Bab 153-Dendam Bomoh Wanita

1.7K 32 0
                                    

Di tengah sinar matahari yang kian runduk itu saya terus menggosok pangkal hidung dua tiga kali. Suasana yang diadapi membuat saya rasa marah dan geram. Kenapa datuk harus mengadakan undang-undang sendiri untuk saya. Itu tak boleh, ini tak boleh. Kenapa saya tidak boleh bertanya atau menyoal si baju hitam?

Di saat saya berjuang dengan perasaan, tiba-tiba datuk batuk kecil. Hati saya berdebar cemas. Anehnya si baju hitam tetap macam tadi. Melangkah tenang sambil merenung bumi. Sesekali dia angkat kepala merenung ke arah pepokok yang terdapat di kiri kanan jalan tanah merah. Dia tidak dapat menyembunyikan rasa bimbangnya dari saya.

Matahari kian mengecil, angin bertiup lemah mengerakkan dedaun di hujung ranting. Tupai liar melompat dari dahan ke dahan. Beburung mula terbang rendah sambil berbunyi memanggil kawan-kawan supaya pulang ke sarang kerana sebentar lagi senjakala akan tiba.

"Tuk," jerit saya.

Seekor monyet botak (dari kepala hingga ke paras pinggang tidak berbulu, Dari paras pinggang ke paras punggung bulunya berwarna merah dan ekor berwarna hitam) bergayut di dahan sambil menyeringaikan giginya. Bersedia mahu melompat ke arah saya. Datuk dan si baju hitam berhenti melangkah. Merenung ke arah saya sebelum beralh merenung ke arah monyet botak.

"Kita dalam bahaya," keluh si baju hitam.

"Jangan bimbang, pedulikan semuanya, kita jalan terus," ujar datuk lalu mengajak saya dan si baju hitam meneruskan perjalanan.

"Tetapi," terucap kata keraguan dari si baju hitam.

"Tak ada tapinya, kalau dilayan kita yang binasa, mari," datuk segera menarik tangan si baju hitam.

Anehnya, monyet botak melompat dari dahan ke dahan mengikut arah ke mana kami melangkah. Si monyet botak bagaikan mengawasi apa yang kami lakukan. Suara jeritannya cukup keras menguasai seluruh kawassan sekitar. Bila saya menoleh ke arahnya, si monyet menunjukkan kemarahan yang amat sangat. Dengan gigi yang menyeringai bersedia untuk mengigit di mana-mana bahagian tubuh badan saya.

Bagi menenangkan perasaan dan mententeramkan hati, saya membuat keputusan tidak mahu merenung ke arah monyet botak. Saya tidak mahu ambil kisah tentang monyet botak. Mahu menjerit sekuat mana pun, jeritlah. Kalau mahu melompat setinggi mana pun, lompatlah. Tetapi, kalau dia menyerang, bagaimana? Pertanyaan yang muncul dalam hati secara spontan itu membuat kepala lutut saya terasa lemah.

Kalau tadi saya hanya mengetahui ang monyet botak itu bergerak dari dahan ke dahan, di sebelah kiri jalan. Kini saya mula terdenganr bunyi monyet melompat dari dahan ke dahan di sebelah kanan jalan. Kalau tadi suara jeritan hanya dari seekor tetapi, kini bunyi suara jeritan itu kian bertambah. Saya tidak boleh mengawal perasaan dan terus menoleh ke kiri dan ke kanan.

"Tuk, semua pokok kiri kanan jalan penuh dengan monyet, macam mengikut langkah kita tuk," nada suara yang meninggi. Datuk dan si baju hitam renung ke kanan jalan manakal datuk renung ke sebelah kiri.

"Kita tak boleh mengalah, mahu di ujinya kebolehan aku," datuk berkata sambil merenung ke arah saya dan si baju hitam dengan renungan yang tajam membayangkan rasa marah yang amat sangat.

"Kamu berdiri di situ renung ke kanan, Tamar renung ke kiri. Belakang kamu berdua mesti bertemu, renung ke arah masing-masing, jangan ubah, jangan toleh kiri, jangan toleh kanan. Jangan tegur apa yang aku buat , bila aku kata 'selesai', kita semua melangkah macam tadi," datuk keluarkan arahan.

Saya dan si baju hitam anggukkan kepala dan segera mematuhi dengan apa yang datuk suruh datuk segera mengelilingi kami tiga kali berturut-turut. Suara monyet tetap kedengaran bagaikan suara orang bersorak.

Selesai saja datuk mengelilingi kami, dia segera membongkok mengambil sehelai daun tua di hujung kakinya. Daun itu diramasramasnya hingga hancur menjadi serbuk. Dan serbuk daun itu dicampakkan ke kiri dan ke kanan jalan. Aneh, suara jeritan monyet segera berhenti. Datuk pun membuka langkah silat ang disebut SILAT MONYET BETINA yang banyak mengunakan gerak kaki kiri dan tangan kanan. Gerak dua anggota itu cukup pantas.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 11 )(COMPLETE)Where stories live. Discover now