Bab 155-Lembing Puaka

2.2K 44 2
                                    

Saya benar-benar resah dan cemas. Tidak ada seorang pun yang berani melangkah bendul bilik. Datuk bagaikan terpukau, tidak dapat berbuat apa-apa. Kelopak matanya pejam celik merenung ke arah binatang ganjil di sudut bilik. Saya terus berdoa, supaya datuk tidak akan menyuruh saya melangkah bendul untuk mendekati binatang ganjil itu. Datuk angkat tangan kanan separas pinggang, beri isyarat supaya kami undur dua tapak ke belakang.

Isyarat yang di beri segera dipatuhi. Haji Bagus, si baju hitam dan saya undur dua tapak ke belakang. Datuk juga turut berbuat demikian. Suasana malam yang sepi membuat hembusan dan tarikan nafas kami jelas kedengaran.

"Tamar."

"Ya tuk."

"Ubah kedudukan lampu gasolin, sangkutkan sebelah kiri palang, biar cahayanya tertumpu ke arah cicak hitam, aku nak tengok gerakgerinya."

Arahan datuk segera saya patuhi.

Apa lagi yang kau nak suruh kami buat, Mat Diah, cakaplah," cukup tenang Haji Bagus bersuara tetapi, nada suaranya membayangkan kecemasan,

"Bertenang Abang Aji,"

"Iya," angguk Haji Bagus. Saya lihat wajah si baju hitam pucat lesi. Dia nampak cemas dan resah. Sekejap renung ke kanan, sekejap renung ke kiri. Apa yang pasti setiap gerak-geri datuk tetap menjadi perhatiannya.

"Maju."

Datuk angkat tangan. Kami maju dua tapak ke depan dan berhenti sebaik saja sampai ke paras bendul.

"Nampak dengan jelas," tanya datuk.

"Nampak," jawab kami serentak.

Saya lihat, badan cicak ganjil itu sama ukurannya dengan badan kucing siam yang cukup dewasa. Berwarna hitam. Matanya tertonjol keluar macam mata udang. Memancarkan cahaya merah kemerahan. Lidahnya diangarkan dua kaki. Ekornya keras macam akar kayu dan mempunyai dua warna, separuh hitam separuh putih. Bau hanyir macam bau darah.

Sekadar untuk menguji sama ada cicak ganjil itu ganas atau tidak, datuk mencampakkan segumpal kain buruk ke arahnya, bagaikan kilat ekornya menyambar kain buruk itu lalu disumbatkan kedalam mulut.

Dan lidahnya yang panjang mula merewang-rewang ke kiri dan ke kanan menyambar apa saja yang sempat ditelan. Datuk mencampakkan lampu suluh milik Haji Bagus ke arahnya. Lampu suluh disambut dengan pantas oleh ekornya lalu disumbat ke mulut.

Cicak ganjil yang duduk diam mula mengerakkan badannya, Mula merangkak ke arah kami, pada mulanya dia menuju ke arah datuk tetapi, akhirnya mengubah haluan ke arah si baju hitam. Si cicak melibaskan ekornya ke arah si baju hitam, mujurlah si baju hitam sempat mengelak, ekor cicak yang terkena dinding mengakibatkan papan dinding terbelah dua.

Si cicak bertambah berang. Kali ini si cicak mengunakan lidahnya yang panjang. Setiap kali lidahnya mahu menjamah pakaian si baju hitam, cicak ganjil segera menarik lidahnya masuk ke mulut dan cicak itu berguling-guling atas lantai macam ada sesuatu yang mencucuk kulitnya.

Saya segera renung ke arah datuk. Rupa-rupanya secara diam-diam datuk sedang melawan cicak itu dengan cara tersendiri. Datuk membaca beberapa potong ayat Quran dan menghembuskan ke arah cicak, setiap kali dihembus cicak itu seperti kepanasan.

Tanpa diduga, cicak yang besar bertukar menjadi macam cicak biasa. Pada saat itu, terdengar bunyi suara perempuan menangis dan meratap yang tidak diketahui biji butirnya.

"Jangan ke mana-mana, kita tunggu sebentar sebelum keluar," beritahu datuk. Kami pun mematuhi cakapnya. Setelah sepuluh minit menanti, tidak ada apa yang terjadi. Tempat cicak ganjil segera diperiksa.

Di situ, Haji Bagus menemui tulang jari telunjuk manusia dan beberapa helai rambut. Di samping dua ekor belalang, seekor berwarna kuning dan seekor berwarna merah. Datuk tidak pula mengusik barang-barang tersebut.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 11 )(COMPLETE)Where stories live. Discover now