Part 4

5.8K 448 9
                                    

PULANG dari makan tengahari, Saila diam mengecut di mejanya. Kak Mun dan Indah sudah saling menjeling. Kinah saja yang masih aman dalam dunianya. Sibuk dengan laporan yang perlu dihantar, makan tengahari tadi pun dipesan bungkus pada Kak Mun dan Indah.

"Makan mana tadi Saila?" Kak Mun yang mula memecahkan hening di antara mereka. Hari ini adalah kali pertama Saila keluar rehat tanpa mereka bertiga sebagai peneman. Ada teman lain yang menanti katanya.

Sempat juga diintai tadi kalau-kalau ada yang menunggu di luar. Ada kereta merah bertingkap gelap sudah sedia menanti di luar pintu pagar B. Mereka sangka Saila akan menaiki kereta tersebut. Tapi tekaan itu meleset sama sekali. Saila cuma membuat isyarat sesuatu kepada pemandu di dalam kereta tersebut dengan telefon sedang melekap di telinga. Kemudian Saila menaiki keretanya sendiri. Dan kereta merah itu mengikut setia dari belakang.

"Ha?" Kepala Saila naik menegak dari tunduknya tadi. Entah sedang tunduk tekun membuat kerja, ataupun tunduk sedang merenung nasib pun tak dapat dikenalpasti.

"Tadi ..." Kak Mun mengulang perlahan.

"Haa...." Saila juga ikut bercakap seperti kura-kura.

"Makan dekat mana?" Kemudian Kak Mun tepuk kuat meja kerjanya. Sengaja mahu menambah rasa. Biar Saila terkejut. Nampak benar cik stress mereka itu sedang melengung dalam dunia ciptaan sendiri.

"Luar!" Terkejut, Saila menjawab laju. Bahunya terenjut perlahan. Terkesan dengan bunyi tepukan yang terhasil dari meja Kak Mun.

Kinah yang tadinya tekun pun tanpa mahunya terikut menelinga. Terkekeh perlahan bunyi ketawa Indah dan Kinah bersatu.

"Memang lah dekat luar .... Saya dengan Kak Mun pun makan dekat luar. Soalan Kak Mun tadi tu, dekat mana makannya? Kedai mana? Kot kot lah sedap, esok kami nak pergi try pula." Ewah, pandai Indah menyusun ayat! Kemas tersusun saja diatur sebab musababnya.

"Kedai apa sangat yang ada Indah ... kawasan sini juga." Lesu saja cara Saila bercakap. Nampak benar ada masalah sedang sarat di kepala.

"Orang balik lunch, semangat. Awak ni, makin lesu pula gayanya. Kenapa?"

"Entah lah." Saila menampan dahi ke atas permukaan meja. "Rasa serabut kepala pula tiba-tiba."

"Stress lah maknanya tu?" Cantik Kak Mun memerli. Sudah tahu perkataan apa yang bakal keluar dari mulut Saila selepas itu. Stress dan Saila, berpisah tiada.

Saila kalih wajah ke arah Kak Mun. Sisi kepalanya pula yang tertampan di meja. Satu sengih tawar diberikan kepada Kak Mun.

"Awak ni suka anggap semua benda stress. Tak bagus untuk kesihatan tau. Seronok ke hidup dalam stress ni? Ulang cakap tu, sama macam kita berdoa minta benda tu jadi." Walau mata masih berada di skrin, Kinah juga tidak mahu terlepas memberikan pendapat. Cuma bezanya, Kinah tidak terlalu melulu dan nasihatnya juga tidak punya agenda tersembunyi. Mungkin kerana otak sedang fokus pada kerja, jadi dia tidak dapat sepenuhnya menangkap apa yang sedang Kak Mun dan Indah cuba dapatkan dari sesi bersoal jawab itu.

"Emm, betul tu Saila. Kerja awak dengan Encik Rie pun dah settle kan? Yang kami tahu selama ni, dia tu je punca awak stress. Sepatutnya sekarang awak dah boleh relaks. Enjoy life kerja dengan kawan-kawan gempak macam kami ni. Buang masa je stress kan benda-benda remeh ni." Indah mendabik dada semasa memuji diri sendiri 'gempak'. Alang-alang menjual, biar bersungguh-sungguh. Dia pun sudah terikut hanyut dalam perbualan. Tujuan utama mereka sudah terbabas.

"Atau ....orang yang keluar lunch sekali tadi yang buatkan Saila stress?" Kak Mun kembali menumpukan perbualan awal yang sudah tersasar. Yang dia mahu tahu, bukannya tentang stress Si Saila. Dia sedang mencari bahan untuk membawang, bukannya angkat guni bawang! Kalau angkat guni bawang, bukannya boleh dapat hasil. Yang dapat cuma penat saja!

Saila kembali menekup muka ke meja. Terdengar bunyi keluhan berat keluar dari mulutnya.

Indah, Kinah dan Kak Mun berpandangan sesama mereka. Sah! Ada hal yang perlu mereka korek keluar!

"Saila." Tiba-tiba muncul suara asing dari arah pintu.

Erk!

Mata Saila yang terpejam terus terbuka luas. Dengar suara saja pun, sudah bergetar habis segala pembuluh darah di dalam tubuh. Tangannya di bawah meja sudah meramas sesama sendiri.

Qairie sedang berdiri di muka pintu. Tangan lincah melipat naik lengan kemeja. Hari ini dia berpakaian formal, bukannya uniform kerja kerana dia perlu menghadiri kursus.

Kebiasaannya, Qairie akan masuk kembali ke pejabat di sebelah petang jika kerja luarnya berlangsung di kawasan berdekatan. Sampai dalam jam 4.30 petang untuk menyiapkan kerja yang tergendala, kemudian pukul 6.30 petang baru dia akan pulang ke rumah.

Tapi hari ini, walaupun kursus berjalan di Penang sana, dia masih mampu sampai ke pejabat lebih awal dari biasa. Semua gara-gara mesejnya tengahari tadi yang tidak berbalas. Terus panas terasa punggung. Duduk pun tidak senang. Santapan ringan yang disediakan oleh penganjur selepas penutup cuma dipandang sepi. Perut berkeroncong usah dikata. Tapi bila mesejnya tidak berjawab, seleranya di meja semasa makan tengahari tadi pun terus mati.

"Ssshh .... jangan cakap kuat-kuat Encik Rie. Saila tengah sakit kepala tu." Automatik Kak Mun membela. Bohong tanpa niat jahat. Takut juga kalau Saila dituduh sedang tidur dengan cara duduk yang begitu. Dah diseru bos begitu pun, Saila masih tak memanggung kepala. Elok lagi tertampan di meja. Memang sungguh sakit kepala ke? Tiba-tiba saja?

"Sakit kepala?" Spontan berubah terus riak muka Qairie yang tadinya seperti singa lapar. Lengan kemeja yang masih tidak terlipat kemas ditinggalkan separuh jalan. Dia mula menapak ke arah meja Saila.

"Eh, jangan kacau dia Encik Rie. Tertidur agaknya. Nak suruh balik pun, matahari petang tengah terik ni. Saya yang suruh dia tidur sekejap sebelum balik kejap lagi. Mana tahu boleh lega sikit sakitnya." Dalam hati Kak Mun sudah berdoa sakan. Jangan lah Saila angkat kepala. Kantoi nanti!

Indah dan Kinah sudah bermain mata. Terkebil-kebil memandang ke sana ke mari. Hendak ikut sama berlakon, memang tak tahu! Kak Mun berani begitu pun kerana dia lebih tua dari Qairie. Level hormat dari segi kemanusiaan dan pangkat dunia pasti akan menghalang Qairie dari bersikap melampau. Atasan mereka itu, walaupun tegas dan tidak boleh diajak berkawan, rasanya masih ada sikap perikemanusiannya yang hidup di dalam hatinya.

.
.
.
.

Panjang sangat dah ni. Kita sambung esok pula, insyaAllah (^_^)

Mister Rie punya Miss Stress ( ✔ )Where stories live. Discover now