Diluar, bayu subuh terus bertiup lembut menyentuh dedaun di hujung ranting. Geseran antara dedaun melahirkan irama yang tidak menentu nadanya. Kokok ayam masih bersahut-sahutan. Dingin subuh terasa menguasai kulit.
Haji Mat Nor bangun dan terus mengemaskan ikat kainnya. Letak songkok putihnya dibetulkan begitu juga dengan baju yang dipakai. Dia membuka jendela merenung ke arah kaki langit.
"Subuh dah hampir," katanya sambil merapatkan daun jendela.
"Jadi, elok kita pergi sekarang?" sahut datuk.
"Iya."
Haji Mat Nor pun membuka pintu. Kami segera berangkat ke masjid.
Sampai saja di kawasan halaman masjid, kelihatan para jemaah duduk di bangku sambil berborak sesama sendiri. Kalau tidak silap perkiraan saya, jumlah para jemaah yang ada di situ lebih kurang dua puluh orang. Saya dan datuk pun diperkenalkan oleh Haji Mat Nor dengan para jemaah yang ada.
"Boleh saya mulakan azan Pak Imam, waktu dah cukup," tutur anak muda itu sambil menatap wajah Haji Mat Nor.
"Nanti dulu," tahan Haji Mat Nor.
Saya lihat wajah anak mudak berkulit sawo matang itu segera berubah. Mungkin dia berasa malu, bila ditaha melakukan sesuatu di depan saya dan datuk yang dikiranya tetamu besar.
"Bagaimana, kalau kita, minta orang muda dari tanah seberang melaungkan azan subuh," suara Haji Mat Nor meninggi, ekor matanya menjeling ke arah saya. Dan perasaan saya mula gementar. Kenapa saya? Mengapa tidak anak muda itu. Dalam keresahan yang tidak menentu itu, saya lihat datuk senyum panjang. Dia pun mendekati saya.
"Mereka mahu menguji kamu, orang di sini, kalau budak sebaya kamu tidak tahu membaca Quran, berzanji, tak tahu sembahyang, tak tahu azan, tak boleh jadi imam atau membaca doa, dikira bukan anak muda yang sempurna, walau pun dia lulus sekolah tinggi, masih dikira tidak berilmu dan kurang iman," itu yang datuk bisikkan kepada saya.
Bisikan datuk itu membuat saya didatangi semangat baru. Sesungguhnya saya tidak rela di anggap sebagai anak muda yang kurang iman atau idak cinta pada agama.
"Tentu, memang saya boleh membuatnya," terpancut ungkapan itu dari kelopak bibir saya. Semua yang berada di situ berpandangan sam sendiri.
"Wah, ini sudah cukup baik," tutur anak muda yang ditahan oleh Haji Mat Nor daripada melaungkan azan. Dia mendekati saya, menjabat tangan dan memeluk tubuh saya dengan erat.
Dengan sopan dia memimpin saya ke dalam masjid dan menunjukkan di tempat mana yang harus berdiri untuk melaungkan azan. Beberapa detik kemudian suara saya menguasai ruang angkasa Kuala Tungkal.
Selesai melakukan solat, lalu dilanjutkan dengan kuliah subuh yang disampaikan oleh haji Mat nor. Perkara yang dibentang oleh Haji Mat Nor ialah berhubung dengan hal ketakwaan insan kepada Allah. Memang menarik dan mempersonakan cara Haji Mat Nor menyampaikan kuliahnya.
Semasa saya mahu keluar dari masjid untuk menuju ke rumah Haji Mat Nor, saya dapati para jemaah berkumpul di muka pintu. Kerana datuk ada di kanan, Haji Mat Nor di kiri saya tidak merasa cemas atau bimbang dan terus melangkah ke ambang pintu. Di luar dugaan, sebaik sampai di muka pintu, para jemaah ada terus menyerbu ke arah saya, mereka menhulurkan salam persahabatan dan memuji saya.
"Dia sudah membuktikan kemampuannya," Haji Mat Nor terus memeluk saya, " diharap ramai lagi anak-anak muda serumpun bangsa yang boleh diharap seperti dia ni," tambah Haji Mat Nor. Kalau tadi saya dipeluk, kini bahu saya ditepuk.
"Segala-galanya atas izin Allah," kata saya.
"Ya atas kehendak-NYA juga kita berjumpa bangsa serumpun seagama di depan masjid," balas datuk lalu di sambut dengan senyum oleh para jemaah yang ada.
YOU ARE READING
Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 11 )(COMPLETE)
HorrorSebenarnya Siri Bercakap Dengan Jin berbentuk memoir autobiografi Tamar Jalis dengan datuknya Kulup Muhamad Diah @ Long Mat Piah. Enam puluh peratus kandungannya berdasarkan kisah benar dan pengalamannya dengan datuknya pada zaman kanak-kanak mahupu...