BUKA saja mata, Saila kaku seketika sebelum melirik kawasan sekitar. Tindakan spontan walaupun tadi dia sendiri yang memanjat katil dan menarik selimut menutup kaki sebelum tidur.
"Nak turun bawah balik?" Qairie yang dari tadi duduk bersandar di kepala katil memerhati tingkah si isteri. Itu lah, sudah terbiasa lari ke kondo bawah setiap kali merajuk. Sampaikan diri sendiri pun keliru sedang tidur di bilik yang mana.
Tubuh Saila dipusingkan sedikit ke belakang dari baring mengiringnya. Bola matanya berputar ke atas. Memandang sekilas lalu wajah Qairie yang duduk di tepi kepalanya. Santai bersandar dengan buku di tangan. Bantal kepala si suami tiada. Selamat berada dalam pelukannya.
Saila suka tidur memeluk bantal. Tapi Qairie tidak suka dengan kehadiran bantal guling di atas katil mereka. Tiada keperluan dan hanya menyempitkan ruang yang ada. Bila Saila menambah bantal kepala, itu juga dicampak turun ke bawah di malam hari. Alasannya sama. Rimas dan sempit.
"Abang." Tangan Saila naik menarik hujung t-shirt Qairie. Ditarik beberapa kali untuk menarik perhatian si suami.
Qairie mengerling dari hujung mata. Cuba berlakon tidak peduli. Tetapi bacaan tidak dapat diteruskan bila dia dapat merasakan renungan merayu si isteri yang masih tancap di wajah.
"What?" Mendatar dia kembali bertanya.
"Petang tadi ..." Kata-kata Saila terhenti. Tidak tahu bagaimana hendak menyusun tanya. Dia mahu bertanya tentang reaksi teman sekerjanya semasa Qairie pergi mengambilkan beg tangannya di meja, tetapi rasa takut ada terselit juga. Takut kalau Qairie akan melancarkan leteran panjang lebar. Suaminya itu memang tidak banyak bercakap. Tetapi kalau dia bercakap lebih panjang dari kebiasaan, telinga yang mendengar pun boleh berdarah walaupun cuma sepuluh patah kata keluar.
Sunyi kembali mencengkam. Qairie masih menunggu walaupun matanya masih fokus pada helaian buku mukasurat buku. Saila pula masih dicengkam gugup. Tangannya saja yang masih menggenggam erat hujung baju Qairie.
"Abang." Sekali lagi Saila memanggil.
Kali ini Qairie benar-benar ditimpa rasa geram. Buku di tangannya ditutup kuat. Laju juga tangannya bergerak mahu menjentik dahi Saila. Tapi jari yang sudah sedia mahu memberikan rasa sakit itu terhenti separuh jalan. Teringat baru petang tadi dia mendapat khabar gembira tentang zuriat mereka sedang bertumbuh sihat di dalam kantung rahim si isteri.
Saila yang memang terbiasa dijentik dahinya sudah memejamkan mata rapat. Tangan yang satu lagi pun ikut menggenggam seluar Qairie. Jentikan itu selalunya tidak lah sesakit yang dijangka. Itu semua cuma tindakbalas refleks bila tahu akan ada sesuatu datang menghentam di sekitar kawasan mata.
Bila jentikan yang ditunggu datang tiba-tiba berganti dengan tekapan tapak tangan hangat, mata Saila spontan kembali terbuka. Tangan kasar suaminya menghalang sedikit pandangan.
"Selalunya sakit tak bila abang jentik?"
Terkebil-kebil Saila diterjah soalan yang langsung lari dari jangkaannya. Dia diam seketika. Cuba mencari jawapan terbaik yang tidak akan membuatkan Qairie terusik. Jika dijawab 'sakit', adakah Qairie akan marah?
"Tak." Dan si pengecut Saila berjaya mendominasi diri. Memberi jawapan selamat. Mata Qairie dipandang sekilas sebelum dilarikan pandangan ke arah lain.
Qairie ketawa kecil. Tergeleng sedikit.
"Bohong." Perlahan dia memberi komen. Buku yang tadi dibaca, diletakkan ke tepi. Cermin mata juga ditanggalkan dari wajah. Dua barang itu mendarat kemas di atas nightstand.
Bantal kepalanya yang berada dalam pelukan Saila diambil dan ditepuk beberapa kali sebelum diletakkan kembali sebagai pengalas kepalanya.
Selesa berbaring dengan sebelah tangan terlipat di belakang kepala, baru Qairie kembali menoleh sedikit untuk memandang isterinya.
"Tadi nak tanya apa?"
"Tak ada apa." Laju Saila menjawab. Tangan yang tadi menarik baju suami, sudah mengutil kain selimut. Baringnya yang mengiring menghadap Qairie pun tidak berani diubah. Kalau dia berpusing, pasti Qairie akan makin menekan. Suaminya itu punya satu pegangan pelik. Makin Saila kecut perut, makin seronok dia menekan. Makin Saila tergagap, makin semangat dia menyergah. Itu bukannya mengajar, tapi menyeksa!
"Tadi nak tanya apa?" Kali ini soalan sudah tidak kedengaran seperti soalan. Nadanya rendah dan mendatar seperti itu adalah ayat penyata.
Mata Saila sudah berlari ke segenap ceruk bilik. Tidak mahu memandang wajah suaminya. Bila difikirkan semula, bertanya tentang kejadian petang tadi pada Qairie itu adalah sama seperti dia sedang menyerahkan diri untuk dileteri. Suaminya sudah cukup jelas menunjukkan rasa tidak puas hatinya tentang hubungan mereka yang dirahsiakan oleh Saila. Jika disebut lagi tentang teman sekerjanya, pasti rasa yang sudah terkubur itu akan kembali bangkit.
"Today's a bit special for us." Qairie tiba-tiba mengiringkan tubuhnya. Tangan naik menongkat sisi kepala. "Apa saja yang Saila cakap, abang all ears." Dia memberi janji untuk menjadi pendengar yang baik.
Lama mata mereka beradu pandang.
"Petang tadi masa abang ambil beg saya, diorang ada cakap apa-apa tak?" Laju. Laju sungguh soalan tersebut keluar dari mulut Saila. Sepantas angin. Takut benar Saila kalau soalan itu tidak kena pada tempatnya.
"Ada."
"Ada?" Teruja, Saila cuba bangun dan tanpa sengaja tertolak tongkat lengan Qairie. Menyebabkan suaminya kembali jatuh terbaring.
Qairie mengambil kesempatan itu untuk menarik bahu Saila masuk ke dalam pelukannya. Membawa si isteri untuk berbaring separa meniarap di atas dadanya.
"Ada." Dia mengulang jawapan yang sama.
Saila tertunduk seketika. Perlahan melabuhkan pipi di bahu Qairie.
"Kak Mun dengan Indah marah ke?" Teragak-agak dia mahu memuntah tanya. Tapi itu lah yang sebenarnya mahu diselidik dari Qairie. Jika boleh diketahui lebih awal tentang reaksi mereka, mudah untuk dia menghadapi mereka esok.
"I don't know. You have to ask them yourself tomorrow." Tangan Qairie mengusap perlahan belakang bahu Saila. Kemudian dikucup atas kepala si isteri penuh kasih.
Dia tidak mahu menjadi penyampai cerita. Saila perlu memberanikan diri untuk bersemuka dengan masalahnya sendiri. Jika diberitahu lebih awal, isterinya yang sangat suka mengumpul stress itu akan menghabiskan sisa malamnya dengan merenung dinding. Ataupun tidur dengan hati yang galau. Menyebabkan tidurnya pulas, sekali gus mengganggu tidur Qairie juga.
Petang tadi, semasa dia dengan selambanya pergi ke meja Saila untuk mengambil beg tangan isterinya itu, staf bawahannya di situ semua diam terkaku. Keras tubuh, tetapi mata melirik setiap pergerakan Qairie.
"Saila ambil half day." Itu saja yang dirasakan perlu untuk diberitahu.
"Kenapa Encik Rie? Dia tak sihat ke?" Yang bertanya itu adalah Sakinah. Staf yang pada pengamatannya, jenis yang suka berfikir di dalam diam dan tidak gopoh dalam membuat keputusan.
"Dia pengsan tadi dekat tandas." Qairie bukan jenis yang suka bercerita jika tidak perlu. Tetapi kali ini dikecualikan rule itu untuk menguji sejauh mana teman sekerja isterinya itu peduli tentang Saila.
"Ya Allah! Dah tu sekarang Saila dekat mana Encik Rie?" Kak Mun sudah terbangun dari duduknya. Lakonan kaku dari tadi terus terhenti. Cadangnya mahu mengeraskan hati. Dera Saila dengan cara mendiamkan diri. Biar wanita itu rasa bersalah. Mana tahu di akhirnya, dia sendiri pula yang rasa terdera dengan berita tentang Saila yang baru sampai ke telinganya.
Qairie menghela nafas dalam diam. Hilang satu kerisauan dalam hati. Tiga wanita itu dijamin tidak akan membuli isterinya yang jenisnya sangat senang dicucuk hidung dan ditarik ke sana ke mari. Sudah lah begitu, pendirian Saila pun seperti lalang. Mudah berubah arah. Kemudian resah gelisah berseorangan kerana tidak punya keyakinan diri. Segala macam kelemahan sudah menjadi hak milik kekal isterinya itu. Sampaikan Qairie sendiri pun ada kalanya terfikir, kenapa ya dia boleh terpikat dengan Saila?
"Dekat sick bay. Saya nak bawa dia ke klinik." Qairie angkat sedikit beg tangan Saila di tangannya. Memberitahu yang Saila tidak akan kembali ke pejabat lagi selepas itu. Isterinya itu akan terus dihantar pulang ke rumah.
"Dari pagi lagi memang dah nampak pucat mukanya." Indah pula menzahirkan rasa risaunya dengan mengimbas semula apa yang dilihatnya pagi tadi.
"Kami pula tinggalkan dia macam tu saja." Kak Mun menambah di belakang. Membuatkan yang lain ikut rasa bersalah. Tadi sudah diajak, tetapi Saila menolak dengan alasan hendak berehat di surau. Mereka pula jenis yang tidak peduli lagi keadaan sekeliling bila sudah tiba waktu rehat. Masing-masing sudah terliur mengingatkan makanan yang sedang menunggu di kedai makan.
"It's okay." Qairie tersenyum sedikit. Memberi isyarat yang hal itu bukan lah isu besar. Tidak perlu dipanjangkan sehingga membuatkan yang lain ikut rasa bersalah. Saila itu tanggungjawabnya. Sepatutnya yang patut rasa bersalah adalah Qairie sendiri. Kerana dia terlepas pandang tentang kesihatan isterinya pagi tadi.
Sebelum melangkah keluar, sempat lagi Kak Mun mendoakan hal yang baik-baik untuk Qairie dan Saila.
"Minta-minta ada berita baik ya Encik Rie."
Tergeleng Qairie dibuatnya bila Kinah dan Indah ikut ketawa sebelum sama-sama mengia, mendoakan hal yang sama.
"Kenapa abang senyum?" Wajah Saila terpampang jelas di depan mata Qairie. Membuatkan lelaki itu terkejut dari lamunannya.
"Abang tak boleh senyum ke?" Wajah Qairie kembali dikosongkan tanpa riak. Cuba menguji.
"Abang kan jarang senyum." Suara Saila mengecil sedikit di hujung. Dia kembali merebahkan kepala ke bahu si suami. Tangannya bermain-main dengan kolar bulat t-shirt yang dipakai Qairie.
"Jarang tu bukan bermakna abang tak boleh senyum." Tangan yang tidak terbiasa diam tanpa kerja, naik mengelus rambut si isteri. Satu persatu dikirai dengan jemari.
"Apa yang sebenarnya jadi siang tadi? Macam mana abang boleh tiba-tiba beritahu fasal kita?"
Diam.
Qairie membetulkan letak duduk kepalanya. Sebelah tangan dilipat masuk ke bawah kepala. Sebelah lagi tangan memeluk bahu Saila erat supaya isterinya itu tidak ikut terjatuh dari sandarannya di bahu Qairie yang ketika dia mengubah kedudukan kepalanya.
Qairie berdeham sekali sebelum menghembus nafas hangat.
"Nain datang tadi."
Giliran Saila pula untuk terdiam. Menyebut nama adik iparnya itu, Saila tahu dia perlu menyulam kata dengan lebih berhati-hati. Tidak boleh terlalu mendesak, tetapi juga tidak boleh terus didiamkan. Dia tidak mahu hubungan dua beradik itu berterusan pincang begitu.
"Dia datang nak jumpa abang ke?"
Qairie menderam perlahan. Dicengkam sedikit bahu Saila yang dirangkulnya. Tahu yang si isteri sedang sengaja menyakitkan hati. Nain datang pasti lah hendak mencari Saila, bukannya Qairie!
"Abang cakap lah dengan Nain tu baik-baik."
"Abang bukan malaikat." Laju Qairie membidas.
"Hesy!" Perlahan Saila menepuk dada si suami. Tidak suka dengan sikap keanak-anakan yang Qairie tunjukkan bila nama si adik timbul.
"Abang rasa nak tumbuk dia setiap kali abang nampak muka dia." Dada Qairie serentak membidang. Menahan rasa marah yang membusung di situ setiap kali teringatkan Nain.
"Eh jangan ... abang lagi kuat dari Nain. Nanti habis lah muka handsome dia lebam sana sini."
Kali ini Qairie ketawa. Jenaka Saila dapat dicerna akalnya. Si isteri pun rupa-rupanya masak dengan sikap perasan kacak Nain. Wajah adalah aset utama Nain yang sangat dibangga selama hidupnya.
"Berbaik lah dengan dia, abang .... sampai bila nak macam ni. Saya tak suka jadi orang tengah." Saila mendongak sedikit. Memandang wajah Qairie dengan wajah sayu. Menagih simpati.
"Abang dah pesan, tak perlu ikut cakap dia. Ignore apa saja mesej or call dari dia." Qairie mula hilang mood. Bukannya sekali, tetapi sudah berkali-kali dia mengulang perkara yang sama. Tapi setiap kali itu juga lah, Saila akan melanggar perintah.
"Tak boleh abang ... saya tak sampai hati." Wajahnya Saila pekupkan di hujung bahu Qairie. Mula merasa tertekan bila merasakan diri terkepit dengan ulah dua beradik lelaki itu.
Hanya dengan mendengar nada suara saja, Qairie sudah tahu yang Saila sedang dilanda rasa serabut. Sendiri menyerabutkan kepala dengan hal yang sebenarnya tidak penting untuk difikirkan.
"Tidur." Dia membetulkan baring. Mengiring sepenuhnya dan menarik Saila untuk masuk ke dalam pelukan. "Hal Nain, biar abang yang selesai sendiri."
"Betul?" Sedikit tenggelam suara Saila kedengaran dari dalam pelukannya.
Qairie mengeluh dahulu sebelum mengangguk.
"Kesian Nain, abang. Semua orang marahkan dia. Dia mesti rasa sunyi."
Mata Qairie merenung dinding dari atas kepala Saila yang dipeluk masuk ke bawah dagu.
Sunyi?
Nain sunyi?
Mustahil!
YOU ARE READING
Mister Rie punya Miss Stress ( ✔ )
RomanceMulanya cuma ada Kak Mun, Kinah dan Indah. Tapi selepas Saila muncul, banyak pula cerita lain yang keluar. Tentang Encik Rie yang misteri. Tentang Saila yang selalu stress. note : Cerita untuk suka2 sahaja. Don't expect much. Ada apa sebenarnya an...