SAMPAI di depan tandas wanita, Qairie terus mengetuk pintu bilik air tersebut. Tiga kali ketukan, kemudian dia diam menunggu. Jika yang keluar itu lain dari empunya tubuh yang dinanti, dia sudah bersedia untuk memberi penjelasan.
Selang beberapa saat kemudian, pintu ditarik dari dalam. Wajah pucat lesi Saila terjengul keluar. Nampak benar payah untuk menarik pintu berat yang akan kembali tertutup jika tidak ditahan."Tak sihat?" Qairie serentak membantu menahan pintu dari bergerak membanting tubuh Saila yang nampak melayah saja cara berjalannya.
"Pening." Saila melepas nafas berat. Hendak bercakap pun terasa sangat melelahkan. Dengan sendirinya dia menghulurkan tangan meminta sokongan untuk berjalan.
Qairie menyambut tangan isteri yang bila disentuh terasa dinginnya sudah melebihi tahap suhu penghawa dingin bangunan tersebut. Sebelah tangan naik melilit belakang tubuh Saila. Bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan yang lebih teruk.
Baru melangkah beberapa tapak, Saila kalut mengangkat tangan. Membuat isyarat untuk berhenti seketika. Terus disandarkan tubuh ke dinding sepanjang laluan yang menghala ke pejabatnya.
Qairie berdiri memerhati tingkah si isteri yang kemudiannya berpaling merapatkan hadapan tubuhnya ke dinding. Pipinya dilekapkan ke dinding. Jelas terzahir riak lega di wajah pucat tidak berwarna itu.
"Kenapa tak keluar makan lunch? Nanti perut masuk angin." Kalau bukan kerana mereka berada di pejabat, memang sudah ditepuk perut Saila untuk memastikan sejauh mana kebenaran telahannya itu. Jika keluar bunyi tong kosong, memang benar si isteri pening kerana badannya sudah dipam angin.
Saila menggeleng. Mahu memberitahu yang dia tidak punya selera, tapi dia memilih untuk diam saja. Diam menikmati ketenangan yang dapat diserap dari keras dan sejuk dinding yang sedang menampan pipi.
"Dinding lagi seronok dari bahu abang ke?"
"Hmm..." Terbit satu senyum di bibir Saila semasa mengia. Tak pernah Qairie bertanya soalan di luar alam begitu. Yakin benar hanya mereka berdua yang berada di kawasan itu.
Melihat isterinya sudah mampu tersenyum, bibir Qairie serentak longgar dari ketatnya tadi. Soal Nain ditolak menjauh ke belakang kepala. Semasa panas dengan permainan tarik tali Nain tadi, suara Saila di dalam talian yang kedengaran tidak bermaya membuatkan dia terus hilang fokus walaupun riak di wajahnya cuba dikawal sebaik mungkin untuk tidak kelihatan cemas.
Padanya, Saila itu lebih penting. Bukannya isu bodoh yang sengaja dijadikan umpan oleh si adik untuk menaikkan amarahnya.
"Let's go home." Dia meraih jemari Saila. Tangan sebelah lagi menarik tubuh si isteri untuk berdiri tegak.
"Tak apa. Saya boleh balik sendiri." Saila menarik kembali tangannya. Sudah berkira mahu memanggil grab car. Keretanya tinggalkan dahulu di situ.
"Abang hantar." Sekali lagi Qairie membuat penegasan. Tangan isteri yang baru terlepas, kembali diraih. Dan kali ini, pegangannya kemas. Tidak lagi lembut berhemah seperti tadi.
"Abang ..."
"Kenapa? Takut orang nampak?"
Saila menghela nafas dalam. Diperhati lama wajah si suami yang tegang sebelum dia akhirnya kalah menunduk. Tidak pernah berani berlebihan menunjuk rasa. Suaminya tegas. Suaminya garang. Dahulu pun, Qairie akhirnya bersetuju untuk merahsiakan hubungan mereka kerana ada sedikit logik dapat ditanam oleh Saila masuk ke dalam kepalanya. Persetujuan yang sebenarnya punya waktu tamat tempoh, tetapi dilanggar oleh Saila tanpa memikirkan hati si suami.
"Abang dah bagitau yang Saila ni wife abang."
"Ha?" Mata Saila membulat.
"Kak Mun, Indah and Kinah. I told them that you're my wife, not Nain's."
YOU ARE READING
Mister Rie punya Miss Stress ( ✔ )
RomanceMulanya cuma ada Kak Mun, Kinah dan Indah. Tapi selepas Saila muncul, banyak pula cerita lain yang keluar. Tentang Encik Rie yang misteri. Tentang Saila yang selalu stress. note : Cerita untuk suka2 sahaja. Don't expect much. Ada apa sebenarnya an...