DATUK terus batuk di depannya. Perempuan cantik itu berhenti mengoyak-ngoyak kertas. Matanya merenung muka datuk. Matanya kelihatan bersinar-sinar."Siapa nama kamu," tanya datuk.
Perempuan cantik terus membisu. Orang yang ada di situ terus mengetawakan datuk. Mereka mengira perbuatan datuk itu, satu perbuatan yang bodoh kerana bercakap dengan orang gila.
Saya lihat air muka datuk berubah. Tanpa diduga perempuan cantik itu terus menampar muka datuk. Suara ketawa dari orang-orang yang mengelilingi perempuan cantik kian kuat. Muka datuk jadi merah, saya kira datuk terasa malu. Perempuan cantik itu terus meludah muka datuk.
Saya lihat datuk menggigit bibir. Saya mula cemas, bila kedua-dua belah daun telinga datuk bergerak-gerak. Saya tahu bila daun telinga datuk bergerak, ertinya dia sudah berada dalam tahap kemarahan yang amat hebat. Orang-orang yang ada di situ terus mengetawakan datuk.
Beberapa orang pemuda yang kurang ajar mengeboo-boo diri datuk. Datuk toleh kiri, toleh kanan. Dia sudah dapat mengawal rasa marahnya.
"Eh, syaitan, kamu buat apaaa...," pekik datuk sekuat hati.
Suaranya dapat didengar oleh seluruh penduduk kampung. Orang yang mengetawakan dirinya terkejut dan ada yang bertempiaran lari tidak tentu hala. Dalam sekelip mata sahaja datuk sudah berdiri sambil mencekak pinggang.
Perempuan cantik, anak Malik Cina jatuh terlentang dan terus pengsan. Terkapar di perdu manggis macam mayat. Orang yang berkumpul terus hilang entah ke mana. Datuk masih lagi berdiri, Malik Cina dan isterinya tergamam, tidak berkata sepatah apa pun, macam orang kena pukau.
"Anak kamu disihir, bawa dia ke tempatnya, jangan dirantai kakinya," ujar datuk pada Malik Cina. Tanpa membuang masa sepasang suami isteri itu mengusung anak kesayangan mereka ke bilik khas.
Ketika tubuh perempuan cantik itu diusung, di kaki langit mula kelihatan awan kemerah-merahan. Sebentar lagi, matahari akan menyelesaikan tugasnya.
Datuk kembali ke ruang anjung rumah. Datuk minta segelas air dan tujuh biji beras dari Malik Cina. Barang yang diminta itu segera diadakan. Datuk masukkan tujuh biji beras ke dalam gelas yang berair. Datuk membaca sesuatu pada air tersebut.
"Sapukan air ini ke mukanya, dan separuh lagi beri dia minum, kalau ada lebih lagi, sapukan pada pergelangan tangan dan kakinya," datuk menyerahkan gelas berisi air dan tujuh biji beras pada Malik Cina. Malik Cina pun membawa gelas itu ke bilik anaknya.
Saya pun menyandarkan badan ke dinding sambil memicit jejari di kaki. Datuk meluruskan kedua belah tangan lantas diletakkan atas sepasang kepala lututnya. Mata datuk terus menikam tikar mengkuang yang terbentang menutup lantai.
Sinar matahari yang lembut menjalani lantai rumah. Angin pun menghantar rasa dingin. Tetapi, hati saya masih panas dengan sikap orang-orang kampung yang mengejek-ngejek datuk. Tidak ada budi bahasa, tidak ada timbang rasa.
Mereka mencari kepuasan dan hiburan dari penderitaan orang lain. Mereka ketawa melihat anak perempuan Malik Cina yang suka mengoyakkan kain dan kertas. Mereka ketawa, bila anak perempuan Malik Cina menampar muka datuk. Mulut mereka melahirkan rasa simpati sedangkan hati tidak begitu.
Semua persoalan itu berlegar-legar dalam tempurung kepala saya. Bibir terus saya gigit. Datuk masih lagi tunduk merenung lantai. Saya alihkan pandangan ke halaman rumah Malik Cina yang bersih. Angin lembut terasa menampar wajah.
Datuk batuk, bagaikan kilat saya merenung kearahnya. Saya lihat datuk masih lagi tunduk dengan sepasang tangan berada atas tempurung lutut. Saya mula bosan berhadapan dengan suasana begini. Terasa jemu tidak menentu.