3

695 96 10
                                    

××× ❇️🌸❇️ ×××

PENDUDUK kampung gempar mendapat khabar tentang kunjungan mengejut beberapa orang pegawai tertinggi tentera Nippon ke kampung mereka. Pada awalnya tidak ada penduduk pun yang berani menunjukkan muka. Namun sebaik siren dibunyikan dan kerahan dibuat melalui pembesar suara yang dipasang di atas kenderaan tentera dalam bahasa Melayu, akhirnya semua penduduk keluar dan berkumpul di hadapan rumah Penggawa Deraman.

Abdul Jalil memimpin tangan Daud menuju ke rumah penggawa mengekori deretan penduduk lain. Masing-masing masih ragu-ragu perihal hal ehwal perkumpulan begini. Hanya lantaran ia diadakan di hadapan rumah penggawa, maka rasa sangsi sedikit reda. Apatah lagi Penggawa Deraman juga ada bersama.

"Kenapa bapak? Mereka semua mahu bunuh kitakah?" Mulut Daud yang petah itu selalu saja ada perkara mahu ditanyainya.

Abdul Jalil segera menutup bibir mulutnya dengan jari telunjuk, isyarat senyap. Lalu Daud diam mematuhi.

"Salam sejahtera kepada semua penduduk." Seorang jurubahasa berdiri bersebelahan pegawai tertinggi Jepun membacakan tulisan di sehelai kertas. Abdul Jalil meneliti raut wajah jurubahasa keturunan Jepun itu dengan ralit.

"Sebagaimana semua telah maklum, secara rasminya Nippon sudah berjaya menguasai keseluruhan Tanah Melayu dan Singapura. Di sebelah saya sekarang ialah Mejar Koichi yang telah ditugaskan menjaga seluruh kampung ini.

Pemerintah tertinggi Nippon telah membuat beberapa peraturan baharu kepada semua penduduk untuk dipatuhi. Agar dengan adanya peraturan-peraturan ini, kita semua dapat hidup lebih aman dan sejahtera." Dia akhiri ucapan dalam helaian pertama sebelum jurubahasa tersebut memindahkan kepada helaian berikutnya.

Abdul Jalil cuba memeta wajah lelaki itu sekali lagi. Dia pernah melihat tetapi agak sukar mengingati. Lalu dalam lama-lama memerhati, akhirnya ingatannya berjaya meneka dengan tepat. Lelaki inilah yang sering dilihatnya berjual anak-anak patung dan segala jenis boneka di pasar pekan Simpang Empat. Cuma ketika dia berniaga, dia memakai topi menutup separuh wajah. Lantas wajahnya tidak berapa dikenali. Sebab itulah Abdul Jalil bersangka dia keturunan Cina.

Jadi memang tidak silaplah cerita yang dibawa daripada perbualan orang-orang kampung di warung kopi hal ehwal pengintip-pengintip Jepun yang menyamar memasuki pekan dan daerah ini. Bukan setakat menjadi penjual, bahkan ada yang jadi tukang gunting rambut dan penarik beca juga.

"Seperti kalian semua tahu, peperangan telah memusnahkan kebanyakan harta benda dan nyawa. Malah sistem pengangkutan juga banyak yang rosak dan perlu dibaiki segera untuk kemudahan semua. Kekurangan ini menyebabkan banyak aktiviti perniagaan dan pertanian tidak dapat diusahakan sepenuhnya. Lalu pihak Imperialis Nippon memutuskan... agar segala catuan makanan dilakukan untuk menjamin semua penduduk mendapat bekalan yang cukup dan sama rata."

Serentak dengan ucapan itu, bunyi suara-suara tidak puas hati mula berpindah dari seorang ke orang lain. Tidak semua penduduk mempunyai simpanan makanan setelah beberapa bulan mereka berkurung di dalam rumah; dan ada sesetengahnya melarikan diri jauh dari kampung halaman. Malah bendang sehingga ke hari ini tidak dapat diusahakan. Begitu juga kerosakan-kerosakan sawah yang memerlukan bukan sedikit masa untuk dipulihkan kembali.

BENGG!!

Satu das tembakan kuat dilepaskan ke udara yang kedengaran seolah-olah menghancurkan langit. Tembakan untuk menyaingi bunyi bising suara-suara tidak puas hati. Semua terkejut dan ketakutan. Abdul Jalil menarik kejap lengan Daud dan segera menyembunyikan Daud ke bawah tubuh terbongkoknya. Tubuh Daud menggigil ketakutan. Manakala penduduk lain tertunduk ke tanah menyembunyikan kepala di bawah lengan masing-masing. Mata Mejar Koichi melilau garang melihatkan satu per satu wajah penduduk kampung seolah-olah ingin menentang saranan Jepun.

SURAT-SURAT DARI NAGASAKI (Terbit)Where stories live. Discover now