1

1.2K 119 23
                                    

××× 🌸🌺🌸 ×××

Disember 1941

"DAUD!"

"Melur!"

"Bangun! Bangun, nak!" panggil Puteh sambil mengusap kepala Daud di atas ribaannya.

Dentuman bertalu-talu dan ngauman kapal terbang di angkasa yang menggigit debar tidak kedengaran lagi. Petanda reda seketika episod serangan. Reda jualah sementara pertempuran antara pihak tentera Inggeris berketurunan Punjabi-India dengan pihak Jepun. Namun, mereka bertiga masih di sini. Di dalam lubang gelap, satu-satunya tempat menyelamatkan diri. Setelah mendengar deruman garang kapal terbang yang terbang rendah; serta atas paksaan suami, Puteh bersama anak-anak lari lintang-pukang ke mari. Manakala suaminya sendirian di rumah. Hari ini tidak ada bunyi kokok ayam atau unggas ungka adapun dia tahu sekarang fajar sidik telah mula menyingsing.

Sepertimana malam sebelum, apabila terdengar sahaja dentuman bom dan meriam, mereka akan berlari ke mari. Lubang yang digali sedalam lima kaki inilah tempat berlindung mereka anak-beranak. Tempat selamat untuk menyelamatkan nyawa. Bau tanah ini makin lali hidungnya hidu tatkala harus datang menyembunyikan diri. Dan anak-anak, tidak pernah merungut.

"Daud! Melur!" Dia kejut lagi sekali kedua-dua mereka.

Melur yang terlentok menggosok mata berkali-kali. Hampir sepanjang malam rupanya mereka berperangkap di sini. Suasana masih gelap-gelita. Rasa debarnya mula tidak bertepi mengenangkan keadaan rumah. Lebih-lebih lagi mengingatkan bapa yang tinggal sendirian.

"Mak, bagaimana bapak?" Melur tidak dapat tahan rasa bimbang.

"Insya-Allah bapak selamat. Sama-sama kita doa." Puteh reda. Dalam keadaan gelap-gelita ini hanya suara khuatir anak perempuannya sahaja yang didengarinya.

"Daud! Bangun nak." Tangan Puteh kembali meraba; dan dia goncangkan bahu Daud beberapa kali.

Daud terpisat-pisat membuka mata. Dia cuba mencari wajah kedua-dua wanita bersamanya itu. Namun sekadar balam-balam bayang yang bermain di depan mata. Dia cuba bangun tatkala merasakan tubuh ibu sudah berdiri. Keadaan kelam begini, matanya tidak dapat menangkap banyak.

Dengan menjinjit di atas bongkah batu besar, Puteh mula menolak perlahan-lahan kepingan zink berkarat. Seperti mata helang, dia mengintai dalam samar-samar cahaya penuh bulan purnama pada segenap sudut kawasan; sambil telinga pula dengan penuh teliti cuba menangkap bunyi-bunyi asing. Bimbang terserempak dengan mana-mana saki baki askar Jepun atau Inggeris.

"Daud lapar!" rengek Daud sedikit nyaring.

"Syyh..."

Isyarat diam daripada Puteh, Daud patuh. Dalam senyap sunyi pagi kadangkala bahaya sukar dijangka.

"Mari!" panggil Puteh seolah-olah berbisik apabila berjaya naik ke atas. Tangannya terjulur untuk menyambut tangan Daud dan Melur. Begitu pun matanya tetap liar mengawasi keadaan sekeliling.

"Cepat! Cepat!" Puteh memimpin kedua-dua tangan anaknya menyusup antara celah-celah semak samun, pokok pisang dan kelapa dengan hanya bantuan cahaya bulan. Debaran dalam dadanya berganda sebaik saja ternampak rumah mereka dalam jarak tidak sampai 50 ela lagi.

Tanpa sempat mencuci kaki, ketiga-tiga menerpa pintu belakang rumah tidak berkunci. Senyap dan sepi hanya sebuah pelita terpasang di tiang dapur. Namun semua pintu dan tingkap masih terkatup rapat seperti lewat malam sebelum mereka bertiga meninggalkannya. Puteh meninjau setiap sudut rumah. Suaminya tidak kelihatan. Debaran dalam dadanya kian tidak keruan. Pelbagai andaian muncul dalam benak. Kelopak mata mula memberat. Janganlah apa-apa terjadi terhadapnya, doa Puteh dalam hati.

SURAT-SURAT DARI NAGASAKI (Terbit)Where stories live. Discover now