"BIARKAN mereka datang," kata bomoh dalam keadaan tidak sedar, saya merenung menerusi tingkap dan pintu yang terbuka sendiri."Beri jalan," suara bomoh lembut. Saya terasa papan rumah seperti dipijak orang. Angin malam kian kuat terus masuk ke rumah. Beberapa helai daun mempelam melayang ke rumah.
Datuk tidak melakukan sesuatu. Ia melihat apa yang terjadi dengan perasaan tenang tetapi penuh persediaan kewaspadaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang tidak baik. Guru silat bangun lalu berdiri tidak jauh dari arah rusuk kanan bomoh tua. Saya pula mengensot perlahan-lahan menuju ke tepi dinding.
Berusaha mahu menjarakkan diri dengan datuk, guru silat dan bomoh tua. Andainya, bomoh tua kemasukan roh datuk nenek dan tidak sedarkan diri, mengamuk atau membaling tempat bara api saya boleh mengelakkan diri dengan terjun menerusi pintu yang terbuka.
Bomoh tua yang bercakap seorang diri itu, memperlahankan suaranya, sesekali ia menumbuk lantai, suaranya seperti orang yang kena cekik. Lagi sekali bomoh tua itu rebah atas lantai.Suasana dalam rumah menjadi sunyi. Bomoh tua terus bangun. Gosok kelopak matanya berkali-kali, macam orang baru bangun tidur. Renung kiri, kanan dengan sinar mata yang garang.
"Eh, kamu kenapa datang dekat aku, tengok sekarang datuk nenek aku dah lari, kamu tolak dia, sekarang dia dah merajuk," bomoh terus marah-marah dengan guru silat. Saya tergamam, tidak ada sesiapa pun yang berdiri dekatnya, sebelum guru silat menghampirinya.
"Saya tak nampak apa-apa," mulut celupar saya bertanya. "Kamu tahu, biji mata kamu semuanya tak nampak dia, kecuali aku, batin aku dengan batin roh datuk nenek aku sudah bersatu,"
kemarahan bomoh tua meluap-luap.Tidak terduga oleh saya perkara tersebut boleh jadi begitu.
Supaya keadaan, tidak menjadi kacau-bilau, datuk segera minta maaf. Nasib baik bomoh tua mahu memaafkannya. Saya segera terfikir kenapa banyak sangat upacara yang mesti dijalankan untuk mengubati orang yang sedang sakit.
Apakah bomoh tua itu tidak terfikir cara yang dilakukannya itu menambahkan beban orang yang memang sudah sakit itu. Saya jadi bosan dengan keadaan yang sedang saya hadapi.Saya juga terfikir, perkara itu sahaja dilakukan untuk melambat-lambatkan tugasnya. Bila sudah larut malam baru kerja itu dijalankan dengan sempurna. Ini satu taktik, kata hati saya. Bomoh itu, menjalankan upacaranya kembali. Kali ini isteri si sakit duduk di depannya.
"Akulah panglima raja Melayu," suara bomoh berubah, parau dan garang. Isteri si sakit tunduk.
"Siapa nama panglima?" Soal isteri si sakit.
"Datuk Maharajalela, panglima Perak yang datang untuk menyempurnakan hajat anak cucu."
"Terima kasih kerana panglima sudi datang ke rumah kami."
"Hum...aku faham, aku dahaga dan lapar."
"Tunggu, panglima."
Isteri si sakit pun meletakkan setalam hidangan di depan bomoh tua yang menjelma menjadi Datuk Maharajalela. Saya segera rapat pada datuk yang duduk tidak jauh dari bomoh yang sudah berada di zaman lampau itu.
Saya lihat dalam talam itu ada dua butir telur ayam, sebutir sudah direbus dan sebutir tidak. Ada dua cawan, satu berisi kopi, satu berisi air biasa. Ada dua kepal pulut, satu berwarna kuning dan satu berwarna putih.
Asap kemenyan terus menguasai ruang rumah. Dalam berbisik guru silat memberitahu saya, barang-barang ini memang menjadi syarat setiap kali bomoh tua itu menjalankan tugasnya. Dan barang-barang itu sentiasa berubah, mengikut malam bomoh tua itu datang.
Isteri si sakit tahu, kalau bomoh tua datang malam Selasa, persediaannya cuma dua biji pisang. Satu masak dan satu tidak. Malam Jumaat, persediaannya seperti yang saya lihat sekarang.