4

626 89 13
                                    


××× 🌸🌺🌸 ×××

BEBERAPA bulan sejak 15 Februari 1942; setelah Jepun secara rasmi berjaya menguasai Tanah Melayu dan Singapura, keadaan di sini tetap belum pulih sepenuhnya. Penduduk masih bimbang untuk keluar ke mana-mana. Ada ketikanya, meletus jua bunyi tembakan meriam dan bedilan tidak dijangka-jangka dalam tenang-tenang penduduk melakukan aktiviti harian. Semua tahu, saki baki askar upahan Inggeris masih ramai yang bersembunyi di hutan-hutan dan belukar.

Sepertimana kata Siti Hawa dulu, benarlah Jepun telah membentuk pentadbiran baharu berpusat di bandar Kota Bharu. Di bawah kuasa seorang Gabenor (Syuchiji), segala peraturan dan enakmen negeri yang sebelum ini atas nama Sultan kini sudah berpindah kepada seorang Gabenor. Yasushi Sunakawa ialah Gabenor Kelantan sekarang. Satu-satu sekolah yang kembali dibuka di Kota Bharu ialah Ismail English School.

Sekolah itu telah diwajibkan mengajar Bahasa Jepun sebagai mata pelajaran wajib di sekolah. Malang, tidak ada anak-anak penduduk kampung ini yang mampu ke sekolah tersebut. Semua tahu sekolah itu dahulu ialah sekolah untuk anak-anak pegawai tinggi Inggeris atau bagi orang-orang berkemampuan sahaja. Jika adapun hanya sebahagian kecil sahaja. Boleh hitung dengan sepuluh jarilah anak siapa yang pernah masuk ke sekolah tersebut.

Kali ini Melur mendapat kebebasan keluar rumah. Itu pun dengan berteman. Namun hari ini, Melur dan Daud hanya ke tanah kebun di belakang rumah mereka. Sejak beras sudah jarang-jarang diperoleh dan mereka tidak dapat ke sawah, mereka terpaksa mencari alternatif lain sebagai pengganti beras buat mengisi perut.

Lagi pula beras catu yang diberikan oleh pihak pemerintah Jepun langsung tidak mencukupi buat mereka sekeluarga. Tidak sampai satu pot pun. Dan bukannya setiap hari. Tiap kali membuka uncang, isinya tidak sampai satu pot beras, ikan kering, sebuku kecil roti dan serbuk kopi. Mereka mengeluh. Dengan empat perut untuk diisi, manalah cukup untuk makan. Itu belum lagi dihitung mereka yang mempunyai anak ramai sepertimana Siti Hawa. Adik-beradiknya tujuh orang. Dan ada yang masih kecil.

Lalu penduduk kampung mula menggantikan beras kepada ubi kayu dan keledek. Lagi pula kebanyakan rumah-rumah di kampung memang menjadikan ubi kayu atau keledek sebagai tanaman pinggiran di ruang-ruang kosong keliling rumah atau antara pohon-pohon pisang, tebu atau kelapa. Lagi pula ubi kayu mudah tumbuh. Tidak perlu pengawasan teliti dan pengairan rapi sebagaimana tanaman lain. Hendak harapkan beras sepanjang masa jauh sama sekali. Jika mendapat beras pun kadangkala terpaksa dimasak bercampur ubi kayu atau keledek. Mujurlah penduduk kampung ini kebanyakannya bercucuk tanam.

Melur mengingati cerita malam tadi. Mereka berempat makan ala kadar. Beras yang sedikit terpaksa dihadkan. Kisah secebis nasi yang sedikit itu mengundang air mata buat Melur.

"Mak, Daud mahu tambah nasi lagi!" Daud menjulang tinggi pinggan nasi di hadapan ibu.

Mata Melur memandang wajah ibu. Melur menjenguk periuk nasi yang sudah kosong. Tinggal kerak sahaja. Puteh membelek-belek nasi di pinggan yang tak sampai sesenduk. Dia sendiri belum sempat suap ke mulut. Melihatkan Daud yang lapar, Puteh tolak nasinya ke dalam pinggan Daud. Melur dan bapa memandang hiba.

"Daud!" Melur cuba menegur tingkah laku adiknya.

"Kasihan mak." Melur menarik pinggan yang dihulurkan Daud. Daud kadang-kadang amat keterlaluan perangainya.

"Biarkan Melur," bantah Puteh.

"Habis tu, apa mak hendak makan?" Melur tidak setuju. Jika tidak disebabkan nasi di pinggannya sudah habis, kerana dia makan lebih awal tadi, pasti dia akan berikan bahagiannya kepada Daud. Ibu pula sibuk siapkan itu ini sebelum dapat duduk makan bersama.

Puteh bangun mengambil air dari cerek lalu dituangkan ke dalam periuk nasi. Dengan menggunakan sudu, dia mengikis kerak-kerak nasi dan dilecek-lecek menjadi seolah-olah bubur. Sungguh Melur terkedu.

SURAT-SURAT DARI NAGASAKI (Terbit)Where stories live. Discover now