki bukit" datuk mengeluarkan arahan.

"Lain-lain tak ada?" Tanya guru silat.

"Tak ada, cuma itu saja petua yang saya tahu."

"Bila nak di mulakan?" Guru silat bertanya lagi.

Siri Bercakap Dengan Jin (JILID 5)Where stories live. Discover now