Part 17

6.3K 356 5
                                    

SELINGAN - How they met (Rie & Saila)


Menyusuri laluan hendak ke lif, dari jauh lagi sudah terlihat ada seorang wanita sedang menunggu lif.

Qairie menguatkan sedikit bunyi tapak kaki supaya wanita itu tidak terkejut dengan kehadirannya. Bila sudah hampir, baru dia dapat melihat dengan jelas. Wanita itu adalah orang yang sama dilihatnya 2 minggu lepas di kawasan tempat letak kereta. Masih muda. Mungkin lebih muda dari Qairie sendiri. Tapi tidak mustahil juga tubuh badannya yang kecil memberikan impak yang berbeza dari umur yang sebenar.

Diam-diam Qairie menekan butang lif walaupun simbol anak panah naik ke atas  sudah menyala. Entah kenapa, dia merasakan perlu untuk ditunjukkan kepada wanita itu yang dia tidak punya sebarang niat jahat. Kebetulan sahaja mereka sedang sama-sama menunggu lif, dan kebetulan juga, mereka sama-sama hendak naik ke atas.

Bila pintu lif terbuka, seperti yang dijangka, wanita itu langsung tidak bergerak dari berdirinya. Qairie yang berdiri sedikit jauh di belakang memerhati tanpa suara. Dia tahu apa yang sedang difikirkan wanita itu.

"Cik naik dulu. Saya tunggu lif lain." Tidak menunggu balasan, Qairie terus beralih ke lif sebelah. Berlagak selamba. Tidak lagi menoleh memandang wanita tadi. Mungkin balasan untuk ingatan baiknya, lif yang di sebelah itu terus terbuka sejurus saja Qairie menekan sekali lagi butang untuk naik ke atas tadi.

"Terima kasih." Sempat ditangkap suara gemersik wanita itu semasa dia melangkah masuk ke dalam lif.

Sepanjang beberapa saat lif naik ke tingkat 7, Qairie termenung melihat biasan diri sendiri di pintu lif. Matanya sempat melirik panel yang menunjukkan aras tingkat yang sudah dilepasi lif. Sekilas dia tertanya, wanita tadi tinggal di aras berapa. Di bawah atau lebih tinggi dari aras yang diduduki oleh Qairie?

Kondo miliknya ini baru dibeli tahun lepas dari satu pasangan berumur yang hendak berpindah ke rumah baru. Rezeki Qairie, pasangan itu adalah kenalan ibunya. Bila ditanya, terus Qairie bersetuju untuk menjadi tuan baru kondo tersebut.

Kondo itu tidak disewakan kepada sesiapa. Dibiarkan kosong untuk Qairie singgah sekali dalam sebulan jika dia pulang melawat ibunya. Baru-baru ini pun dia sudah mula merisik untuk berpindah cawangan. Dia mahu tinggal lebih hampir dengan ibunya. Mudah jika ada berlaku hal kecemasan.

Ting!

Bunyi lif berhenti mematikan lamunan Qairie. Sekejap saja ingatannya pada wanita tadi singgah. Buka saja pintu, dia terus keluar membelok ke kanan.
.
.
.
.

ITU baru kali pertama Saila terserempak dengan lelaki tadi. Sepanjang beberapa tahun dia tinggal situ, tidak pernah lagi dia ternampak lelaki itu.

Penghuni baru mungkin?

Lelaki itu peka dengan keadaan sekeliling. Spesifiknya, dia seperti tahu yang Saila tidak selesa mahu menaiki lif berdua dengan lelaki yang tidak dikenalinya. Risau dengan bermacam-macam perkara. Banyak kes kecurian dan samun berlaku dengan cara begitu.

Apa agaknya yang membuatkan lelaki itu tahu?

Saila melihat plastik barangan dapur yang sedang dijinjit. Mungkin kah genggaman tangannya tampak terlalu kuat?

Kemudian dia menggerakkan sedikit bahunya. Membuat gerakan bulat seperti senaman pemanas badan. Sekejap ditegakkan bahunya, sekejap dijatuhkan. Hmm ... mungkin tadi bahunya automatik cuba dikecilkan bila terasa lelaki itu berdiri di belakangnya. Dan bila ternampak pergerakan itu, lelaki itu terus tahu Saila takut dengan kehadirannya.

Penghuni di kondo itu jarang hendak bersua muka. Kalau terserempak pun, mungkin sekali dalam seminggu. Masing-masing sibuk dengan kehidupan sendiri. Jadual waktu berbeza juga mungkin adalah penyebabnya mereka semua tidak berinteraksi sesama sendiri.

Ting!

Bunyi lif berhenti mematikan lamunan Saila. Buka saja pintu, dia terus keluar membelok ke kanan. Sekejap sahaja dia sudah lupa pada penghuni baru yang ditemuinya tadi.

 Sekejap sahaja dia sudah lupa pada penghuni baru yang ditemuinya tadi

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Mister Rie punya Miss Stress ( ✔ )Where stories live. Discover now