Hati saya menjadi kecut gadis yang nampak lemah lembut dan penuh sopan santun rupa-rupanya menguasai Cakar Kera dan Bangau Putih, Ini sungguh hebat, saya tak boleh main kasar dengannya, kalau main kasar alamat gigi saya tercabut atau tulang terkehel.
Dia bukan gadis sebarangan. Celakanya, hati saya sudah terpaut dengan wajahnya yang bujur sirih. Dan gadis-gadis yang terlekat dihati terus padam dari ingatan saya.
"Nurul Hayat, kau cantik," jerit batin saya sambil mengigit lidah dan menelan air liur. Mana nakal saya sering saja merenung ke arah tingkap dapur dan mengharapkan Nurul hayat segera keluar membawa minuman untuk kami.
Saya jadi resah, tidak tentu arah.
"Kenapa kamu nampak gelisah," tidak saya duga itu yang diungkap oleh Haji Mat Nor di saat sepasang anak matanya menerpa ke wajah saya. Dia tersenyum sinis.
"Agaknya dia nak minum, sabarlah," tingkah Fuad Hassan, satu sindiran yang amat tajam untuk saya. Datuk tidak memberi sebarang komen, dia hanya tunduk saja.
"Aku jadi sewa bot kamu, ini baki dari duit pendahuluan dulu," Haji Mat Nor hulur wang kepada Fuad Hassan. Saya lihat Fuad Hassan seperti keberatan mahu menerima wang tersebut. Dia nampak resah semacam sambil merenung ke arah saya.
"Bila nak bertolak?" Tanya Fuad hassan.
"Lepas sembahyang zuhur," jawap datuk.
Perbualan terhenti sebentar kerana memberi kesempatan pada Nurul Hayat mengaturkan kopi dan hidangan di depan kami. Kesempatan itu saya gunakan dengan sebaik mungkin untuk menatap wajah bujur sirih yang dilindungi selendang sutera warna kemerah-merahan. Mata nakal saya terus mengenyit ke arahnya sebaik saja dia meletakkan cawan.
Saya kira genyitan itu pasti mendapat balasan dengan senyuman, perkiraan saya tidak tepat. Saya menerima kerlingan tanda marah yang dituruti dengan jegilan sepasang mata yang bersinar garang dan secara tidak langsung memperlihatkan ciri-ciri pendekar. Lagi sekali jantung saya berdegup dan terus merenung lantai.
Nurul Hayat meninggalkan kami di pelantar. Sebagai anak muda, ekor mata saya yang nakal terus menyorot langkah dan lengganglengguk Nurul Hayat. Hati kecil saya sudah terpikat dengannya.
"Minumlah cepat, apa menung-menung," sergah datuk.
Saya tersipu-sipu malu, kerana di saat datuk menyebut perkataan tersebut biji mata Haji Mat Nor dan Fuad Hassan tertumpu ke arah saya. Bagi menghilangkan rasa malu, kopi segera saya hirup. Biji mata Haji Mat Nor dan Fuad Hassan tidak lagi tertumpu ke wajah saya. Mereka terus mengunyah kuih dan menghirup kopi, perasaan saya jadi aman dan tenteram.
"Aku memilih menyewa bot kamu kerana itu kemahuan Nakhoda Amirul. Katanya, kamu boleh berlebih kurang dan arif dengan selok-belok Sungai Batanghari." Haji Mat Nor terus menjentik badan cawan dengan kuku jari telunjuk untuk beberapa kali. Kemudian menghirup sisa kopi yang masih ada untuk kali terakhir.
"Puas hati dengan bayaran sewa?" Kalau tak puas hati cakap terus-terang biar aku sampaikan dengan Nakhoda Amirul, kalau kamu memerlukannya sangat-sangat, boleh aku dulukan duit aku," cukup tenang Haji Mat Nor bersuara.
"Ah, ini pun dah lebih dari cukup, lagi pun Nakhoda Amirul banyak membantu aku," sahut Fuad hassan.
"Kalau begitu biar kami balik dulu," Haji Mat Nor tepuk bahu Fuad Hassan. Saya dan datuk berpandangan.
"Macam mana kalau kita makan tengah hari di sini," permintaan dari Fuad Hassan yang tidak berapa saya senangi. Saya kira datuk juga keberatan untuk memenuhi permintaan tersebut.
"Minta maaf saja," jawap Haji Mat Nor.
"Bagaimana dengan awak pula."
"Saya juga minta maaf, lagi pun dah janji nak makan tengah hari di rumah sahabat saya ni," datuk meluruskan jari telunjuk ke arah Haji Mat Nor. Cepat-cepat Haji Mat Nor anggukkan kepala.
YOU ARE READING
Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 11 )(COMPLETE)
HorrorSebenarnya Siri Bercakap Dengan Jin berbentuk memoir autobiografi Tamar Jalis dengan datuknya Kulup Muhamad Diah @ Long Mat Piah. Enam puluh peratus kandungannya berdasarkan kisah benar dan pengalamannya dengan datuknya pada zaman kanak-kanak mahupu...