Bab 151-Misteri Kain Hitam

1.8K 32 0
                                    

Beberapa orang yang lalu di depan kedai runcit segera menegur Fuad Hassan. Walaupun saya dan datuk tidak ditegur sapa, kami tetap mempamerkan senyum. Saya merasa kurang enak bila orang yang menegur Fuad Hassan menjeling ke arah saya dan datuk.

"Begini, kita minum dulu," kata Fuad Hassan bila menyedari saya dan datuk kurang senang berada di depan kedai runcit.

"Di mana?" Tanya datuk.

"Di hujung sana, tu," jawap Fuad Hassan, sambil menuding jari telunjuk ke arah yang dimaksudkannya. Jarak antara kedai runcit dan kedai kopi cuma selang tiga buah kedai saja. Terletak di hujung deretan kedai.

"Mari," ajak Fuad Hassan.

Kami segera melangkah ke arah kedai tersebut. Sebagai orang yang sudah arif dengan perangai datuk yang tidak suka minum di kedai, merasai pelik dan aneh bila datuk memenuhi permintaan Fuad Hassan. Mungkin datuk berbuat demikian kerana mahu menghormati hati seorang kawan. Kami segera ke kedai kopi. Meja paling hujung jadi pilihan Fuad Hassan. Di situlah kami berlabuh.

"Baru datang," tegur pemilik kedai. Fuad Hassan anggukkan kepala. Mereka berbalas senyum dan saya tumpang jeling ke arah Nurul Hayat yang tunduk merenung dada.

"Ini kawan saya," Fuad segera memperkenalkan datuk dengan pemilik kedai. Mereka bersalaman. Saya lihat pemilik kedai berusia sekitar empat puluhan, berkulit hitam dan rambut keriting cukup peramah. Senyum sentiasa bermain di bibir dan saya merasa cemburu yang amat sangat, bila Nurul Hayat membalas senyumnya.

"Nak minum apa?" Tanyanya.

"Saya teh susu," tentang Fuad Hassan memberi jawapan.

"Encik minum apa?" Pemilik kedai renung muka datuk.

"Beri saya air panas saja."

"Air panas," ulang pemilik kedai dang merasa agak aneh dengan permintaan datuk itu. Fuad Hassan juga terkejut dengan karenah datuk itu.

"Saya memang begini, suka minum air biasa bila di kedai," datuk membunuh keraguan dan rasa hairan yang tumbuh di hati Fuad Hassan dan pemilik kedai.

"Ada pantang larang agaknya," pemilik kedai cungkil rahsia. Datuk tersengih sambil gelengkan kepala.

"Memang tak ada pantang larang, datuk saya ni memang sejak dulu macam tu. Suka minum air biasa bila singgah di kedai kopi," kata saya, secara tiba-tiba. Fuad Hassan anggukkan kepala tetapi, pemilik kedai pamerkan senyum yang saya kira tersembunyi seribu persoalan.

"Kamu juga nak minum air biasa?" Pemilik kedai ajukan pertanyaan kepada saya.

"Saya mahu kopi susu."

"Awak pula nak air apa?" Pertanyaan untu Nurul Hayat.

"Saya tak minum apa-apa."

"Hai! Agaknya nak jada kecantikan," usik si pemilik kedai. Hati saya makin membara.

Pemilik kedai meninggalkan kami dan datang kembali bersama dengan barang-barang yang dipesan. Mungkin kerana kenal mesra dengan Fuad Hassan atau mahu menarik perhatian Nurul Hayat, pemilik kedai yang saya anggap separuh gatal terus duduk dekat Fuad Hassan.

"Baru kali pertama datang ke sini?" Pemilik kedai renung muka datuk. Fuad Hassan yang sedang menatang cawan teh segera meletakkan cawan atas meja kembali.

"Dia orang jati di sini, tetapi sudah lama merantau dan balik sekali sekala saja, awak tak kenal asal keturunannya kerana awak bukan anak jati di sini, awak orang luar, awak orang Acheh yang mencari rezeki di sini," sampuk Fuad Hassan.

"Oh, maafkan saya kalau tersinggung," tutur pemilik kedai.

"Tak mengapa, ini perkara biasa. Usahkan awak, anak jati di sini terutama yang baru tak berapa kenal dengan saya," kata datuk merendahkan diri.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 11 )(COMPLETE)Where stories live. Discover now