KAMI bertiga terus menuju ke Balai Polis. Sarjan 1000 menyambut kami dengan wajah yang riang. Setelah datuk bercakap-cakap sebentar dengan Sarjan 1000, kami terus menuju ke tebing sungai. Sarjan 1000 memerintah seorang anggoa polis keturunan India menemani kami ke tempat tersebut.
Sampai sahaja di tebing sungai, datuk terus berdiri tempat ia bertinggung waktu siang tadi. Saya disuruhnya berdiri dekat pokok besar. Manakala Tajuddin dan anggota polis keturunan India pula berdiri tidak jauh dari saya.
Dua tiga kali saya menampar nyamuk yang menyerang daun telinga saya. Menampar nyamuk dalam gelap merupakan kerja yang sia-sia. Tidak ada nyamuk yang dapat dibunuh malah nyamuk kian banyak datang dan berdengung di keliling telinga.Saya merenung ke sungai, tidak ada sesuatu yang dapat dilihat semuanya nampak hitam belaka. Sekali-sekala saya terpandang cahaya pelita berkelip-kelip di seberang sungai. Sudah hampir lima belas minit berdiri, datuk tidak memperlihatkan kesungguhannya untuk menjalankan tugas. Ia kelihatan macam orang mengelamun tidak tentu arah.
Apa yang datuk lakukan itu memang tidak saya senangi. Saya sudah tidak mampu untuk menyerahkan badan saya pada nyamuk di dalam gelap. Telinga saya sudah tidak mampu mendengar suara cengkerik dan katak. Mata juga sudah tidak terdaya merenung kegelapan.Bila kepala didongakkan ke langit, cuma yang nampak kerdipan bintang-bintang. Saya tidak tahu apakah perkara yang saya alami itu dirasai juga oleh Tajuddin dan kawannya.
Darah saya tersirap, sehelai daun menimpa batang tengkuk, sedangkan angin malam tidak bertiup, bulu roma saya terus berdiri, bunyi cengkerik dan katak kian rancak. Datuk masih lagi berdiri merenung ke arah dada sungai yang diselimuti kegelapan.
"Tamar," suara datuk separuh keras.
"Ada apa tuk."
"Nah, bakar lilin ni," datuk pun menyerahkan pada saya sebatang lilin dan sekotak mancis.
Cahaya lilin itu terus menerangi kawasan sekitar. Anda sendiri dapat membayangkan sejauh mana kekuatan dari cahaya lilin sebatang.
Datuk terus memicit kedua belah lengannya, kemudian kedua belah buah betisnya hingga sampai ke buku lali. Tajuddin dan kawannya segera menghampiri datuk. Dari cahaya lilin yang samar-samar saya dapat melihat kedua-dua wajah mereka yang didakap keresahan."Bila nak dimulakan?" Tajuddin membuka mulut.
"Sekejap lagi kenapa? Kalau kamu rasa jemu kamu boleh balik, biar aku selesaikan sendiri."
"Bukan begitu, saya rasa dah lama benar kita duduk di sini."
"Kerja begini mesti sabar," balas datuk lalu merenung wajah Tajuddin dan anggota polis keturunan India. Mereka terdiam dan terus duduk dalam lingkungan cahaya lilin.
"Sekarang aku nak mulakan tetapi, ingat pesan aku ni, jangan gunakan lampu picit, kecuali bila kamu mendengar suara aku di tengah sungai," lagi sekali datuk merenung anggota keturunan India dan Tajuddin.
Saya lihat mereka anggukkan kepala. Setuju untuk mematuhi cakap datuk, bila datuk melangkah, saya terdengar suara kucing mengiau panjang dan saya terasa seram.
"Bunyi kucing," anggota polis keturunan India bersuara, ia renung muka Tajuddin dan saya. Datuk merenung ke kiri dan ke kanan.
Saya lihat Tajuddin seperti orang serba-salah dan bersedia untuk menggunakan lampu picitnya untuk menyuluh ke arah suara kucing tersebut.
"Aku juga terdengar suara kucing, pedulikan," datuk mengingatkan kami. Ia terus melangkah. Saya menoleh ke kanan pada rimbunan pokok kecil yang terdapat di situ. Nafas saya jadi sesak, ada sepasang mata binatang yang kelihatan kemerah-merahan merenung ke arah saya. Serentak dengan itu, saya terdengar ranting-ranting kering seperti dipatah-patahkan oleh manusia.