Pelangi

38 1 0
                                    


NukilaHauraMawar

Aku berjalan terhuyung-hayang menuju ke pintu rumahku. Pandanganku kelam dek kesan alkohol yang kuteguk. Sampai sahaja  di hadapan pintu,aku mengetuk pintu itu bekali-kali seraya melaung nama teman serumahku,Nur Safiyyah Humaira. Sebaik saja pintu dibuka,aku teus melangkah masuk ke dalam rumah dengan langkah longlai. Baru saja satu langkah,tubuhku rebah namun Safiyyah pantas menangkap tubuhku daripada jatuh menyembah bumi. Safiyyah memapah tubuhku menuju ke kamarku. Tubuhku dibaringkan di atas katil dan aku sudah tidak sedarkan diri.

“Miftahul Jannah,kenapa Jannah mabuk lagi? Fia sedih tau tak tengok Jannah macam ni. “ Sebak kedengaran suara Safiyyah. Tangisnya berlagu melihat keadaan aku.

Safiyyah seorang kawan yang baik. Hanya dia seorang yang sudi berkawan denganku di bumi Ireland ini. Daripada tahun pertama hingga aku kini di tahun tiga,hanya Safiyyah seorang sahaja pelajar Melayu yang rapat dan sentiasa mengambil berat tentang aku,manakala yang lain menjauhi dan memandang sinis terhadapku. Dia seorang sahaja pelajar Melayu bertudung labuh yang sudi mendampingiku.

Namaku Miftahul Jannah Binti Khalid. Indah namaku,namun jalan hidupku tidak seindah itu. Aku dilahirkan dalam sebuah keluarga yang mewah dengan harta duniawi namun kosong nilai ukhrawi. Mummy dan Daddyku,Datuk Khalid dan Datin Marina hanya sibuk mencari harta dunia,hingga aku,satu-satunya anak tunggal mereka ini terabai. Aku diberi pendidikan duniawi hingga ke peringkat tinggi namun kosong pendidikan ukhrawi. Islamku hanya di kad pengenalan sahaja.

Aku semakin hanyut dalam lembah kesesatan sejak menetap di bumi Ireland ini. Kelab malam bagai rumah keduaku,berbotol-botol minuman syaitan telah kuteguk,auratku terdedah sana-sini,namun satu sahaja yang masih kujaga rapi,iaitu maruah dan harga diriku. Aku bukanlah seorang perempuan murahan yang menyerahkan tubuhku sebagai pemuas nafsu lelaki. Tidak sama sekali! Meskipun aku mempunyai seoang teman lelaki bernama Rayyan Iskandar,namun aku tidak pernah walau sekalipun membenarkan tubuhku disentuh olehnya.

Meski aku mendapat keseronokan dan kepuasan,namun hatiku rasa kosong. Segala keseronokan dunia itu tak mampu untuk mengisi kekosongan hatiku.

Di bumi Ireland ini,aku banyak berkawan dengan orang putih,kerana tiada orang Melayu yang ingin berkawan denganku kecuali Safiyyah. Safiyyah seringkali mengajak aku berbuat baik,sering menasihati aku dengan lembut agar aku berubah,namun sinar hidayah masih belum bertapak di hatiku. Safiyyah tak pernah berputus asa mengajakku kembali ke jalan yang benar.

Jauh di sudut hatiku,aku ingin sekali menjadi seperti Safiyyah yang bertudung labuh,berpakaian menutup aurat dengan sempurna. Jujur,hatiku tenang saat terlihat teman serumahku itu solat dan membaca Al-Quran. Aku ingin berubah,tetapi aku malu! Hidupku telah lama jauh daripada Allah. Terlalu banyak dosa yang aku lakukan selama 22 tahun aku hidup di dunia ini. Layakkah aku untuk berubah?

**********

"Jannah,Safiyyah nak pergi usrah hari ni,jom ikut Safiyyah. Jannah tak ada kelas kan harini?" lembut nada suara Safiyyah mengajakku untuk mengikutinya pergi berusrah pada pagi itu.

Aku memandang wajah ayu Safiyyah seraya berkata,

"Orang macam Jannah ni layak ke nak duduk dengan orang yang baik-baik macam Safiyyah? Jannah ni teruk,tak layak nak pergi tempat-tempat macam tu. Dahlah pelajar Melayu kat sini semua sisihkan Jannah. Hanya Safiyyah seorang sahaja yang sudi berkawan dengan Jannah."

Safiyyah tersenyum mendengar kata-kataku.

"Semua orang layak untuk berubah,Jannah. Allah tak zalim. Allah Maha Pengampun. Sebesar mana pun dosa seseorang itu,Allah akan ampunkan sekiranya hambaNya itu benar-benar bertaubat. Safiyyah sayang Jannah sangat-sangat kerana Allah. Safiyyah nak pimpin tangan Jannah,sama-sama masuk syurga Allah.  Jomlah kita sama-sama berpimpinan tangan menuju ke syurgaNya. Maksud nama Miftahul Jannah ialah kunci syurga,jadi mengapa Jannah tak berusaha untuk ke syurga? Usah difikirkan cemuhan,hinaan manusia yang menghalang hijrah kita,sebaliknya kuatkan hati untuk terus berhijrah meskipun dicemuh,ditohmah. Safiyyah tahu Jannah ada rasa nak berubah kan? Cuma Jannah belum kuat untuk berubah. Betul tak?"

Koleksi CerpenWhere stories live. Discover now