Beduk di masjid pun dipalu orang, tidak lama kemudian suara azan maghrib bergema ke seluruh kampung. Kami segera bangun. Haji Bagus bergeas ke ruang dapur. Tidak lama kemudian dia kembali menemui kami.
"Saya dah suruh orang rumah masak lebih, saya suruh sediakan makanan yang sedap untuk kamu semua," Haji Bagus renung muka saya dan si baju hitam.
"Niat nak bermalam di rumah lama," celah datuk sambil ketawa.
"Begitu, walau macam mana pun makan malam di rumah saya dulu," terdengar nada suara Haji Bagus bersahaja. Datuk tersenyum sambil menggosok hujung hidungnya berkali kali. Kami pun menuju ke muka pintu, si baju hitam turun dulu, diikuti oleh saya, datuk dan diakhiri oleh Haji Bagus. Azan terus bergema.
"Dimana kamu jumpa budak baju hitam tu, kalau tak silap aku kenal dia. Budak tu dah lama ghaib dari sini, katanya menuntut ilmu batin dengan Munah Supandi, bermacam ikhtiar dibuat oleh emak bapanya, dia tak juga mahu balik. Tiba-tiba dia mengikut kamu pula Mat Diah," suara bisikan Haji Bagus ke telinga datuk dapat saya dengar agak jelas.
"Nanti lepas sembahyang Isyak, lepas kita makan boleh saya cerita. Panjang ceritanya," itu jawapan yang datuk berikan. Ternyata jawapan itu amat menyenangkan Haji Bagus. Buktinya, dia tidak mengemukakan pertanyaan selanjutnya.
KERUMUN
Malam itu, selesai sembahyang maghrib dan isyak, datuk dikerumuni oleh para jemaah yang kebanyakan usianya lebih tua ari datuk, dan yang seusia dengan datuk ada kira-kira lima enam orang saja.
Para remaja yang muda buat tidak kisah dengan apa yang berlaku di masjid. Mereka tercengang dan berbisik sesama sendiri sambil melemparkan renungan yang sinis ke arah datuk. Tindak tanduk para jemaah muda itu dapat dikesan oleh Haji Bagus.
"Orang ni, anak jati kampung ni. Berpuluh-puluh tahun duduk di Tanah Melayu. Arwah orang tuanya mewakafkan tanahnya untuk mendirikan masjid tempat kita berjemaah, orang tuanya juga mewakafkan tanahnya untuk dijadikan kubur," kata-kata Haji Bagus itu membuat para jemaah muda buka mata. Mereka merenung ke arah datuk dengan penuh rasa kagum.
"Rumah besar sebelah masjid yang selalu kita gunakan untuk majlis nikah kawin, berkhatan dan macam-macam lagi majlis....," secara mendadak saja seorang tua turut bersuara dari arah kanan saya. Semua biji mata tertumpu ke arah lelaki tua itu.
"Dia beranak di situ, rumah dan pinggan mangkuk yang kita gunakan bila kenduri kendara milik orang tuanya yang diwakafkan untuk kita semua. Dia balik ke kampung macam berdagang di rantau orang, ada tanah, ada rumah tapi bukan haknya," sambung orang itu penuh semangat. Datuk hanya gelengkan kepala.
"Saya balik ke sini kerana saya rindukan pada kampung laman, rindu pada saudara-mara, terutama golongan tua yang ada pertalian darah dengan saya," secara mengejut datuk bersuara. Semua yang ada dalam masjid anggukkan kepala.
"Budak yang pakai baju hitam, seluar hitam, ada hubungan apa dengan awak," tanya seorang anak muda dalam lingkungan usia tiga puluhan.
"EH, berbudi bahasa sedikit, hormatilah orang tua," sergah haji kepada anak muda itu, "dia cucu saya, tak suka saya tengok dia biadap begitu dengan orang tua," tambah Haji Bagus, bila dia melihat datuk terpampan dengan tindak tanduknya.
Penjelasan yang diluahkan oleh Haji Bagus membuat datuk menarik nafas panjang. Membayangkan kelegaan yang amat sangat.
"Maafkan saya," kata cucu Haji Bagus dengan wajah sedih. Datuk segera mendekatinya, dua tiga kali datuk gosok belakang cucu Haji Bagus.
"Aku maafkan kamu," bisik datuk ke telinganya, " orang muda jangan cepat naik darah. Kalau cepat naik darah, nanti ramai musuh dari sahabat," tambah datuk, anak muda mulut celupar terus anggukan kepala.
YOU ARE READING
Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 11 )(COMPLETE)
HorrorSebenarnya Siri Bercakap Dengan Jin berbentuk memoir autobiografi Tamar Jalis dengan datuknya Kulup Muhamad Diah @ Long Mat Piah. Enam puluh peratus kandungannya berdasarkan kisah benar dan pengalamannya dengan datuknya pada zaman kanak-kanak mahupu...